Hampir 90% daripada pengeluaran tenaga yang dirancang dibawah Southern Johor Renewable Energy Corridor (SJREC) telah menarik pengguna dari Singapura, ketika projek bernilai AS$6 bilion itu menyasarkan eksport elektrik mulai 2029.
Kelulusan bersyarat daripada pihak berkuasa Singapura telah membuka laluan eksport.
Pemaju projek, Ditrolic Energy Holdings Sdn Bhd, berkata anak syarikatnya Southern Solar Alliance Pte LTD, telah menerima kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA) Singapura untuk membekalkan elektrik sehingga 600 megawatt (MW) dari Johor ke Singapura. – Ditrolic Energy
Kelulusan tersebut meliputi tenaga elektrik yang dijana daripada kemudahan solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri di Johor.
Bagaimanapun, eksport hanya boleh dimulakan selepas projek memperoleh kelulusan kawal selia dan teknikal yang diperlukan di kedua-dua negara, memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga elektrik, mendapatkan pembiayaan serta mencapai pencapaian pembangunan lain yang ditetapkan. – NST
Southern Solar Alliance merupakan salah satu daripada dua projek berkaitan Malaysia yang menerima kelulusan bersyarat daripada EMA untuk mengimport elektrik ke Singapura.
Satu lagi projek dikemukakan oleh Sembcorp Utilities Pte Ltd dengan kapasiti yang dicadangkan sebanyak 300 MW, menjadikan jumlah kapasiti yang diluluskan bagi kedua-dua projek itu sebanyak 900 MW. – The Edge
“Kelulusan ini merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat dan mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keteguhan teknikal, skala serta kebolehpercayaan projek import tenaga kami di bawah platform SJREC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ditrolic Energy, Tham Chee Aun, dalam satu kenyataan. – The Edge
Sebahagian besar pengeluaran yang dirancang dikatakan mendapat minat pengguna di Singapura dari pelbagai sektor.
Ditrolic Energy berkata hampir 90% daripada pengeluaran tenaga yang dirancang telah mendapat minat pembelian daripada pengguna di Singapura, termasuk sektor pengangkutan, operasi lapangan terbang dan pelabuhan, pembuatan, farmaseutikal, logistik serta hartanah. – The Edge
Peningkatan permintaan tenaga dan keterbatasan sumber tenaga boleh baharu Singapura mendorong negara itu memperluas import elektrik rendah karbon, termasuk dari Malaysia.
Singapura memerlukan permintaan tenaga yang tinggi, dan menjelang 2050 mereka memerlukan jumlah tenaga sebanyak 83.5 TWj. – PDT
Menurut EMA Singapura, kelulusan bersyarat itu mengukuhkan momentum kerjasama tenaga dua hala antara Singapura dan Malaysia.
Kelulusan tersebut menyusuli kelulusan bersyarat terdahulu bagi import sehingga 1.0 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon dari Sarawak ke Singapura. – NST
Kelulusan itu turut melengkapi Perjanjian Pembangunan Bersama yang ditandatangani oleh Singapore Energy Interconnections (SGEI), SP Group dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan terperinci untuk pembinaan sambungan elektrik kedua berkapasiti sehingga 2 GW antara Singapura dan Semenanjung Malaysia. – NST
Setakat ini, EMA telah memberikan kelulusan dan lesen bersyarat kepada 13 projek import elektrik dari Australia, Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Vietnam. – NST
SJREC merupakan zon solar hibrid dan penyimpanan tenaga bateri yang dirancang meliputi kawasan seluas 2,000 kilometer persegi di sepanjang pantai timur Johor. – Ditrolic Energy
Projek ini akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun oleh Permodalan Darul Ta’zim (PDT), iaitu cabang pelaburan kerajaan negeri Johor, bersama Ditrolic Energy dan International Finance Corporation (IFC), cabang sektor swasta Kumpulan Bank Dunia. – The Edge
Fasa awal projek dijangka merangkumi kapasiti solar sehingga 4 gigawatt-peak (GWp) serta kapasiti penyimpanan tenaga kira-kira 5.1 gigawatt-jam (GWh). – The Edge
Projek ini turut dirancang untuk menyokong industri berasaskan tenaga, termasuk pusat data berskala besar (hyperscale data centres), pengeluar berteknologi tinggi serta syarikat besar lain yang beroperasi di Johor dan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ). – The Edge
Koridor yang dirancang itu merupakan sebahagian daripada strategi Johor untuk memperluas penjanaan tenaga boleh baharu dan menyokong agenda pembangunan hijau negeri.
Kerjasama PDT, Ditrolic dan IFC merangkumi pembangunan projek, sokongan teknikal serta potensi pembiayaan. – Ditrolic Energy
Kerjasama itu diumumkan bersempena dengan pelancaran Johor Renewable Energy Policy 2030 dan selari dengan aspirasi Johor Green Development Policy 2030. – Ditrolic Energy
Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute
_ _ _ _ _
RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.