Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bakal meluaskan penguasaannya dalam industri gas asli menerus pembangunan terminal regasifikasi (RGT) di Kuching, sejajar dengan peranannya sebagai pengedar tunggal gas di Sarawak.
Dalam kenyataan pada Khamis (1 Okt), Petros memaklumkan pihaknya telah memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan syarikat infrastruktur tenaga maritim berpangkalan di Norway, Höegh Evi. – Petros
Kerjasama tersebut bertujuan membangunkan, memiliki dan mengendalikan Terminal LNG Kuching yang bakal menjadi komponen utama dalam pembangunan Hub Karbon Rendah Kuching (KLCH). – Petros
Projek terminal berkenaan akan dilengkapi dengan unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU), infrastruktur tambatan, talian paip dasar laut serta darat, selain kemudahan penerimaan di darat. – Petros
Menurut Petros, terminal itu bertindak membekalkan gas ke Kuching dan kawasan sekitarnya bagi menampung permintaan tenaga yang kian meningkat, sekali gus mengukuhkan keterjaminan tenaga negeri. – Petros
Pembangunan fasiliti baharu ini menyaksikan Petros dan Petronas bersaing dalam pembangunan infrastruktur regasifikasi, bagi memenuhi permintaan gas import yang dijangka mengatasi kapasiti dua RGT sedia ada seawal 2029.
Pada April tahun lalu, PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan menerima mandat oleh kerajaan untuk membangunkan terminal regasifikasi (RGT) ketiga negara di Lumut, Perak. – The Edge
Fasiliti baharu itu difahami mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya setaraf dengan dua RGT sedia ada milik kumpulan berkenaan di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor. – The Edge
Kedua-dua projek berkenaan dijangka beroperasi menjelang 2029 dengan RGT Lumut pada suku kedua, manakala terminal Petros di Kuching menyasar pengeluaran gas pertama menjelang akhir tahun tersebut.
Langkah baharu ini dijangka memperluas penguasaan Petros dalam ekosistem tenaga tempatan, susulan pengambilalihan peranan sebagai pengedar tunggal gas di Sarawak daripada Petronas.
Pada Julai 2024, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi mengumumkan bahawa tempoh peralihan penyerahan fungsi pengedaran gas itu berjalan mulai 1 Julai 2024 hingga 1 Januari 2025. – Astro Awani
“Petros mengambil alih peranan tersebut daripada Petronas bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli, malah menjalankan semua aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak,” katanya. – Astro Awani
Selain itu, Petros berkata terminal LNG ini akan menjadi pemangkin utama KLCH dalam membekalkan gas secara konsisten ke Kuching bagi menjana kuasa elektrik dan memacu pembangunan industri. – Petros
KLCH dilancarkan pada November 2024 di bawah Sarawak Gas Roadmap.
Bagi menyokong pelan induk hub berkenaan, Petros memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan syarikat China, China Jiangsu International, pada Mei tahun lalu. – Petros
Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute
_ _ _ _ _
RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.