Malaysia Luluskan Eksport Pertama Nadir Bumi ke AS, Perkukuh Rantaian Bekalan Pertahanan Washington

Persoalan

Adakah Malaysia sedang dijadikan sumber alternatif kepada China dalam rantaian bekalan nadir bumi untuk keperluan pertahanan Amerika Syarikat?

Kenapa ia penting

Permit eksport sehingga 700 tan karbonat nadir bumi dari Perak kepada DTEC, syarikat pemula milik majoriti pelabur AS, meletakkan Malaysia dalam strategi mine-to-magnet Pentagon yang disasarkan siap menjelang 2027. Bagi tempoh 2021 hingga 2024, China membekalkan 71 peratus import sebatian dan logam nadir bumi AS, manakala Malaysia kedua dengan 13 peratus melalui Lynas di Kuantan. Di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART), Malaysia juga bersetuju untuk tidak mengenakan larangan eksport mineral kritikal ke AS dan menghapuskan kuota eksport nadir bumi bagi pasaran tersebut.

Malaysia meluluskan permit eksport sehingga 700 tan karbonat nadir bumi ke Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyokong usaha Washington memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal bagi memenuhi keperluan sektor pertahanannya menjelang 2027.

Sebuah syarikat pemula yang majoriti pemilikannya dikuasai pelabur Amerika Syarikat (AS) telah menerima kelulusan untuk mengeksport unsur nadir bumi ke AS bagi tujuan penyelidikan. 

Ketua Pegawai Eksekutif DTEC Mineral and Metal Technology, Milan Perlly, berkata permit berkenaan membenarkan syarikat itu mengeksport sehingga 700 tan metrik karbonat nadir bumi dari negeri Perak. – REEx

Penghantaran awal kira-kira 30 tan telah berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang dan dijangka tiba di Long Beach, California.- REEx

Menurut Perlly, unsur tersebut akan dihantar kepada syarikat dan institusi penyelidikan di AS bagi menguji teknologi pemisahan dan penapisan unsur nadir bumi daripada mendapan tanah liat ionik di Malaysia. – Reuters

Penglibatan DTEC tidak terhad kepada penyelidikan semata-mata, Amerika Syarikat turut menyasarkan Malaysia menjadi hab pemprosesan unsur nadir bumi berasaskan mendapan tanah liat ionik di rantau ini menerusi pembangunan DTEC.

Perlly berkata, syarikat itu merancang untuk membangunkan dua kemudahan penapisan di Malaysia dengan kapasiti pemprosesan keseluruhan sebanyak 10,000 tan metrik setahun. – The Edge

Kemudahan pertama dijangka mempunyai kapasiti 5,000 tan metrik setahun dan dibangunkan di pantai timur, manakala kemudahan kedua dengan kapasiti yang sama akan dibina di pantai barat. – The Edge

“Amerika Syarikat mahu kami membangunkan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 tan metrik,” katanya. – The Edge

Pada ketika ini, DTEC sedang meneliti lokasi yang bersesuaian selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Kedah, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan. – The Edge

Perancangan tersebut selari dengan usaha Washington mengurangkan kebergantungan terhadap sumber nadir bumi China dan membangunkan rantaian bekalan bersepadu bagi memenuhi keperluan sektor pertahanannya.

Pemangku Timbalan Penolong Setiausaha Pertahan, Danielle Miller, berkata Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD) menyasarkan pembentukan rantaian bekalan nadir bumi bersepadu, daripada perlombongan hingga penghasilan magnet (mine-to-magnet), bagi memenuhi keperluan sektor pertahanan AS menjelang 2027. – DoW

Keperluan tersebut didorong oleh penggunaan unsur nadir bumi dalam penghasilan pelbagai aset ketenteraan, termasuk pesawat pejuang F-35, kapal selam kelas Virginia dan Columbia, sistem radar serta peluru berpandu Tomahawk. Menurut Pentagon, sebuah pesawat F-35 sahaja memerlukan lebih 408 kilogram (900 pounds) unsur nadir bumi. – DoW

Kebergantungan terhadap China turut menjadi faktor utama yang mendorong usaha tersebut. Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), China membekalkan 71 peratus import sebatian dan logam nadir bumi AS bagi tempoh 2021 hingga 2024. – USGS

Selari dengan matlamat tersebut, Perlly berkata DTEC ditubuhkan pada Mei 2025 sebagai syarikat pemula bagi menyokong pelaksanaan pendekatan mine-to-magnet Amerika Syarikat dalam industri nadir bumi. – REEx

Usaha Amerika Syarikat membangunkan rantaian bekalan nadir bumi di Malaysia turut disokong oleh kerangka peraturan perdagangan, pembiayaan dan kerjasama teknologi.

Menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-AS (Malaysia–US Agreement on Reciprocal Trade, ART), Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan larangan eksport mineral kritikal ke AS serta menghapuskan kuota eksport nadir bumi bagi pasaran tersebut. Malaysia turut komited untuk membangunkan sektor mineral kritikal bersama syarikat AS dan tidak menyekat penjualan magnet nadir bumi kepada firma negara itu. – USTR

Memorandum persefahaman (MoU) berasingan mengenai mineral kritikal pula menetapkan komitmen kedua-dua negara untuk mengutamakan pelaburan AS dalam aset mineral kritikal di Malaysia. – White House

Dari aspek pembiayaan, DTEC memaklumkan bahawa Bank Eksport-Import AS (Export-Import Bank of the United States, EXIM) telah menyatakan sokongan terhadap potensi pembiayaan sehingga AS$650 juta bagi cadangan pembinaan sebuah kilang penapisan nadir bumi di Malaysia. – Reuters

Projek DTEC turut layak dipertimbangkan untuk mendapatkan pembiayaan daripada Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS (Development Finance Corporation, DFC) dan Jabatan Pertahanan AS (DoD). – DTEC

Dari segi teknologi, Perlly berkata DTEC telah menandatangani perjanjian pelesenan pada Oktober 2025 bagi menggunakan teknologi pemisahan dan penulenan nadir bumi milik sebuah entiti yang berpihak kepada Barat. – REEx

Teknologi ReElement Technologies Corporation (RTC), yang menerima pelaburan AS$2 juta daripada Jabatan Perang AS pada September 2025, turut berpotensi digunakan dalam pemprosesan nadir bumi di Malaysia. – DoW

Pada Oktober 2026, syarikat induknya, American Resources, mengumumkan penubuhan American Resources Indo Pacific (AREC) yang diketuai Datuk Wira Mark Ling bagi membangunkan rantaian bekalan nadir bumi bersepadu di Malaysia. – CityBiz

Kelulusan permit kepada DTEC bukanlah hubungan pertama antara industri pemprosesan nadir bumi Malaysia dengan rantaian bekalan pertahanan Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang tempoh 2021 hingga 2024, Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar sebatian dan logam nadir bumi ke AS, dengan bahagian sebanyak 13 peratus, menurut USGS. – USGS

Bagaimanapun, bekalan tersebut berasal daripada konsentrat nadir bumi yang dihasilkan di Australia sebelum diproses oleh Lynas di Kuantan, Pahang, untuk dieksport ke AS. – USGS

Hubungan Lynas dengan rantaian bekalan pertahanan AS turut diperkukuh menerusi perjanjian pembekalan secara langsung. 

Pada Mac 2026, Lynas Rare Earths memaklumkan bahawa anak syarikatnya di AS telah menandatangani surat hasrat yang mengikat dengan Jabatan Perang AS bagi memuktamadkan perjanjian pembekalan oksida nadir bumi ringan dan berat. – Lynas

Perjanjian selama empat tahun itu melibatkan peruntukan kira-kira AS$96 juta bagi pembelian bahan tersebut. – Lynas

Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute

_ _ _ _ _

RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AirTrunk Bakal Jual Pusat Data Bernilai $2B di Johor, Susulan Ketidaktentuan Pasaran saham AI

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000