Indonesia membuka laluan normalisasi dengan Israel melalui penglibatan keselamatan di Gaza dan pengukuhan hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat, selari dengan kerangka diplomatik AS yang menyokong kepentingan strategik Israel.
Negara majoriti Muslim terbesar di dunia ini memulakan perubahan dasar diplomatiknya, meninggalkan sokongan tradisional kepada Palestin melalui langkah ekonomi dan komitmen keselamatan yang menyokong kepentingan Israel.
Penglibatan keselamatan terkini Indonesia secara langsung menyokong kedudukan Israel dalam rundingan genjata senjata dengan Hamas.
Indonesia dilaporkan telah mengambil peranan sebagai Timbalan Komander dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), mekanisme keselamatan multilateral yang mandat utamanya berpusat pada pelucutan senjata Hamas, satu pra-syarat utama Israel untuk sebarang perjanjian gencatan senjata di Gaza. – Bharian, CNA
“Saya telah menawarkan dan Indonesia menerima jawatan Timbalan Komander bagi ISF,” kata Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers. – Bharian
Jurucakap tentera, Donny Pramono, berkata Indonesia bersedia menempatkan seramai 1,000 anggota tentera ke Gaza menjelang April, dan jumlah itu boleh ditingkatkan sehingga 8,000 menjelang akhir Jun tahun ini. – DW
Komitmen keselamatan ini melangkaui penglibatan operasi semata-mata. Indonesia juga telah menyertai Lembaga Keamanan (Board of Peace), satu inisiatif diplomatik yang menempatkan Jakarta dalam kerangka penyelesaian konflik serantau yang didominasi AS. – CNA
Dengan Presiden Donald Trump sebagai Pengerusi Lembaga Keamanan, Amerika Syarikat memiliki pengaruh besar terhadap arah strategik inisiatif ini, secara efektif meletakkan Indonesia dalam orbit diplomatik Amerika-Israel.
Pada masa sama, proses normalisasi ini dipercepatkan oleh keterikatan Indonesia yang semakin mendalam terhadap perjanjian ekonomi dan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Indonesia dan Amerika Syarikat pada hari Rabu menandatangani perjanjian bernilai US$38.4 bilion (RM150.28 bilion) menjelang pertemuan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memeterai perjanjian perdagangan akhir. – The Edge
Sebanyak 11 perjanjian ditandatangani pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh US Chamber of Commerce, merangkumi kerjasama dalam sektor perlombongan, tenaga, agribisnes, tekstil, perabot dan teknologi, menurut Prabowo. – The Edge
Selain hubungan dua hala AS-Indonesia, Jakarta telah menjalin hubungan industri secara langsung dengan ekosistem ekonomi Israel.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Indonesia (ESDM) telah mengumumkan PT Ormat Geothermal Indonesia sebagai pemenang bidaan bagi Ranu Lake Geothermal Working Area (WKP) di Halmahera Barat, Maluku Utara. – Tempo
Menurut laman web rasmi syarikat, PT Ormat Geothermal Indonesia adalah anak syarikat Ormat Technologies Inc., sebuah syarikat tenaga geoterma global yang ditubuhkan pada tahun 1965 di Yavne, Israel. – Tempo
Projek Telaga Ranu ini memperkukuh lagi kehadiran syarikat itu di negara ini.
Ormat telah beroperasi di Indonesia selama bertahun-tahun, memiliki pegangan dalam projek seperti fasiliti geoterma Ijen di Jawa Timur dan membekalkan peralatan serta kepakaran untuk ladang-ladang termasuk Salak. – JakartaGlobe
Syarikat ini secara meluas dilihat oleh pengkritik sebagai sebahagian daripada rangka kerja diplomasi awam Israel yang lebih luas, yang sering dirujuk sebagai Hasbara, di mana sektor strategik seperti tenaga digunakan untuk memperluas penerimaan dan menormalisasi kerjasama antarabangsa. – JakartaGlobe
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab