Kebijaksanaan dan maknawi disebalik bilangan anak tangga rumah Melayu

Persoalan maknawi dan kebijaksanaan disebalik bilangan anak tangga rumah Melayu

Pertama, kita dapat temui banyak kajian yang mengutarakan maknawi di sebalik bilangan anak tangga di rumah Melayu lama. Bilangan anak tangga biasanya ganjil. Ada 5, 7, 13 dan sebagainya. Tentang bilangan ini, ia adalah manifestasi makna keagamaan.

5 anak tangga misalnya, ialah simbolik kepada Rukun Islam. Tidak boleh terhenti setakat ini, maka harus pula ada persoalan lanjut: Bagaimana maknawi ini dapat diamalkan? Bagaimanakah langkah pertama (ketika meniti tangga), dapat ditandakan dengan Mengucap Dua Kalimah Syahadah? Dan disebut puncak ibadah itu ialah Mengerjakan Haji, bagaimana diamalkan dengan langkah terakhir pada puncak anak tangga?

Saya tidak fikir orang terdahulu sekadar arif berkarya dengan mengungkap rasa keagamaan, sebaliknya pastilah mereka arifbillah, setiap geraknya adalah praktik hakikat zahiriyah-batiniyah kehidupan.

Tentang bilangan 7 anak tangga itu pastilah juga jauh mendalam, misalnya jika dimanifestasikan pada Martabat Tujuh Alam: Bagaimanakah mereka menyatukan hakikat Ahadiyah dengan langkah pertama anak tangga? Apakah setiap langkah itu adalah pengembaraan tujuh alam – maka yang terakhir itu masuk ke dalam rumah pada Martabat Insan? Dan bagaimana rasa ketika itu?

(Saya langsung tidak mampu menduga jawapannya)

Maka amat malulah kita orang moden mendabik dada dengan orang-orang Melayu terdahulu yang kita pandang kuno – sebenarnya sangat arif dengan hakikat kehidupan.

Selanjutnya yang kedua, selain maknawi, ia adalah satu bentuk pemudah cara, pendidikan dan mekanisme pelaziman (conditioning-reinforcement)  masyarakat dalam melaksanakan firman dan sabda.

Bilangan yang ganjil itu bagi menuruti sunnah, masuk ke rumah dahulukan kaki kanan. Cuba kita uji pada beberapa contoh tangga pada rumah Melayu lama, kebanyakannya dapat kita temui bahawa langkah pertama ialah kanan, dan langkah penghabisan (masuk ke rumah) juga kanan.

Ada juga bilangan anak tangga yang mengelirukan, misalnya pada gambar (Rumah Serambi Pahang atau Rumah Penghulu Mukim Kelola, Allahyarham Ismail Khatib Abu Bakar di Kampung Kelola, Jerantut, Pahang, 1924 – kini dirapi semula, terdapat di UPM).

Namun, cuba kita gunakan jari dan mulakan di tempat yang ada selipar – akhirnya tetap langkah kanan juga!

Ada juga yang melebarkan ibu tangga, yang demikian terhenti dua kaki sambil melafazkan doa masuk rumah!

Maka, menyuruh masyarakat untuk mengamalkan sunnah bukanlah sekadar melalui air liur, tetapi menyusupi kegiatan harian masyarakat. Inilah yang dinamakan bijaksana (bijak + laksana).

Rumusnya di sini, selain bijaksana, dapatlah kita temui bahawa orang Melayu terdahulu giat memusatkan hidup pada agama melalui jalan adat!

Artikel oleh:

Tn Hamdi Hanapi

Previous Post

Falsafah Islam disebalik pintu rumah Melayu

Next Post

Orang Melayu perlu berhenti jual tanah

Related Posts
Skip to content