kenyataan Media

Kenyataan Media
Pelancaran Buku Terbaru IRIS Institute
Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia”
25 Nov 2021

  1. Wacana mengenai pembangunan nasional dan kedaulatan negara di Malaysia masih bersifat cetek dan tidak holistik. Meskipun pelbagai gagasan seperti DEB, Wawasan 2020, dan WKB 2030 telah dikemukakan, status quo di negara ini masih tidak mengalami sebarang anjakan yang struktural semenjak negara ini didatangi oleh kuasa penjajah.
  2. Jurang kemiskinan yang ketara antara bandar-luar bandar, negeri dan kaum masih kekal menjadi perbincangan yang relevan. Kronisme dan politik wang menjadikan kepentingan kelompok tertentu mengatasi kepentingan nasional. Situasi ini mendedahkan negara kepada ancaman separatisme dan pengaruh kuasa asing.
  3. Selaras dengan misi IRIS Institute untuk mengemukakan kajian yang bersifat mendalam dan komprehensif dalam konteks pembangunan nasional, buku “Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia” ini menawarkan sebuah diagnosis baharu terhadap pembentukan realiti dan masa hadapan Malaysia.
  4. Buku ini mendedahkan bagaimana penjajah Barat dan proksi mereka melaksanakan strategi Settler-Colonialism, iaitu strategi yang terancang untuk merombak demografi, pemilikan tanah, pegangan ekonomi, serta pegangan politik orang Melayu agar membolehkan penjajah dan proksinya menguasai dan mengekalkan kuasa di rantau ini.
  5. Strategi Settler-Colonialism merupakan strategi yang mendominasi ruang (spatial domination) yang penting dalam sebuah peradaban iaitu menerusi bandar-bandar. Sepanjang proses pembandaran kolonial yang dimulakan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 sehinggalah ke zaman British, penjarahan wilayah bukan sahaja berlaku secara besar-besaran, malah ia telah ‘membunuh’ secara halus identiti dan sistem nilai yang dibangunkan oleh peradaban Melayu sejak turun temurun sebelum kedatangan penjajah.
  6. Implikasi utama kepada strategi ini ialah berlakunya genosid bangsa atau penghapusan bangsa Melayu secara sistematik dari tanah air ini, baik dari dimensi fizikalnya iaitu kewujudan sosial, pegangan politik dan ekonomi, penguasaan teknologi mahupun daripada dimensi metafizikalnya iaitu minda dan ilmu, warisan budaya, identiti keagamaan dan bahasa.
  7. Buku ini juga meneliti pengalaman bangsa-bangsa lain di seluruh dunia seperti penghapusan bangsa yang berlaku ke atas bangsa di Palestin dan Uyghur. Kajian ini membuktikan bahawa terdapat persamaan dengan apa yang berlaku di Tanah Melayu dari sudut objektif, pelaksanaan, dan aktor-aktor yang menjalankan agenda Settler-Colonialism dan genosid bangsa tersebut.
  8. Melalui penelitian terhadap kajian kes Bandaraya Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, kajian ini membuktikan bahawa strategi ini telah dilaksanakan secara tersusun dan telah membawa implikasi yang dikehendaki oleh penjajah.
  9. Kajian ini mengisi kelompongan yang besar dalam memahami secara mendalam dan menyeluruh tentang strategi sebenar yang telah disusun oleh penjajah satu masa dahulu. Kelompongan kefahaman yang strategik ini mengakibatkan negara terperangkap dalam sebuah reka bentuk (architecture) kenegaraan yang kekal menguntungkan elit kapitalis tempatan dan luar negara, serta menjerat rakyat biasa dalam kitaran kemiskinan dan kejahilan.
  10. IRIS Institute berharap melalui penerbitan buku ini, semua pihak berkepentingan termasuklah Kerajaan, parti-parti politik, golongan intelektual, pemimpin masyarakat, masyarakat Melayu serta seluruh warga Malaysia akan kembali memahami sejarah negara dan bangsa di tanah air ini melalui naratif strategik yang sepatutnya, seperti yang ditawarkan dalam kajian ini.
  11. Buku ini adalah bukti komitmen tinggi IRIS Institute dalam menjalankan kajian strategik terhadap sejarah, realiti, dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. Terdahulu IRIS Institute telah menerbitkan sebuah buku yang menerima Anugerah Buku Negara (2019) berjudul ‘Penchinaan Malaysia; Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa’, yang memaparkan bagaimana bentuk dan implikasi sebuah penjajahan bentuk baru atau neo-kolonialisme yang terkandung dalam agenda projek-projek kerajaan China di Malaysia.
  12. Kami mengalu-alukan sebarang bentuk wacana awam dan diskusi mengenai buku yang kami terbitkan. Pembelian buku boleh dibuat menerusi laman web IRIS Institute https://fokus.my/ dan orang awam dialu-alukan untuk menyumbangkan sebarang penulisan dan komentar di portal artikel https://fokus.my/ serta jurnal berwasit https://ijistra.com/index.php/journal.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
IRIS Institute

Skip to content