Sejarah MCA dan DAP serta kaitannya dengan kongsi gelap

Parti politik yang ditubuhkan oleh kaum Cina  yang pertama di Tanah Melayu bukan bertujuan untuk memperjuangkan dan melindungi kebajikan dan kepentingan imigran Cina di Tanah Melayu, tetapi sebagai lanjutan kepada fahaman politik di negara asal mereka. Satu-satunya organisasi sosial bagi Cina di Tanah Melayu pada awalnya ialah pertubuhan rahsia di mana ketua kongsi gelap Cina akan menjadi ketua komuniti dan biasanya turut mengetuai kumpulan perniagaan Cina. “ke mana-mana sahaja kaum Cina pergi mereka akan membawa pertubuhan rahsia mereka bersama-sama. . . nyata sekali ini merupakan satu-satunya organisasi sosial yang diterima oleh komuniti mereka”[1].

Newbold  dalam bukunya mengatakan bahawa:

“…di penempatan kami di Pulau Pinang pada tahun 1799, kongsi gelap sedang bersatu, undang-undang kerajaan sedia ada diingkari dan mereka hanya patuh kepada undang-undang yang dipantau dengan ketat. Menurut Major Low, superitendent polis di Province Wellesley (Seberang Prai), orang Cina di Batu Kawan berada dalam kumpulan kongsi yang sama, mereka dilengkapi dengan lembing kayu yang panjang, tombak bermata tiga (trident) dan parang bersaiz sederhana. Jika salah seorang daripada mereka terlibat atau dituduh melakukan jenayah, walaupun sekejam mana jenayah yang dilakukan mereka, pihak kongsi gelap yang dianggotai mereka akan sebulat suara  membantu melepaskannya[2]

Sun Yat Sen datang ke Singapura pada 1905 untuk mengerakkan Tung Meng Hui di Tanah Melayu. Di sini beliau dibantu oleh rakan-rakannya iaitu Tan Cho Lit, Teo Eng Hock dan Lim Nee Soon yang kemudiannya berjaya menubuhkan gerakan berkenaan di Seremban, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang[3].

Penubuhan Tung Meng Hui di Tanah Melayu merupakan satu langkah strategik kerana ia memberi bekalan kewangan untuk mendanai revolusi di China. Penglibatan Tung Meng Hui menjadi lebih agresif apabila mereka melakukan rompakan di sekitar Johor, Melaka dan Selangor. Sebuah dokumen yang dijumpai di Singapura menunjukkan bahawa kongsi gelap di Melaka melakukan pelbagai rompakan untuk bantuan kewangan revolusi. Bukan sahaja disokong oleh gerakan kongsi gelap, Sun Yat Sen mendapat bantuan kewangan malahan bantuan merekrut tentera melalui sebuah syarikat yang diberi nama Chung-Hsin Rocky Mountain Company yang bertapak di Singapura [4].

Tung Meng Hui seterusnya digabungkan bersama kumpulan Hung League lalu membentuk parti Koumintang. Di Tanah Melayu pada tahun 1913, tidak kurang 36 cawangan Parti Kuomintang ditubuhkan dengan negeri Perak mempunyai majoriti cawangan iaitu sebanyak 27 cawangan. KMT juga menguasai hampir 6 akhbar Cina  pada ketika itu iaitu Kwong Wah Yit Poh of Penang, Yik Khuan Poh (1919-1934), San Yit Khuan Poh (1935 – 1936), Malayan Chinese Daily News of Kuala Lumpur (1937-1941), Min Kuo Jih Pao (1930-1934), dan Sin Kuo Min Press (1919-1941)[5].

Kebanyakan ahli Parti Kuomintang  adalah ahli perniagaan. Mereka menjadi ketua komuniti Cina dengan menjadi penaung sekolah-sekolah Cina dan menjadi ahli di dalam koperasi perniagaan Cina. Hubungan baik antara Parti Kuomintang dan British semasa penjajahan Jepun pula sedikit sebanyak telah membina reputasi perhubungan di antara mereka. Tambahan pula Tanah Melayu pada waktu itu diancam serangan subversif komunis.  Pihak British menyedari bahawa mereka perlu memisahkan orang Cina dari pengaruh komunis lalu mencadangkan penubuhan Malayan Chinese Association (MCA) melalui Henry Gurney pada Februari 1949 [6].

Ramai ahli berpengaruh Parti Kuomintang menjadi pemimpin utama di dalam MCA dan mereka memainkan peranan penting sekitar tahun 50-an. Pada masa yang sama, kegiatan Parti Kuomintang mengalami kemalapan apabila rejim pemerintahan di China beralih arah dari Parti Kuomintang kepada pemerintahan Komunis. Antara generasi awal MCA ialah Tan Cheng Lock, Lee Hau Shik, Lau Pak Kwan, Ong Keng Seng dan Wong Shee Foon. Mereka menjawat jawatan penting seperti menteri kewangan, menteri buruh dan perusahaan. Sehingga tahun 1975, segelintir ahli MCA masih kekal dengan pengaruh Parti Kuomintang apabila Chiang Kai Syek mati. Lebih 86 bekas ahli Kuomintang memaparkan iklan penuh penghormatan terakhir di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, lantas memberi gambaran bahawa mereka  masih mengekalkan budaya, ideologi dan politik yang berpandukan Parti Kuomintang yang lari ke Taiwan [7].

Pada tahun 1927, perpecahan di antara Parti Kuomintang dan Parti Komunis China di China berlaku, menyebabkan perpecahan sayap kiri (yang dianggotai Komunis) Parti Kuomintang di Tanah Melayu, lalu menubuhkan South Seas Communist Party (SSCP)[8].

PKM telah diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh orang asing. Antara pemimpin awal mereka termasuklah Tan Melaka, wakil kominten dari Indonesia, dan seorang warga Vietnam, Ho Chi Minh. PKM telah ditaja dan dilatih oleh Parti Komunis China (PKC). Kesetiaan mereka adalah kepada negara asal mereka iaitu China[9].

Taktik komunis berubah apabila British mula merancang untuk menubuhkan Malayan Union. Mereka cuba untuk mewujudkan negara komunis secara berperlembagaan dengan menguasai bandar-bandar besar seperti Kuala lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang.

Strategi ini dikenali sebagai open front (medan terbuka) apabila mereka menyusup masuk ke dalam organisasi yang sah seperti kesatuan pekerja serta pertubuhan lain yang turut dikuasai oleh komunis seperti New Democratic Youth League, MPAJA Old Comrade dan Malayan Democratic Union (MDU). MDU misalnya ditubuhkan oleh Gerald de Cruz, yang merupakan ahli kepada PKM. Antara ahli MDU yang lain yang menyertai pergerakan komunis ialah Lim Hong Bee , CV Devan Nair. Kehadiran mereka ini penting untuk diamati kerana ia membawa kepada penubuhan People Action Party (PAP) dan Democratic Action Party (DAP).

Kesetiaan kaum Cina terhadap Parti Komunis China yang amat kuat ini dibuktikan apabila mereka tidak menyahut panggilan kerajaan untuk menentang komunis kerana beralasan bahawa mereka setia kepada keluarga dan suku mereka dan bukan terhadap negara bangsa. Ini telah mengesahkan syak wasangka kaum Melayu bahawa kaum Cina tidak setia kepada Tanah Melayu[10].  Usaha kerajaan untuk menarik minat kaum Cina untuk mempertahankan negara bagi menentang komunis tidak begitu berhasil apabila hanya 200 pemuda Cina sahaja yang menyertai secara sukarela. Punca keengganan mereka menyertai pasukan keselamatan untuk menentang komunis adalah kerana mereka tidak menganggap diri mereka penduduk Tanah Melayu, atau tidak merasakan tindakan itu berbaloi untuk mewakili “kumpulan kasta bawahan” iaitu Melayu[11].

Dalam isu Malayan Union, kaum Cina menunjukkan sokongan khususnya dalam aspek kewarganegaraan kerana ia memberi manfaat kepada mereka walaupun sebenarnya mengharapkan lebih banyak kelebihan diberikan [12]. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Cina (Sin Chew Jit Poh), mereka juga turut mempersoalkan mengapa Sultan dipilih sebagai individu yang berunding dengan pihak British. Mereka menyatakan bahawa Sultan hanya mewakili sebilangan kecil kaum Melayu dan Sultan “tidak ada hak untuk mewakili kaum Cina[13]

Rujukan

[1] Skinner, G. W., & Purcell, V. (1952). The Chinese in Southeast Asia. The Far Eastern Quarterly11(2), 268. https://doi.org/10.2307/2049398

[2] Newbold, T. J. and Wilson, F. W. (1841). The Chinese secret Triad Society of the Tien-ti-huih. Journal of Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland.

[3] Blythe, W. (1969). Impact of Chinese Secret Societies in Malaya: A Historical Study. Oxford University Press.

[4] To, L. L. (1987). The 1911 Revolution: The Chinese in British and Dutch Southeast Asia. Heinemann Asia.

[5] Ibid

[6] Charles E., S. (2010). The Formative Years of Malaysian Politics. Xlibris.

[7] McKenna, C. F. (1990). The Kuomintang Movement in British Malaya 1912–1949. University of Hawaii Press.

[8] Cheah, B. K. (2003). Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya, 1941-1946. NUS Press.

[9] Muhammed, A. K. (2017). Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia (Edisi Bahasa Melayu – The Colour of Inequality). Bangi: Dubook Press.

[10] Helen, T. (2007). From Ketuanan Melayu to Bangsa Malaysia?: a study of national integration and identity in West Malaysia.

[11] Council, N. O. (1969). The May 13 Tragedy: A report. Kuala Lumpur.

[12] Skinner, G. W., & Purcell, V. (1952). The Chinese in Southeast Asia. The Far Eastern Quarterly11(2), 268. https://doi.org/10.2307/2049398

[13] Skinner, G. W., & Purcell, V. (1952). The Chinese in Southeast Asia. The Far Eastern Quarterly11(2), 268. https://doi.org/10.2307/2049398

Oleh:

Asyraf Farique & Luqman Abd Hamid
Penganalisis IRIS INSTITUTE

1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

الدبلوماسية القطرية: الكشف عن أزمة معقدة

Next Post

Vanuatu, Markas Luar Negara Kedua Tentera Laut China?

Related Posts
Skip to content