Krisis Pelarian Syria: Manipulasi Media Barat

download (3)

Baru-baru ini kita digemparkan perihal penemuan mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Aylan Kurdi yang hanyut di pesisiran pantai Turki setelah ia menjadi viral media massa di seluruh dunia. Malah tragedi penemuan mayat kanak-kanak tersebut berjaya membuka mata komuniti global mengenai betapa kritikalnya masalah pelarian Syria buat masa ini.

Bukan setakat itu, media dan portal berita Barat turut menjadikan isu tersebut fokus utama mereka apabila kita dapat lihat lambakan liputan isu itu dibuat sepanjang minggu ini. Benar, media Barat berjaya mempamerkan cerita tragik dan dramatik yang perlu dilalui pelarian Syria berikutan krisis yang berlaku di negara mereka, namun adakah liputan berita yang dibuat mereka berjaya membongkar sebab sebenar krisis pelarian ini berlaku?

Bahkan, persoalan yang paling penting sekali ketika ini – adakah media Barat berjaya membuka mata masyarakat dunia mengenai siapa yang patut bertanggung jawab ke atas krisis ini?

Atau lambakan cerita-cerita sedih pelarian ini hanya digunakan bagi menutup fokus utama krisis  yang sepatutnya tertumpu kepada punca kenapa konflik di Syria berlaku, seterusnya mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang berbanding penyelesaian yang bersifat sementara?

Sebelum kita selusuri siapakah dalang di sebalik konflik di Syria pada artikel seterusnya, penting untuk kita analisa dan lihat apa peranan yang dimainkan media Barat dalam membentuk rangka pemikiran masyarakat dunia berkenaan krisis ini.

 

  1. Akhbar The Guardian – manipulasi perspektif siapa yang patut bertanggungjawab

Walaupun The Guardian melaporkan kekerapan berlakunya pengeboman di Syria dan peningkatan jumlah kematian hari demi hari, namun ia tidak langsung menyebut perihal entiti yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas semua kejadian yang telah berlaku ini.

Sememangnya, tiada satu pun laporan yang melaporkan bahawa krisis pelarian ini adalah akibat daripada kegagalan polisi luar dan campur tangan Barat terutamanya Amerika Syarikat, walaupun realitinya terdapat banyak fakta yang menyokong hal tersebut.

The Guardian cuba meletakkan beban kesalahan krisis ini ke atas konflik dalaman Syria semata, malah meletakkan satu konotasi negatif dengan menggunakan frasa ‘fail State’ bagi mencanangkan bahawa kononnya pelarian Syria sedang menyelamatkan diri mereka daripada kekejaman Assad.

Berdasarkan laporan tersebut, ahli politik Amerika Syarikat dan media mereka dengan sengaja mendiamkan diri tanpa mengakui penglibatan besar Washington yang menyebabkan berlakunya perpindahan beramai-ramai di sekeliling sempadan Eropah.

Memang tidak dinafikan kekejaman rejim Bashar al-Assad menjadi salah satu punca mengapa ramai rakyat mereka membuat keputusan untuk melarikan diri dari negara tersebut. Namun, dengan mengaburi keseluruhan jalan cerita dengan tidak mendedahkan penglibatan secara langsung Amerika Syarikat dalam krisis di Syria tidak akan menyelesaikan masalah ini secara total. Bahkan isu kemanusiaan ini dijadikan tunggangan Obama dan rakan sekutunya bagi menutup apa yang sudah mereka lakukan di Timur Tengah.

Malah, terdapat satu terbitan dalam ‘The Guardian’ editorial yang melaporkan bahawa;

“Keyakinan terhadap kebangkitan Arab sudah tiada. Kolonel Gaddafi merupakan seorang yang kejam, namun Libya telah membongkar dengan keganasan selepas kejatuhannya. Tetapi penolakan untuk Amerika Syarikat campur tangan untuk menentang Bashar al-Assad memberikan laluan kepada presiden Syria tersebut untuk terus membunuh rakyatnya.”

Kenyataan ini cuba menimbulkan kefahaman atau persepsi bahawa Amerika Syarikat tidak pernah mencampur tangan dalam urusan Syria sehingga tiba suatu masa yang sewajarnya memerlukan campur tangan tersebut, walaupun hakikatnya polisi luar Amerika Syarikat untuk campur tangan di negara Timur Tengah sejak dahulu lagi merupakan punca utama kewujudan puak militan ISIS yang menambah kekacauan di Syria. Lantas, menyebabkan ribuan rakyat Syria bertindak melarikan diri.

Mideast Syria Women Refugees-1

  1. Media Barat lain menutup penglibatan Washington dalam krisis Syria

Lebih mengecewakan, The Washington Post menerbitkan satu editorial yang menyatakan bahawa Eropah “tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan masalah  yang berpunca daripada konflik dalaman Afghanistan, Sudan, Libya – dan terutamanya – Syria”.

The New York Times pula menulis perihal yang sama bahawa “Akar umbi permasalahan ini berada pada krisis yang tidak mampu diselesaikan dengan sendirinya oleh Kesatuan Eropah; peperangan di Syria dan Iraq, ketidakstabilan di Libya…”

Amerika Syarikat menegaskan bahawa ia “tidak pernah berbuat apa-apa” berkenaan Syria; ini hanya bermaksud sama ada Amerika Syarikat sedang mencuba untuk menafikan fakta yang jelas membuktikan perkaitan rapat antara Amerika Syarikat dan sekutunya dengan kumpulan militan ISIS, atau ia mencadangkan bahawa terdapat keperluan global dan moral yang mendesak pada masa yang tepat ini untuk Amerika Syarikat ‘berbuat sesuatu’ dan komited untuk mencampur tangan dalam isu Syria.

Datuk Bandar London, Boris Johnson dalam ‘The Telegraph’ berkata:

“Saya keseluruhannya menerima bahawa campur tangan tidak selalunya berjaya. Ia tidak berjaya di Iraq; ia tidak berjaya di Libya. Tetapi adakah sejujurnya kamu boleh mengatakan bahawa dengan tidak campur tangan dalam urusan Syria berjaya menyelesaikan keadaan? Jika kita terus tidak melakukan apa-apa tentang mimpi ngeri di Syria, maka kita sendiri perlu bersedia menghadapi pelarian selama-lamanya, lebih ramai yang kesesakan di dalam lori binatang di stesyen servis Eropah, lebih ramai yang akan cuba memanjat pagar yang berduri yang sedang kita bina mengelilingi Kesatuan Eropah”

Di sini kita boleh mendapat dua inferens; pertama, ia cuba untuk menyokong persepsi yang direka bahawa Amerika Syarikat tidak pernah mencampur tangan dalam urusan Syria; dan kedua, ia cuba mencadangkan bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya boleh berbuat apa sahaja yang mereka mahu; sama ada untuk campur tangan atau tidak tanpa mengira kos dan kesannya, baik ataupun buruk, oleh yang demikian apa sahaja keputusan mereka tidak wajar dipersoalkan.

Mideast-Iraq-Syrian-R_Horo

Kesimpulan

Kita tidak boleh menafikan bahawa langkah dan tindakan media Barat dalam membuka mata kita semua dengan kisah pelarian Syria seharusnya dipuji. Bahkan mungkin atas sebab liputan merekalah lebih banyak badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang turun padang untuk membantu pelarian-pelarian ini.

Namun, sekiranya media Barat merupakan sebuah entiti yang adil dalam memaparkan sesuatu isu dan krisis yang berlaku di dunia, maka analisa secara mendalam perlu dilakukan dengan membongkar secara jujur siapakah dalang di sebalik krisis tersebut. Malah, tindakan mereka yang menutup penglibatan secara langsung oleh Amerika Syarikat dalam krisis Syria tidak akan membantu untuk menyelesaikan masalah utama negara tersebut, walaupun sudah terang lagi bersuluh kita semua tahu betapa gagalnya campur tangan Amerika Syarikat di Timur Tengah. Bahkan, tindakan mereka ini membuktikan campur tangan Barat yang telah dibuat selama ini bukanlah bermotifkan keamanan, tetapi hanya satu campur tangan yang membinasakan.

 

Danial A. Shaari

Penganalisis IRIS

 

Sumber:

  1. BlackCattie, “Mainstream Media Solution: ‘Bomb Assad and Save the Refugees”, The Global Research.
  2. Bill Van Aucken, “Who Is Responsible for the Refugee Crisis in Europe?”, The Global Research.
  3. Adam Johnson, “The Syrian Refugee Crisis and the ‘Do Something’ Lie”, The Global Research.
  4. 4. Ken Stone, “Stephen Harper Promotes War in Syria as a ‘Solution to the Refugee Crisis’: Canadian Government Is to Blame for the Death of Aylan Kurdi”, The Global Research
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kapal Kargo ‘Sah Lian’ Hilang Di Perairan Sarawak

Next Post

Rakyat Palestin Dikerah Membayar 10 Juta USD kepada Rakyat Amerika yang Terkorban di Israel

Related Posts
Skip to content