Kebanjiran Populasi Belalang & Kesannya Kepada Keselamatan Bekalan Makanan

Bekalan makanan dan kehidupan penduduk terancam apabila berlaku peningkatan kerumunan populasi belalang sehingga mengubah keadaan di Afrika Timur, Asia dan Timur Tengah. Didapati sekurang-kurangnya 20 juta penduduk akan terjejas dengan kebanjiran populasi belalang ini. Bukan itu sahaja malahan pihak kerajaan dan saintis sendiri mengalami kesukaran untuk mengawal populasi serangga ini.

Persoalannya sudah pasti kita terfikir bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Sejak dua tahun kebelakangan ini, benua Afrika mengalami kekerapan hujan siklon yang tinggi dan keadaan hujan yang tidak normal bermula 2018 sehinggalah pada penghujung tahun 2019 musim di Afrika kembali menjadi panas. Ini pasti menjadikan tanaman-tanaman hijau menjadi subur seterusnya menyediakan sumber makanan kepada belalang.

Musim hujan di Afrika ini juga menjadikan permukaan tanah menjadi lembap yang sesuai untuk belalang ini bertelur. Populasi belalang yang meningkat ini mula dikesan pada awal 2020 di negara-negara tanduk Afrika iaitu Ethopia dan Somalia sebelum merebak ke negara Afrika lain.

Rajah 1: Belalang akan berhijrah ke arah timur Afrika dan berada di Arab Saudi, Yemen, Iran, India & Pakistan (Sumber: Nature)

Antara negara di Afrika yang teruk terjejas akibat fenomena ini ialah Kenya. Kenya telah mengalami masalah ini selama 70 tahun tanpa kesudahannya. Bukan itu sahaja malahan kebanjiran belalang ini turut menjejaskan tanaman-tanaman hijau di Kenya dalam sebuah ladang seluas 190, 000 hektar.

Dapat dilihat bertapa dahsyatnya serangan serangga kecil ini. Apabila berlakunya serangan belalang ini terhadap tanaman pertanian, sudah pasti kesan kepada keselamatan bekalan makanan akan dibangkitkan lagi-lagi dalam situasi wabak Covid-19 yang turut sama melanda ini.

Kenya mungkin boleh menekan butang panik dalam memikirkan soal keselamatan bekalan makanannya kerana dikatakan industri pertanian mereka telah terjejas teruk. Ditambah lagi ia merupakan industri yang paling besar di rantau Afrika Timur. Keadaan itu seterusnya boleh mendatangkan kebinasaan kepada ekonomi Kenya.

Dalam keadaan ini, negara Afrika Timur lain seperti Uganda turut mengalami masalah yang sama. Menteri Pertanian Uganda melaporkan mereka bakal kehilangan hasil pendapatan negara sebanyak USD 218 juta ataupun 8% daripada hasil pendapatan eksport mereka.

Boleh dikatakan bahawa negara-negara di rantau Afrika Timur bakal mengalami daya penurunan ekonomi yang dahsyat akibat terjejasnya industri pertanian yang menjadi penyumbang sebanyak 30% GDP di seluruh negara Afrika Timur. Antara tanaman pertanian yang terjejas ialah jagung, gandum dan kentang.

Isu bekalan makanan di Afrika sudah pasti tidak akan pernah terlepas dengan isu kemiskinan. Afrika sudah lama dilanda masalah kekurangan bekalan makanan ditambah pula dengan konflik bersenjata di sana. Kebanyakan ladang pertanian di Afrika pula hanya diusahakan dalam keluasan yang amat kecil dan cukup-cukup untuk memenuhi keperluan keluarga pengusaha ladang itu sahaja.

Jika ada hasil pertanian yang lebih, mereka akan menjualnya. The Food & Agriculture Organization (FAO) memberi amaran bahawa seramai 33 juta orang di Afrika Timur akan menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan akibat serangan belalang terhadap pertanian di sana.

Kalau dilihat dalam soal kebajikan penduduk, perkara ini akan memberi kesan kemiskinan yang teruk kepada mereka. Konflik bersenjata di Afrika banyak didasari atas faktor kemiskinan yang menyebabkan mereka terdesak untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Ini pernah terjadi sewaktu krisis makanan berlaku yang mengakibatkan rampasan bekalan makanan di Lake Chad Basin (2017), Sudan Selatan (2016) dan Somalia (2011).

Mungkin negara-negara Afrika yang mengalami krisis kekurangan bekalan makanan akibat serangan belalang akan menghadapi krisis bersenjata daripada rakyat yang terjejas teruk dengan masalah kemiskinan.

Bagi mengelakkan perkara ini mungkin bakal berlaku, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil inisiatif melalui The Food & Agriculture Organization (FAO) melaksanakan kempen derma bagi mengutip dana sebanyak US$ 138 juta bagi membantu penduduk yang terjejas dan mencegah populasi belalang dari terus merebak.

Rajah 2: Serangan belalang terhadap pertanian di Afrika Timur akan mewujudkan gelombang krisis bekalan makanan menjadi lebih parah (Sumber: Al Jazeera)

Rantau Asia Selatan terutamanya India dan Pakistan turut mengalami nasib yang senada dengan Afrika Timur. Dalam kesibukan kedua-dua negara menangani wabak Covid-19, krisis bekalan makanan juga terpaksa mereka hadapi.

FAO mengeluarkan laporan yang mengatakan Iran dan Pakistan merupakan pusat pembiakan belalang gurun. Di Pakistan, 38% kawasan (60% di Balochistan, 25% di Sindh dan 15% di Punjab) adalah kawasan pembiakan belalang gurun ini. Laporan ini pernah digunakan oleh aktor TV India iaitu Arnah Goswani yang memprovokasi Pakistan sebagai punca kepada belalang ini menyerang India.

FAO melaporkan bahawa tanaman seperti kacang buncis, gandum dan seed oil akan terjejas teruk. Pakistan akan mencatat kerugian sebanyak PKR 353 juta dan PKR 464 juta bagi tanaman yang akan disemai pada musim panas nanti yang dinamakan sebagai kharif manakala India pula mencatatkan serangan belalang di Punjab, Madhya Pradesh dan Gujarat.

Apabila di campur kesemua keluasan ladang pertanian ladang yang terjejas di India, seluas 50,000 hektar telah pun dirosakkan oleh belalang. Sama juga dengan Pakistan, tanaman gandum telah menjadi mangsa serangan belalang dan ladang pokok kapas juga tidak terkecuali.

Mandeep Singh, seorang pengusaha ladang pokok kapas mengatakan situasi ini dikhuatiri menyebabkan industri kapas India akan jatuh. Tanaman seperti sayur-sayuran juga rosak seterusnya menyebabkan India dalam ke arah menghadapi krisis bekalan makanan.

Rajah 3: Seorang peladang menunjukkan belalang yang menyerang ladang pertanian di Punjab, timur Pakistan. (Sumber: Xinhua)

Kesimpulan

Serangan belalang yang bermula di rantau Afrika Timur seterusnya di Asia Selatan telah menyebabkan negara-negara yang terjejas terpaksa berhadapan dengan dua isu iaitu Covid-19 dan belalang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis keselamatan bekalan makanan dan menguji sejauh manakah negara-negara yang terjejas ini bersedia dalam menghadapi krisis ini. Isu keselamatan bekalan makanan ini akan sentiasa dimainkan di negara-negara berkenaan dan semestinya diperhatikan oleh rakyat mereka untuk melihat kecekapan negara mereka menguruskannya.

Timbul persoalan adakah krisis ini akan menjejaskan negara-negara pengimport makanan daripada mereka. Bagi saya, ianya berkemungkinan sedikit terjejas.

Wabak Covid-19 telah menyedarkan banyak negara tentang kepentingan keselamatan bekalan makanan agar bekalan makanan sentiasa mencukupi. Ditambah oleh dasar tutup semua negara akibat wabak ini, negara-negara yang terjejas akan lebih berhati-hati untuk mengeksport makanan mereka.

Rantau Afrika Timur sudah terjejas ekonominya akibat serangan belalang ini. Menurut laporan The Outlook Asia, Bank Dunia mendedahkan negara-negara Asia Selatan bakal mengalami prestasi ekonomi paling buruk dalam tempoh 40 tahun akibat penularan Covid-19. Laporan Bank Dunia mengatakan pertumbuhan sekitar rantau itu berlegar sekitar 1.8% hingga 2.8% berbanding 6.3% sebelum penularan Covid-19 dan ini satu jurang yang agak besar. India akan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 1.5% berbanding anggaran sebanyak 5%. Ini mungkin sudah cukup menguatkan bahawa India dan Pakistan akan sukar untuk mengeksport sumber makanannya ke negara luar terutamanya bawang. Adakah globalisasi akan mati buat sementara waktu? Kita tunggu dan lihat.

*Imran Hakimi merupakan Kolumnis Fokus dan Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Black Lives Matter, White Supremacy, Ketuanan Melayu: Apa Cara Fikir Kita?

Next Post

Pendatang Asing di Malaysia: Realiti & Ancaman

Related Posts