Pelabuhan Lysekil dikuasai China

Pelabuhan merupakan salah satu aset strategik membolehkan sesebuah negara melakukan kegiatan perdagangan. Selain itu, penguasaan pelabuhan-pelabuhan ini bukan sahaja dapat digunakan bagi tujuan aktiviti perdagangan, malah membuka peluang kepada aktiviti-aktiviti ketenteraan seperti lawatan kapal-kapal perang dan pengumpulan maklumat sensitif. Melihat situasi ini, China menggunakan pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai oleh syarikat-syarikat China untuk meluaskan inisiatif ‘One Belt, One Road’, seterusnya meluaskan pengaruh dan imejnya sebagai kuasa baru.

Perluasan kuasa ekonomi China diteruskan dengan pelaburan terhadap aset strategik di Eropah. Pada hujung November lalu, pihak berkuasa bagi sebuah kawasan kecil yang bernama Lysekil di Sweden telah menerima tawaran pelaburan langsung asing atau foreign direct investment, FDI dari sebuah syarikat konsortium China yang berpangkalan di Hong Kong. Tindakan ini mengejutkan Kesatuan Eropah, EU dan pucuk pimpinan Sweden kerana syarikat asing ini mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China atau Chinese Communist Party, CCP dan perjanjian dilakukan secara rahsia.

Kedudukan Lysekil dan Perjanjian Rahsia

Lysekil merupakan salah satu kawasan kecil yang terletak di persisiran pantai barat Sweden. Lokasi Lysekil amat strategik kerana terletak di pintu masuk ke Laut Baltik. Secara teorinya, mana-mana syarikat yang mengawal pelabuhan di pintu masuk ini dapat mengaut keuntungan dari segi dagangan bagi menembusi pasaran Kesatuan Eropah dan Rusia. Melihat dari sudut ketenteraan, Lysekil boleh dijadikan sebagai markas hadapan bagi China untuk mengawal Laut Baltik yang selama ini dipengaruhi oleh Rusia melalui Armada Baltik Tentera Laut Rusia. Oleh itu, pentingnya bagi China untuk mempunyai sebuah pelabuhan di kawasan Eropah bagi merealisasikan inisiatif OBOR dan meluaskan pengaruhnya.

Physical location map of Lysekil Kommun.

Gambar 1: Lysekil (Titik berwarna Merah)

Bagi menguasai pelabuhan tersebut, sebuah pakej pelaburan ditawarkan oleh syarikat Sunbase International untuk membina pelabuhan laut dalam yang terbesar di Skandinavia. Saiz pelabuhan tersebut dijangka hampir 1.8 kilometer panjang dan 1 kilometer lebar. Melihat saiz pelabuhan ini memberi gambaran betapa besarnya nilaian dagangan yang akan diperkenalkan oleh China apabila pelabuhan ini dibuka. Sweden dan Kesatuan Eropah bukan sahaja diancam dari sudut ketenteraan malah dari sudut ekonomi apabila barang-barang dari China menembusi pasaran EU.

Tidak cukup dengan tawaran pembinaan pelabuhan tersebut, syarikat itu turut menawarkan untuk membina infrastruktu-infrastruktur lain termasuk jalan, laluan bagi kereta api dan juga jambatan. Aset-aset ini, meskipun memberi impak yang positif terhadap kegiatan ekonomi bagi sebuah kawasan yang diduduki oleh 14,000 orang dilihat hanya memudahkan China untuk mengeksploit kawasan tersebut sebagai salah satu laluan maritim bagi inisiatif OBOR. Selain itu, syarikat Sunbase juga berjanji akan melabur ke dalam sektor kesihatan, penjagaan warga emas dan juga sekolah. Ini bukan kali pertama sebuah syarikat China yang melabur dalam aset-aset strategik Sweden. Beberapa syarikat China juga telah melakukan pelaburan terhadap syarikat kereta Sweden seperti Volvo dan Saab.

Namun, perjanjian diantara syarikat tersebut dan pihak berkuasa Lysekil dilakukan secara rahsia. Sunbase juga hanya memberi tempoh 10 hari untuk pihak berkuasa Lysekil membuat keputusan sama ada menerima tawaran pelaburan tersebut atau menolaknya. Pihak berkuasa Lysekil kemudiannya mengumumkan bahawa mereka menerima tawaran tersebut dan kerja-kerja akan dijalankan bagi menyediakan pelabuhan laut dalam tersebut.

Perjanjian yang telah termeterai diantara syarikat Sunbase International dan pihak berkuasa Lysekil dilihat dipenuhi dengan skandal apabila para pelobi perjanjian itu melobi projek pembinaan pelabuhan tersebut dengan kadar yang pantas sehingga mengejutkan ahli-ahli strategi ekonomi Sweden. Salah seorang dari pelobi tersebut merupakan bekas ketua bagi Lembaga Eksekutif Lysekil yang dipecat pada tahun 2014 kerana terlibat dalam kesalahan pecah amanah. Buat masa ini, tiada kenyataan dikeluarkan sama ada para pelobi dan ahli-ahli Lembaga Eksekutif Lysekil mempunyai kepentingan peribadi terhadap pelaburan yang dilakukan oleh syarikat China tersebut.

Ancaman Ketenteraan di Kawasan Skandinavia

Seorang pensyarah yang pernah berkhidmat di dalam Tentera Laut Sweden, Magnus Sederholm memberi amaran bahawa ini merupakan strategi President Xi Jinping bagi mengawal laut secara komersial dan bagi tujuan ketenteraan. Beliau menambah bahawa dengan adanya pelabuhan laut dalam yang dikawal oleh China, kapal-kapal dari Tentera Laut China, PLAN akan kerap melakukan lawatan sebagai salah satu usaha China untuk meluaskan pengaruhnya di Eropah.

Melihat rekod China, kebarangkalian bahawa China akan menggunakan pelabuhan tersebut bagi tujuan ketenteraan amat tinggi. Sebuah syarikat China, China Merchant Port Holding Company yang mengawal Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka dilihat memberi akses pelabuhan tersebut kepada Tentera Laut China, PLAN dengan memberi kebenaran bagi kapal selam kelas Song untuk berlabuh di sana. Trend ini akan menyebabkan pemain-pemain utama seperti Amerika Syarikat melalui NATO dan Rusia gelisah kerana pengaruh mereka dicabar.

Gambar 2: Presiden Gunter Gao Jingde

Syarikat Sunbase International ini dimiliki dan diketuai oleh presiden Gunter Gao Jingde yang terkenal dengan sokongan terhadap Parti Komunis China. Beliau juga menganggotai Chinese People’s Political Consultative Conference, CPPCC, sebuah badan tertinggi yang menasihati China dalam bidang politik. Gao juga mempunyai hubungan yang erat dengan Tentera China, PLA melalui syarikat subsidarinya, Sunbase International Properties Management Limited yang bertanggungjawab terhadap 18 kawasan Tentera China di Hong Kong. Beliau juga telah menyumbang dana bagi melancarkan beberapa buah buku bagi PLA termasuk buku yang bertajuk The Great Rehearsal in the Taiwan Straits yang bertujuan menaikkan imej  ketenteraan China sebagai satu kuasa yang membawa keamanan dan bertamadun.

Kelemahan Sistem Pentadbiran Sweden terhadap Ancaman Pelaburan Luar Negara

Sweden tidak mempunyai sebuah  badan induk yang memantau pelaburan langsung asing atau foreign direct investment, FDI. Dalam undang-undang Sweden, mana-mana keputusan berkenaan pelaburan yang dibuat di peringkat daerah tidak boleh ditolak oleh Kerajaan Pusat. Malah, Kerajaan Sweden mempunyai polisi keterbukaan terhadap mana-mana pelaburan yang datang dari luar dengan menyasarkan pelaburan dari China, India dan Amerika Syarikat. Maka tidak hairanlah apabila Kerajaan Sweden menolak cadangan Suruhanjaya Eropah untuk membentuk satu badan induk pada peringkat Eropah untuk menilai serta mengkaji pelaburan luar negara bagi tujuan keselamatan. Kesatuan Eropah, EU menilai China sebagai salah satu pemain utama di Eropah kerana peningkatan pelabuaran yang mendadak di dalam kesatuan tersebut.

Bagi Sweden dan negara-negara Skandinavia yang lain seperti Denmark dan Finland, mereka berpendapat bahawa Rusia adalah ancaman yang lebih besar berbanding China. Salah sebuah daerah di Sweden, Karlshamn misalnya memberi kebenaran kepada Rusia untuk menggunakan pelabuhannya untuk menyimpan 52,000 batang paip bagi pembinaan sistem penyaluran gas yang dikenali sebagai Nord Stream 2. Nord Stream 2 kelak akan menjangkau sepanjang 1200 kilometer dan mampu menyalurkan gas di kawasan Laut Baltic. Selain itu, Sweden juga mempunyai sejarah silam dengan Rusia, semasa Perang Dingin dimana kapal-kapal selam Kesatuan Soviet dan kapal-kapal selam dari NATO berlegar-legar melakukan provokasi kecil di kawasan perairan Skandinavia.

Konklusi

Penulis berpendapat, dengan adanya pelabuhan laut dalam yang dikuasai oleh China di Sweden, imej China akan melonjak sebagai kuasa baru di Eropah. Mengeksploitasi watak antagonis Rusia yang dilihat hanya melakukan konflik seperti di Crimea, China menggunakan situasi ini untuk memenangi hati rakyat Sweden dengan tawaran pembangunan infrastruktur penting seperti jalan dan sekolah. Penguasaan pelabuhan ini akan menjamin laluan maritim bagi inisiatif OBOR dan juga perluasan kuasa ketenteraan China di pentas antarabangsa.

Oleh:

Irfan Alias
UNSW Sydney 

 

Dapatkan buku PengChinaan Malaysia di pasaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Komentar: China akan menyerang Taiwan?

Next Post

Melaka Kota paling kaya di dunia

Related Posts
Skip to content