Pertumbuhan Pusat Data di Malaysia Didorong Pembiayaan Hutang, Kapasiti Bank Semakin Terhad

Pertumbuhan pesat pusat data di Malaysia semakin bergantung kepada pembiayaan berasaskan hutang, sekali gus meningkatkan pendedahan sektor tersebut kepada risiko kewangan yang berpotensi memberi kesan lebih luas kepada ekonomi negara.

Menurut S&P Global Ratings, pusat data di Malaysia dianggarkan memerlukan pembiayaan lebih AS$20 bilion (AS$1 = RM4.09) bagi pembangunan powered shells dan peralatan dalam tempoh tiga tahun akan datang, berdasarkan unjuran penambahan kapasiti sekitar dua gigawatt (GW). – The Star

Sokongan pembiayaan daripada sektor perbankan dilihat kukuh, namun kapasiti bank untuk terus membiayai industri tersebut dilaporkan semakin menghampiri had.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Arshad Mohamed Ismail, berkata kepada StarBiz bahawa bank pada masa ini giat menyalurkan pembiayaan kepada industri tersebut, dengan sokongan kukuh daripada pasaran perbankan yang terus berterusan. – The Star

Bagaimanapun, menurut Yijing Ng, Pengarah Penarafan Korporat di S&P, banyak bank memaklumkan bahawa mereka semakin menghampiri had pembiayaan sektor bagi projek-projek seumpama ini. – IFR

Keadaan ini dilihat akan mendorong pengendali pusat data di Malaysia berkemungkinan beralih kepada pasaran bon dolar AS luar pesisir untuk mendapatkan pembiayaan “dalam masa terdekat”, susulan tindakan bank tempatan yang semakin selektif dalam membiayai sektor tersebut. – The Edge

Trend yang sama turut berlaku di peringkat Asia, dengan peningkatan pembiayaan pusat data mula memberi tekanan kepada kapasiti sektor perbankan.

Andrew Ashman, pegawai kanan Barclays Plc berkata pinjaman bernilai berbilion dolar bagi membiayai pembangunan pusat data di Asia semakin menghampiri had kapasiti bank, sekali gus mendorong bank menjadi lebih selektif dalam memilih projek. – The Edge

Jumlah pinjaman bagi projek pusat data di rantau Asia meningkat kepada hampir AS$29 bilion (RM117 bilion) sejak awal tahun lalu, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Bloomberg. – The Edge

Jumlah tersebut mencecah rekod AS$15 bilion setakat tahun ini, meningkat 27% berbanding tempoh sama pada 2025. – The Edge

Trend tersebut dijangka terus meningkat apabila DayOne Data Centers Ltd yang berpangkalan di Singapura sedang berunding untuk menggandakan pinjaman sedia ada sehingga AS$7 bilion, yang berpotensi menjadi pembiayaan hutang pusat data terbesar di Asia. – The Edge

Antara pembiayaan pusat data terbesar di Asia Pasifik ialah pinjaman hijau AirTrunk bernilai AS$2.325 bilion dan ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) sebanyak AS$1.37 bilion, kedua-duanya bagi projek di Johor. – IFR

Kebergantungan kepada hutang serta pendapatan AI yang masih perlahan berisiko mencipta gelembung AI, seterusnya memberi kesan kepada ekonomi. 

Meskipun Nomura Asset Management melihat kedudukan aliran tunai sebagai faktor yang membezakan gelembung AI daripada era dot-com, data menunjukkan dana dalaman syarikat hyperscaler semakin terhad, dengan perbelanjaan pembangunan dijangka mengatasi aliran tunai operasi. – The Edge

Menurut laporan Brookings, perbelanjaan modal (CapEx) gabungan Oracle, Microsoft, Amazon, Meta dan Alphabet meningkat daripada kira-kira AS$97 bilion pada 2020 kepada lebih AS$400 bilion pada 2025, dan diunjurkan melebihi AS$800 bilion pada 2026. – Brookings

Berdasarkan unjuran semasa, perbelanjaan modal dijangka mengatasi aliran tunai operasi gabungan kelima-lima syarikat, yang berjumlah AS$707 bilion, buat kali pertama pada 2026. – Brookings

Pada masa sama, jumlah pendapatan AI global kini dianggarkan sekitar AS$150–220 bilion setahun, menunjukkan saiz pasaran yang masih kecil berbanding nilai pelaburan dan perbelanjaan modal yang dicurahkan ke sektor AI. – The Economist

Di Malaysia, Syarikat hyperscaler seperti AWS, Google, Microsoft dan Oracle menguasai 55.82% bahagian pasaran pusat data AI Malaysia pada 2024. – Mordor

Syarikat-syarikat ini membangunkan pusat data sendiri sambil terus menyewa kapasiti daripada penyedia lain, sekali gus memberi tekanan kepada harga perkhidmatan pusat data sedia ada. – Mordor

Pertumbuhan pesat pusat data Malaysia yang banyak bergantung kepada pembiayaan hutang berpotensi memberi kesan ketara kepada ekonomi negara.

Ini kerana sektor tersebut kini mempunyai peranan yang semakin besar dalam ekonomi Malaysia.

Pada separuh pertama 2026 sahaja, projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion (AS$23.5 bilion), atau hampir 44% daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan. – The Edge

Menurut HSBC, pelaburan pusat data turut menyamai 18% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, antara bahagian tertinggi di dunia. – The Economist

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dilaporkan telah menerima lebih daripada 40 permohonan untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi pusat data di Malaysia tahun ini. – Hmetro

Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute

_ _ _ _ _

RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perluas Penguasaan Rantaian Bekalan Gas, Sarawak Jalin Kerjasama dengan Syarikat Norway Bangunkan Terminal LNG

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000