Eksploitasi sumber alam Malaysia oleh China?


Gambar di atas menunjukkan logam Monazite pada skala 1cm

HARGANYA boleh mencecah lebih RM 253,000.00 atau USD 62,000.00 per juta tan metrik dan semakin meningkat dalam tempoh setahun. Harga bijih besi sudah jauh merudum dan kurang mendapat permintaan. Harga bijih timah juga tidak mampu melawan walaupun kekal malar segar dari segi permintaan.

China antara negara yang mempunyai rizab nadir bumi yang terbanyak di dunia, namun ia masih mengintai negara-negara lain yang ada dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, termasuk Malaysia.

Ada apa dengan unsur nadir bumi ini?

Sejarah ekonomi dunia mula berkembang dengan industri pembuatan besi dan keluli suatu ketika dahulu. Pada masa itu, harga bijih besi mula mendapat tempat yang tinggi. Seterusnya industri perkilangan melonjakkan harga pasaran bijih timah. Bijih timah dicari dan dijarah keluar semahu-mahunya oleh Barat dari negara-negara yang kurang pakar tentang kegunaannya.

Zaman ini, industri pembuatan berteknologi tinggi seperti telefon pintar dan kereta hibrid semakin menjadi-jadi. Telefon pintar, yang mana bateri versi pertamanya daripada bertahan selama 12 jam kini berjaya direka agar tahan sehingga 3 hari. Papan pintarnya, kualiti skrinnya, kelakuan perantinya dan baterinya sentiasa ditambah baik (sampai boleh meletup sendiri?) hanya dek persaingan jenama dan permintaan pengguna. Nah, setiap orang kini mempunyai sekurang-kurangnya 1 telefon pintar.

Unsur nadir bumi lah punca segala pembuatan berteknologi tinggi ini. Secara kimianya, unsur nadir bumi (Rare Earth Elements (REE)) merujuk kepada 15 unsur dalam Siri Lantanida dan 2 unsur dalam baris ke-3 Jadual Berkala Unsur. Antara unsur-unsur ini ialah Lantanum (La), Samarium (Sm), Terbium (Tb), Prometium (Pm) dan Yttrium (Y).

Secara geologinya pula, unsur-unsur ini tidak mempunyai bijih yang tersendiri yang mudah ditemui, tetapi hanya terkandung dalam pelbagai jenis mineral-mineral sampingan yang tidak tentu konsentrasinya di satu-satu tempat.

Monazit sebagai contoh

Aktiviti perlombongan bijih timah di Tanah Melayu pada awal kurun ke-19 bukan sahaja membongkar keluar bijih timah dari perut bumi, tetapi juga ‘tahi-tahi bijihnya’. Tahi bijih ini sebagai mudah fahamnya ialah mineral tertentu yang biasanya wujud bersama bijih-bijih tertentu.

Bagi timah (unsur Sn), bijih yang dilombong ialah kasiterit (SnO4) dan mineral sampingan yang bersekutu (kalau korek bijih timah, mineral ni mesti menempel sekali) ialah monazit dan xenotim. Disebabkan pasaran pada masa itu memerlukan kasiterit sahaja, monazit, xenotim dan mineral-mineral sampingan berupa tahi bijih ini dibuang ke tepi.

Namun kini, tahi yang dibuang kembali dikumpul dan dicari sumber utamanya. Ini kerana Monazit ini di dalamnya ada unsur nadir bumi Sm, Nd, Ce, Gd dan La selain Thorium (Th), sejenis unsur radioaktif seperti unsur Uranium (U). Selain monazit, Xenotim juga mempunyai unsur nadir bumi iaitu Y.

Ada juga beberapa jenis unsur nadir bumi yang wujud dalam tanah yang mengandungi bauksit.

China mengintai dunia luar

Rizab terbesar dunia bagi unsur nadir bumi ialah di Bayan Obo, China dan Mount Pass di Amerika Syarikat. Rizab unsur ini turut terdapat di Mount Weld dan Queensland (Australia), Kerala (India) dan sekitar Rusia.

Satu-satu tempat ini tidak mempunyai kesemua jenis unsur nadir bumi, dan setiap unsur nadir bumi mempunyai kegunaan yang amat berbeza. Inilah yang menyebabkan harga pasaran bagi setiap unsur ini amat-amat tinggi, apatah lagi ia diperlukan untuk membuat apa yang setiap daripada kita guna pakai setiap hari seperti telefon, gajet, laptop dan sebagainya.

Walaupun China mempunyai rizab unsur nadir bumi, polisi China ialah ‘habiskan apa yang ada di negara luar dahulu’.

China melabur banyak dalam sektor perlombongan ini di Australia dan Afrika dan sedang berusaha menjarah bumi Thailand. Pengalaman berbual dengan rakan-rakan ahli geologi luar negara membayangkan China telah menjalinkan kerjasama dengan Laos, Vietnam dan Mongolia bagi mencari dan mengeksploitasi unsur nadir bumi di negara-negara ini kerana secara geologinya, negara-negara ini juga kaya dengan unsur-unsur idaman China

China ialah negara pengeluar berteknologi tinggi. China mempunyai wang, dan China mempunyai kepakaran, Dalam bidang geologi dan sumber mineral, China telah pergi terlalu jauh. Apa yang ada dalam setiap butir tanah di permukaan negara China hingga ke dalam perut bumi serta setiap kegunaanya, segala-galanya telah ada dalam pangkalan data One Geology China, satu projek yang dicipta sebagai medan ‘prerkongsian data serantau’ dan mengalu-alukan sumbangan negara luar khasnya maklumat geologi dan sumber mineral.
Dalam siri yang seterusnya kita akan mengupas mengapa China berminat dengan bahan nadir bumi di Pahang.

Oleh:

Fakhruddin Afif bin Fauzi, P.Geol, MIGM (Member of Institute of Geology Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bajet 2018 menindas rakyat?

Next Post

Amerika menghantar kapal pengawal pantai bagi mengekang dominasi China di Laut China Selatan

Related Posts
Skip to content