Kempen #terimakasihrajasalman Bukti Hubungan Malaysia-Arab Saudi Menuju Fasa Pemulihan

Tanda pagar #terimakasihrajasalman kini telah menjadi trending di laman sosial seperti Instagram. Pelbagai gambar poster yang memaparkan Raja Salman dan ucapan terima kasih terhadap baginda ditulis besertakan dengan tanda pagar ini.

Dalam kempen ini, kerajaan Arab Saudi dengan sukacitanya ingin mengagihkan sebanyak 21, 000 naskhah Al-Quran Al-Karim & Terjemahan Maknanya Ke Bahasa Melayu yang merupakan cetakan daripada Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahad. Kempen #terimakasihrajasalman ini dianjurkan oleh Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU) yang dinamakan sebagai ‘My Life With Quran’ dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Neelofa.

Ilmuan Malaysia - الجمعية العلمية الماليزية on Twitter: "Siapa nak ...
Rajah 1: Gambar poster kempen #terimakasihrajasalman (Sumber: iLMU)

Namun jika kita lihat daripada perspektif hubungan antarabangsa, ini menunjukkan Arab Saudi sedang berusaha memulihkan hubungannya dengan Malaysia pasca pemerintahan kerajaan terdahulu pimpinan Tun Dr Mahathir.

Sewaktu kepimpinan Tun Dr Mahathir, dapat dilihat hubungan dengan Arab Saudi agak keruh akibat tindakan-tindakan yang tidak popular yang dibuat oleh Malaysia. Daripada tindakan penutupan kompleks Pusat Keamanaan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), penarikan balik tentera Malaysia daripada operasi Thunder Of The North sehingga penganjuran KL Summit 2019.

            Mantan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu telah bertindak untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang telah pun ditubuhkan pada Mac 2017 di Putrajaya. Sebab yang diberikan beliau atas penutupan itu ialah fungsi asal KSCIP boleh diserap masuk oleh Institut Pertahanan & Keselamatan Malaysia yang dikenali sebagai MIDAS di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

Jika disoroti tujuan asal penubuhan KSCIP, ianya relevan untuk ditubuhkan bagi membendung ancaman keganasan berbentuk ‘soft approach’ daripada pengganas yang terdapat di rantau Asia Tenggara seperti di Marawi, Filipina dan Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia.

Dalam masa yang sama juga, kebangkitan ISIS di rantau Asia Barat dikhuatiri mendapat sambutan di rantau Asia Tenggara seterusnya mendatangkan ilham kepada Malaysia untuk menubuhkan KSCIP dengan kerjasama Arab Saudi. Idea penubuhan KSCIP ini juga sebenarnya mendapat sambutan baik daripada negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China.

            Tidak cukup dengan itu, Mohamad Sabu juga mengambil tindakan untuk menarik balik pasukan tentera Malaysia daripada Operasi Thunder Of North di Arab Saudi. Beliau memberikan sebab penarikan itu kerana Malaysia adalah negara berkecuali dan tidak mahu berperang dengan Yemen sedangkan itu bukanlah tujuan asal penyertaan Malaysia ke dalam operasi itu.

Peperangan di Yemen telah menjejaskan jutaan rakyat yang tidak berdosa termasuk pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Jadi, Malaysia mengambil keputusan untuk menempatkan pasukan tentera di wilayah yang terdekat dengan konflik iaitu Arab Saudi dengan menyertai Operasi Thunder Of North bagi membolehkan usaha penyelamatan warga Malaysia di Yemen mudah dijalankan.

Ini pernah ditegaskan oleh Dato Seri Hishammuddin semasa menjawat sebagai Menteri Pertahanan yang menegaskan operasi ini memberi manfaat kepada ATM bagi memahami prosedur-prosedur berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) dalam usaha menyelamatkan rakyat kita jika terjejas di rantau itu akibat konflik.

Mungkin kita telah mengambil pelajaran daripada Operasi Piramid ketika menyelamatkan warga Malaysia di Mesir yang majoritinya pelajar sewaktu krisis politik Mesir yang menjatuhkan Morsi. Masa yang lama diambil bagi usaha membawa pulang warga kita akibat tiadanya pasukan tentera kita yang berdekatan di wilayah konflik kejadian boleh mendatangkan risiko yang tinggi kepada warga kita di sana.

Rajah 2: Malaysia menyertai Operasi Thunder Of North yang diketuai Arab Saudi (Sumber: Malaysia Millitary Power)

Kemuncak kepada kekeruhan hubungan Malaysia-Arab Saudi telah berlaku pada Disember 2019. Penganjuran KL Summit 2019 yang dihoskan oleh Malaysia telah mendatangkan reaksi yang kurang senang daripada Arab Saudi.

Tujuan Malaysia menganjurkan KL Summit adalah bagi membincangkan masalah-masalah yang melanda negara-negara Islam yang tidak pernah ada kesudahannya dan gagal diatasi oleh OIC.

Antara pemimpin negara Islam yang dilihat ‘superior’ hadir ke KL Summit ialah Erdogan, Hassan Rouhani dan Sheikh Tamim Hamad Al Thani. Sebenarnya, Presiden Pakistan, Imran Khan turut menawarkan diri untuk menyertainya namun menarik balik keputusan itu. Kebetulan pula Imran Khan baru sahaja datang berjumpa dengan Raja Muhammad bin Salman (MBS) di Arab Saudi.

Ada yang mengatakan MBS mempengaruhi Imran Khan untuk tidak menyertai persidangan itu atas desakan ekonomi. Imran Khan amat memerlukan ‘rakan’ bagi membantu Pakistan memulihkan ekonominya.

Dakwaan ini dilihat relevan kerana Arab Saudi tidak senang dengan penganjuran KL Summit. Arab Saudi melihat KL Summit ini akan membelakangi OIC sebagai pertubuhan wakil negara Islam lain dan melemahkan keabsahan Arab Saudi sebagai negara yang mewakili Dunia Islam di pentas antarabangsa.

Harus diingat Arab Saudi mempunyai pengaruh yang tinggi dalam OIC dan ibu pejabat OIC juga berpusat di Jeddah. Arab Saudi mungkin menjadi tidak keruan apabila terdapat dakwaan KL Summit ini akan membentuk blok baharu dalam Dunia Islam iaitu pakatan Malaysia, Turki, Indonesia, Pakistan dan Qatar. Malah, anggota blok ini iaitu Turki dan Qatar sehingga kini mempunyai krisis hubungan yang buruk dengan Arab Saudi. Ini pasti mendatangkan kerugian kepada Arab Saudi dalam usaha untuk ‘survive’ sebagai pemimpin Dunia Islam.

Rajah 3: KL Summit diadakan pada 18 Disember – 21 Disember 2019 (Sumber: Free Malaysia Today)

Kesimpulan

            Pertukaran kerajaan yang kini dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat masih belum menampakkan lagi usaha untuk memulihkan kembali hubungan dengan Arab Saudi. Mungkin ini kerana Malaysia dan Arab Saudi masih giat berusaha dalam menentang Covid-19.

Namun usaha kepada pemulihan hubungan dua negara ini boleh dilaksanakan oleh Menteri Luar kini iaitu Dato Seri Hishammuddin Hussein yang dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin-pemimpin Timur Tengah sejak menjadi Menteri Pertahanan lagi.

Pelantikan beliau sebagai Menteri Luar yang baru amat tepat dengan usaha Malaysia untuk mendapatkan kembali keyakinan Arab Saudi agar hubungan yang lebih baik dapat dibina. Seperti biasa, hubungan Malaysia – Arab Saudi tidak pernah terlepas dengan perbincangan mengenai permohonan Malaysia untuk memperoleh kuota haji yang lebih banyak.

Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid pernah mengatakan kuota haji tambahan sebanyak 10, 000 masih belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi. Mungkin permohonan penambahan kuota haji yang dibawa kerajaan dahulu boleh dibincangkan oleh kerajaan kini dengan budi bicara yang baik. Buat masa sekarang, kempen #terimakasihrajasalman dibuat bagi memulihkan hubungan dua negara ini. Selepas ini, apa pula?

*Imran Hakimi merupakan Kolumnis Fokus dan Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan Perpaduan Israel 2020: Apakah Kelebihannya kepada Donald Trump?

Next Post

Risiko Peperangan Kuasa Besar di Laut China Selatan Meningkat: Situasi Terkini

Related Posts