Sekali lagi kita dikejutkan dengan sasaran terbaru missionaries iaitu komuniti Iranun di Sabah, Malaysia. Populasi komuniti ini hanyalah seramai 16,800 dan 97 peratus daripadanya adalah muslim. Komuniti muslim yang perlu dijaga ini masih bebas daripada kepercayaan Kristian dan projek ini adalah kesinambungan selepas missionaries mensasarkan kawasan sasaran utama iaitu ‘10/40 window’.
Komuniti Iranun merupakan pelayar yang cekap dan tempat tinggal mereka Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi pantai. Namun begitu, ada juga yang terletak di bahagian yang agak jauh dari pantai. Populasi penempatan mereka adalah di daerah Kota Belud, seperti di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau,Marabau, Payas-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain. Selain itu, komuniti Iranun juga tinggal di kampung-kampung di Lahad Datu, Kudat, Likas dan Kota Kinabalu. Di luar Malaysia, mereka menetap di Kepulauan Sulu dan Mindanao, Filipina.
“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.” (Al Baqarah: 120) .
Kita wajib berpegang bahawa hanya agama Islam sahaja yang diiktiraf oleh Allah S.W.T. Hakikatnya, kepercayaan lain selain agama Islam tidak layak untuk disebarkan kepada manusia seluruhnya.
Sasaran ‘missionaries’ ini dirujuk daripada web ‘Joshua Project’ dan realitinya, kita sudah ketinggalan. Mereka sudah bergerak mendakyah kebanyakan komuniti kecil di seluruh dunia. Antaranya ialah Jola-Fonyi di Perancis, Bania di Bangladesh, Silti di Ethiopia, Mixteco di Mexico, Daroga di India, Bai di China,Safaliba di Ghana, Bikol di Selatan Sudan dan banyak lagi.
‘Joshua Project’ hanyalah peratus kecil antara perancangan licik oleh ‘missionaries’. Kita boleh mengakses web tersebut untuk mengetahui perincian data kumpulan sasaran ‘missionaries’.
Kita jelas dengan harapan ‘missionaries’ iaitu menyampaikan dakyah Kristian sehingga terhapus pegangan Islam dalam kalangan kumpulan sasaran. Dalam peta dunia hari ini, kepercayaan komuniti Iranun adalah Islam. Namun begitu, sekiranya kita terlambat, tidak mustahil peratusan agama yang dianuti oleh mereka beberapa tahun sahaja lagi sudah sepenuhnya Kristian.
Di Malaysia, penyebaran agama selain Islam adalah satu kesalahan. Fakta ini selari dengan Perlembagaan Malaysia yang mesti dipegang oleh setiap rakyat. Kita hendaklah turun padang menghalang kegiatan licik missionaries dan segera melaporkan kepada pihak berwajib bagi setiap maklumat yang kita peroleh.
Komuniti Iranun adalah antara komuniti terkecil di Malaysia yang tersenarai dalam statistik ‘Joshua Project’ yang kadar aktiviti evangelis adalah yang paling kecil. Jika tidak diberikan perhatian terhadap perancangan dan strategi evangelis antarabangsa seperti ‘Joshua Project’ ini, tidak mustahil suatu hari nanti komuniti Iranun juga akan mempunyai penganut kristian seperti suku-suku kecil di Afrika yang telah disenaraikan di atas.
Oleh : Wan Amalina Wan Ismail,
Unit Kajian Kristianisasi
Al-Quds Centre for Studies and Development (QUDS)