PRN Johor 2026: IRIS Institute jangka peralihan di 7 kerusi, BN menang di 45 kerusi

Pendahuluan: Konteks PRN Johor 2026

1.1  Johor: Kubu Tradisi BN dan pengaruh Identiti “Bangsa Johor”

Johor adalah negeri kelahiran UMNO dan benteng tradisi Barisan Nasional yang paling konsisten di Semenanjung Malaysia. Dominasi BN didukung oleh tiga faktor utama: jentera parti yang kukuh hingga ke peringkat akar umbi, hubungan eksklusif dengan institusi Istana Johor, dan identiti kolektif “Bangsa Johor” yang merentasi sempadan etnik dan parti. Gabungan faktor-faktor struktural ini menjadikan Johor berbeza daripada negeri-negeri lain di mana BN pernah goyah atau tumbang.

1.2  PRN Johor 2022: BN Mendominasi dalam situasi peratus kehadiran terendah

Pilihan raya negeri Johor 2022 (PRN Johor 2022) berlangsung pada 12 Mac 2022. Keputusannya memberikan BN kemenangan majoriti dua pertiga dengan 40 daripada 56 kerusi DUN, berbanding PH 12 kerusi, PN 3 kerusi, dan MUDA 1 kerusi (N41 Puteri Wangsa). Kehadiran pengundi keseluruhan hanya 54.9%, iaitu rekod terendah dalam sejarah pilihan raya Johor.

KomponenKerusi% KerusiCatatan
Barisan Nasional (BN)40 / 5671.4%Majoriti 2/3 penuh
Pakatan Harapan (PH)12 / 5621.4%Kehilangan 24 kerusi vs PRU14
Perikatan Nasional (PN)3 / 565.4%Lemah tanpa bumbung Melayu-Islam
MUDA / Lain-lain1 / 561.8%MUDA (N41 Puteri Wangsa)

Kehadiran rendah ini difahami sebagai manifestasi sikap tidak peduli pengundi atau voter fatigue menurut majoriti penganalisis politik ketika itu, terutama dalam kalangan pengundi muda dan bandar, serta ketiadaan mobilisasi besar daripada pekerja Johor di Singapura (dianggarkan 250,000–400,000 pengundi berdaftar) akibat sekatan COVID-19. Dalam konteks pengundi yang tidak keluar, BN yang mempunyai jentera akar umbi paling kuat antara semua parti berjaya memobilisasi penyokong teras mereka dengan berkesan.

1.3  PRU15 November 2022: Isyarat Berbeza di Peringkat Parlimen untuk BN

Lapan bulan selepas PRN Johor, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada 19 November 2022. Keputusannya memberikan gambaran yang berbeza sepenuhnya, kerana BN mengalami pengurangan kerusi daripada 120 kerusi kepada hanya 30 kerusi parlimen. Di Johor khususnya, BN memenangi hanya 9 daripada 26 kerusi Parlimen berbanding 25 daripada 26 dalam PRU14. Kehadiran Johor dalam PRU15 melonjak kepada 73.3%, hampir 20 mata peratusan lebih tinggi daripada PRN Johor 2022 yang berlangsung hanya lapan bulan lebih awal.

Pakatan/KoalisiKerusi (Nasional)UndiTrend
Pakatan Harapan (PH)82PKR 2.22j · DAP 2.12j · AmanahTerbanyak kerusi
Perikatan Nasional (PN)732.60j undi (PAS)PAS terkuat Semenanjung
Barisan Nasional (BN)302.30j undi (UMNO)Runtuh dari 120→30
GPS / GRS / WARISAN32 (Sabah+Swk)1.12j undi (GPS, GRS, WARISAN)Penyumbang kerajaan perpaduan

Indikator penting PRU15 yang relevan kepada PRN Johor 2026: kajian Huayan mendapati 90.7% pengundi Cina memilih PH; kajian UM mendapati 72.1% anak muda bersetuju perpaduan berteraskan Melayu-Islam penting untuk kestabilan; PH mendominasi kawasan bandar dan semi-bandar manakala PN menguasai luar bandar. Sabotaj dalaman UMNO dikenal pasti sebagai faktor kekalahan terbesar BN dalam PRU15.

1.4  Landskap dan Dinamik Politik menjelang PRN Johor 2026

PRN Johor 2026 dijadualkan pada 11 Julai 2026 (Sabtu). Johor berdepan dua corak pengundian yang saling berbeza. Pertama, corak PRN (kehadiran rendah, BN dominan). Kedua, corak PRU15 (kehadiran tinggi, beri kelebihan kepada PH). Landskap parti pada 2026 menyaksikan beberapa perkembangan penting.

  • Parti Wawasan merupakan parti baharu ditubuhkan pada Jun 2026 oleh Hamzah Zainudin dan baru diterima masuk ke dalam Perikatan Nasional. Parti Wawasan tidak bertanding di Johor dan hanya menyertai pilihan raya di Negeri Sembilan. 
  • Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih kekal dalam PN Johor. 
  • PAS mengumumkan sokongan terbuka kepada BN di 23 kerusi DUN Johor tanpa calon PN, dengan arahan undi secara eksplisit. 
  • Puad Zarkashi mengumumkan keluar UMNO pada 25 Jun 2026, menambah dimensi baharu kepada dinamik kerusi Batu Pahat. 
  • Seramai 172 calon menyertai PRN 2026 dengan BN dan PH masing-masing bertanding penuh di 56 kerusi, manakala PN hanya memasukkan 33 calon. 
  • Pengundi Johor 2026 berjumlah 2,727,926 orang dengan komposisi 53.8% Melayu, 35.9% Cina, dan 7.2% India.
  • Ketegangan dalaman PN turut menjadi faktor baharu apabila ketidakselarasan antara kepimpinan BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan PAS mencetuskan persoalan sejauh mana penyokong BERSATU akan mengundi calon PAS berlogo PN, dan sebaliknya.

Berdasarkan perkembangan landskap parti politik di Malaysia, PRN Johor 2026 berlangsung dalam landskap politik yang lebih kompleks berbanding PRN 2022. Walaupun BN masih mempunyai kelebihan struktur melalui kekuatan organisasi dan kemungkinan mendapat limpahan sokongan PAS di sebahagian kerusi. Keputusan pilihan raya tetap bergantung kepada banyak faktor antaranya seperti kadar keluar mengundi, situasi dalaman parti dan trend pengundi.

Metodologi dan Limitasi

2.1  Reka Bentuk Simulator

Laporan ini menggunakan keputusan daripada Simulator PRN Johor 2026 IRIS Institute, iaitu alat simulasi berkomputer yang merangkumi semua 56 kerusi DUN Johor. Empat prinsip teras mendasari reka bentuknya:

Pertama, Penanda Aras: penanda aras ialah keputusan sebenar PRN 2022 (BN 40, PH 12, PN 3, MUDA 1; kehadiran 54.9%). Penanda aras tidak diubah suai sehingga senario diaktifkan.

Kedua, Pengiraan Per Calon: pemenang setiap kerusi dikira pada peringkat calon individu, bukan pada peringkat blok parti. Pengiraan ini menghasilkan pengiraan majoriti yang lebih tepat, khususnya bagi kerusi yang menyaksikan persaingan pelbagai penjuru.

Ketiga, Andaian PAS/Bersatu: pecahan blok PN kepada komponen PAS dan Bersatu dianggarkan menggunakan data undi Gagasan Sejahtera PRU14 2018 sebagai proksi. Nisbah anggaran: PAS ≈ 40%, Bersatu ≈ 60% blok PN Johor.

Keempat, Model Kehadiran Campuran: pengundi tambahan diagihkan menggunakan gabungan 60% corak DUN semasa (tempatan) dan 40% corak PRU15 Parlimen (nasional). Model ini bersifat konservatif.

Simulator PRN Johor 2026 yang digunakan oleh IRIS Institute

Simulator PRN Johor 2026 yang digunakan oleh IRIS Institute

2.2  Sumber Data

Sumber data yang digunakan: keputusan rasmi SPR bagi PRN Johor 2022, PRU15 (November 2022) dan PRU14 (2018); komposisi pengundi SPR dan DOSM bagi tahun 2022 dan 2026; senarai penuh 172 calon PRN Johor 2026; data undi Gagasan Sejahtera PRU14 sebagai proksi undi teras PAS; serta data komposisi etnik per DUN daripada DOSM MyCensus 2020.

2.3  Panduan Model Senario dan Rasional Parameter

Simulator IRIS diubah suai berdasarkan faktor pemboleh ubah utama yang dimodelkan. Terdapat tiga kategori faktor:

Faktor A (Parti/Blok Politik): mengubah cara undi mengalir antara parti-parti. Ini termasuk sokongan silang parti, boikot, dan kesan ketegangan dalaman blok.

Faktor B (Calon): berkaitan dengan profil dan etnik calon iaitu bagaimana latar belakang calon BN mempengaruhi tingkah laku pengundi yang berbeza.

Faktor C (Kehadiran): mengubah bilangan pengundi yang keluar mengundi. Ini adalah faktor paling mendasar kerana ia menentukan saiz keseluruhan pool undi sebelum senario lain diaplikasikan.

Jadual berikut menyenaraikan semua senario yang terdapat dalam simulator, bersama justifikasi sama ada ia digunakan atau tidak dalam laporan ini:

KODPEMBOLEH UBAHSTATUSJUSTIFIKASI
C1+C2Kehadiran naik — Singapura + luar Johor✓ DigunakanFaktor paling asas. Tanpa pemboleh ubah ini, semua senario lain beroperasi pada jumlah undi 2022 yang statik. Digunakan pada 65% sebagai titik tengah antara PRN 2022 (54.9%) dan PRU15 (73.3%).
A1.1Undi PH berpecah ke BERSAMA/MUDA/PSM✓ DigunakanRisiko nyata perpecahan dalaman PH. Kadar 15% adalah andaian minima dalam setiap pilihan raya terdapat 10–20% pengundi blok yang berpotensi berpindah undi.
A1.2Logo sendiri vs logo gabungan PH✗ Tidak digunakanSenario kualitatif — tidak ada nilai kuantitatif yang boleh dimodelkan. Dalam PRN 2026, PH bertanding dengan logo bersama sepenuhnya. Kesan logo diabaikan dalam laporan ini.
A1.3Undi MUDA 2022 → PH 2026 (6 kerusi)✓ DigunakanMUDA bertanding di 6 kerusi tanpa PH dalam PRN 2022. PRN 2026 menyaksikan PH hadir di kesemua kerusi ini. Senario ini memodelkan peralihan semula jadi sokongan progresif kepada PH.
A2.1Undi PN → BN (blok keseluruhan)✗ Tidak digunakanTerlalu agregat — menganggap semua undi PN berpindah ke BN secara seragam. Digantikan oleh A2.1b yang lebih tepat menggunakan data PAS floor per kerusi.
A2.1bPAS sokong BN terbuka (23 kerusi tanpa PN)✓ DigunakanPAS mengumumkan arahan undi terbuka kepada BN. Data PAS dari GS PRU14 membolehkan anggaran per kerusi yang lebih tepat berbanding A2.1.
A2.2Undi PN → PH (Bersatu arah ke PH)✗ Tidak digunakanTiada bukti atau petanda bahawa Bersatu akan mengarahkan penyokong ke PH dalam konteks PRN 2026. Senario spekulatif yang tidak disokong data lapangan.
A2.4Penyokong PN boikot (abstain)✗ Tidak digunakanDiambil kira secara tidak langsung melalui A2.7 (30% blok Bersatu di kerusi PAS-PN diandaikan abstain). Mengaktifkan A2.4 secara berasingan akan mengira abstain dua kali.
A2.5Logo PN bersatu, jentera pecah✗ Tidak digunakanSenario kualitatif. Kesan ini sebahagiannya sudah ditangkap oleh A2.7 yang memodelkan solidariti Bersatu secara kuantitatif.
A2.6Bersatu abstain — tidak sokong PAS✗ Tidak digunakanBertindih dengan A2.7. Jika A2.7 digunakan pada 70% solidariti, ia sudah memodelkan 30% blok Bersatu yang abstain. Mengaktifkan A2.6 serentak akan mengira abstain Bersatu dua kali.
A2.7Solidariti Bersatu → PAS (11 kerusi PAS-PN)✓ DigunakanDinamik ketegangan Muhyiddin-PAS adalah faktor nyata PRN 2026. Di 11 kerusi calon PAS berlogo PN, 70% blok Bersatu diandaikan tetap mengundi PAS.
A3.1Boikot UMNO (Akar Umbi Puad Zarkashi) di kawasan Dun Rengit✓ DigunakanPuad Zarkashi keluar UMNO 25 Jun 2026 — dua minggu sebelum pengundian. Pengaruhnya dalam Dun Rengit sahaja diambil kira.
A3.2Undi BN → PN✗ Tidak digunakanSenario keruntuhan BN yang ekstrem. Tiada petanda bahawa penyokong BN teras di Johor akan beralih ke PN secara besar-besaran. Relevan sebagai senario tekanan, bukan andaian realistik.
A3.3Undi BN → PH✗ Tidak digunakanSenario gelombang anti-BN yang ekstrem. Memerlukan peralihan tingkah laku yang setara dengan PRU15 penuh — yang sudah dimodelkan melalui C1 pada kehadiran tinggi.
B1Melayu boikot calon MIC/MCA (18 kerusi)✓ DigunakanRisiko kecil tapi nyata apabila BN meletakkan calon bukan-Melayu di kawasan majoriti Melayu. Kadar 5% adalah sangat konservatif.
B2Cina di kerusi majoriti Cina — MCA vs DAP✗ Tidak digunakanKesan ini sudah ditangkap oleh B3 dan B4 yang menggunakan komposisi Cina per kerusi secara lebih tepat. Mengaktifkan B2 serentak akan mengira kesan Cina dua kali.
B3Swing Cina → PH (14 kerusi campuran)✗ Tidak digunakanMemodelkan gelombang Cina ke PH. Dalam konteks laporan ini, andaian adalah solidariti Cina sebahagiannya beralih ke BN (B4), bukan ke PH. Tidak sesuai digunakan serentak dengan B4.
B4Solidariti Cina → BN (18 kerusi MCA/MIC)✓ DigunakanFenomena nyata apabila BN meletakkan calon Cina — pengundi Cina tertentu menyokong calon Cina BN walaupun biasanya undi PH. Kadar 10% adalah anggaran sederhana.
Senario yang tidak digunakan bukan bermakna ia tidak relevan — ia bermakna kesannya sudah ditangkap oleh senario lain, atau andaiannya terlalu spekulatif untuk disertakan dalam laporan pembentangan ini. Pengguna simulator boleh mengaktifkan mana-mana senario secara bebas untuk menguji andaian sendiri.

2.4 Pemboleh Ubah dan Tahap Kepastian

Laporan ini menguji tujuh pemboleh ubah bebas yang mempengaruhi keputusan PRN Johor 2026. Setiap pemboleh ubah mewakili satu dinamik lapangan yang diandaikan berlaku pada 11 Julai 2026, dengan parameter yang menentukan kekuatan atau tahap intensiti dinamik tersebut. Pemboleh ubah bebas ini kemudiannya menghasilkan pemboleh ubah bersandar, iaitu bilangan kerusi dimenangi, majoriti, dan parti yang membentuk kerajaan negeri.

Pemboleh ubah dibahagikan mengikut tahap kepastian bukti, iaitu sejauh mana terdapat asas empirikal atau pengumuman rasmi yang menyokong andaian bahawa dinamik tersebut benar-benar berlaku pada hari pengundian:

Tahap 1: Hampir Pasti. Pemboleh ubah yang disokong oleh pengumuman rasmi atau data sejarah yang kuat. Andaian bahawa trend ini berlaku memiliki justifikasi rasional kepada mana-mana pihak.
KodPemboleh UbahParameterRasional Pemilihan
C1+C2Kehadiran meningkat kepada 65%65%Sejarah: PRN Melaka 2021 (65.8%), PRN Johor 2022 (54.9%, rekod terendah). Johor mempunyai komuniti perantau Singapura yang besar. Kehadiran melebihi PRN 2022 adalah hampir pasti. Parameter ini adalah titik tengah antara PRN 2022 (54.9%) dan PRU15 (73.3%).
A2.1bPAS mengarahkan undi ke BN (23 kerusi tanpa PN)60%PAS telah membuat pengumuman terbuka dan eksplisit. 60% keberkesanan mengambil kira penyokong PAS yang mungkin tidak mematuhi sepenuhnya.
Tahap 2: Berkemungkinan Besar. Pemboleh ubah yang disokong oleh peristiwa yang telah berlaku dan boleh diperhatikan, tetapi intensiti kesannya masih tidak pasti.
KodPemboleh UbahParameterJustifikasi Kepastian
A1.1Sebahagian undi PH berpindah ke parti pecahan (BERSAMA, PSM)15%Risiko pecah undi PH dengan kehadiran BERSAMA dan PSM. Kadar 15% adalah andaian minima kerana dalam setiap pilihan raya terdapat 10–20% pengundi blok atas pagar.
A1.3Undi MUDA 2022 beralih ke PH 2026 di 6 kerusi70%MUDA bertanding di 6 kerusi tanpa PH dalam PRN 2022. PRN 2026 menyaksikan PH hadir di kesemua kerusi ini. Senario ini memodelkan peralihan semula jadi sokongan progresif kepada PH.
A3.1Boikot sebahagian penyokong BN di kawasan Batu Pahat20%Puad Zarkashi keluar UMNO 25 Jun 2026. 20% dipilih kerana beliau memiliki pengaruh dalam kawasan Dun Rengit pada PRN 2022 dengan sekitar 7,000 undi.
Tahap 3: Andaian Analitikal. Pemboleh ubah yang tidak disokong oleh data langsung tetapi defensible berdasarkan logik perilaku pengundi dan komposisi etnik kawasan. Parameter adalah anggaran.
KodPemboleh UbahParameterJustifikasi Kepastian
B4Pengundi Cina di kerusi MCA/MIC beralih ke BN10%Tidak dijumpai data yang konkrit namun dianggar berdasarkan komposisi Cina per kerusi × pool undi PH. Kadar 10% adalah sangat konservatif.
B1Sebahagian kecil pengundi Melayu kurang aktif di kerusi calon MCA/MIC5%Ada sentimen ke arah ini namun masih minimal. Kadar 5% adalah minima yang tidak mengubah mana-mana kerusi secara berasingan. Kesannya hanya terasa secara kumulatif.
PARTI MENANGBNPHPNMUDA
Garis Dasar PRN 2022401231
Unjuran Mod Gabungan (7 Senario)45740

BN mengekalkan kerajaan dengan 45 kerusi, peningkatan lima kerusi daripada garis dasar 2022. Sebanyak 7 kerusi berubah tangan dalam senario ini, didorong oleh senario B4 (Solidariti Cina → BN) yang terpakai di 18 kerusi MCA/MIC.

3.2  Tujuh Kerusi Berubah Pemenang

Enam daripada tujuh perubahan kerusi adalah ke arah BN. Satu kerusi (N25 Rengit) bertukar kepada PN kerana pengaruh peribadi Puad Zarkashi di bekas kerusinya sendiri. Solidariti Cina (B4) mengukuhkan BN di kerusi-kerusi MCA seperti N42 Johor Jaya, N46 Perling, dan N51 Bukit Batu.

Keputusan yang dijana oleh simulator IRIS dengan 7 pemboleh ubah yang disebut di atas

3.3  Analisis Per Senario

3.3.1  C1+C2: Kehadiran 65%

Model konservatif pada kehadiran 65% menjana kira-kira 277,000 pengundi tambahan berbanding garis dasar 54.9%. Pengundi ini diagihkan 60% mengikut corak DUN semasa dan 40% mengikut corak PRU15 Parlimen. Dalam model ini, peningkatan kehadiran tidak mendramatikkan keputusan kerana pengundi tambahan cenderung mengundi seperti jiran mereka yang sedia ada. Senario ini bertindak sebagai “asas realistik” untuk semua senario lain yang diaplikasikan selepasnya.

3.3.2  A1.1: Undi PH Berpecah 15%

Kebocoran 15% undi PH kepada parti-parti pecahan (BERSAMA, MUDA baharu, PSM) adalah kadar konservatif. Dapatan menunjukkan N02 Jementah dan N10 Tangkak, kedua-dua kerusi PH yang bermajoriti sempit, paling terdedah. Kebocoran kecil ini sudah cukup untuk mengubah pemenang di kedua-dua kerusi tersebut. Ini mengesahkan dapatan sebelumnya bahawa risiko terbesar PH adalah dari perpecahan dalaman, bukan dari tekanan luaran.

3.3.3  A1.3: Peralihan MUDA → PH 2026 (70%)

Di enam kerusi di mana PH tidak bertanding pada 2022 tetapi hadir pada 2026 (N05, N07, N22, N26, N41, N50), 70% undi MUDA 2022 diandaikan beralih ke PH. Impak terbesar di N41 Puteri Wangsa (MUDA 22,884 undi pada 2022) di mana kemasukan PH mengubah susunan daya secara signifikan, menyumbang kepada kemenangan BN di kerusi tersebut apabila digabungkan dengan senario lain.

3.3.4  A2.1b: PAS Sokong BN (60%)

Arahan terbuka PAS kepada BN di 23 kerusi tanpa calon PN pada keberkesanan 60% kekal sebagai senario bernilai tertinggi untuk BN. Sokongan PAS membentuk kelebihan tambahan yang menghalang PH daripada memanfaatkan sebarang momentum kehadiran tinggi. Kerusi seperti N02 Jementah dan N10 Tangkak yang bermajoriti tipis mendapat manfaat terbesar daripada aliran undi PAS ke BN.

3.3.5  A3.1: Boikot Puad Zarkashi, Batu Pahat (20%)

Parameter boikot ditetapkan pada 20% berikutan pengumuman Puad keluar UMNO pada 25 Jun 2026. Puad bukan sekadar ketua bahagian — beliau adalah ADUN Rengit yang pernah mendapat lebih 7,000 undi di kawasan tersebut, menjadikan pengaruh peribadi beliau di N25 Rengit amat signifikan. Di enam kerusi Batu Pahat (N08, N17, N18, N21, N24, N25), 20% undi BN diandaikan boikot dengan agihan 50% abstain, 30% ke PN, dan 20% ke PH. N08 Bukit Pasir berubah kepada PN dengan majoriti 1,218, mencerminkan pengaruh kawasan Pagoh yang sedia kuat untuk PN.

3.3.6  B1: Boikot Melayu Terhadap Calon MIC/MCA (5%)

B1 terpakai di semua 18 kerusi yang mempunyai calon MIC atau MCA. Pada kadar 5%, iaitu penurunan minima undi BN, kesan individual per kerusi adalah kecil. Namun secara kumulatif merentas 18 kerusi, senario ini menyumbang kepada pengurangan majoriti BN di beberapa kerusi terdedah. Pada kadar ini, tiada kerusi tambahan bertukar tangan disebabkan B1 sahaja, tetapi ia melemahkan BN di kawasan campuran.

3.3.7  B4: Solidariti Cina → BN (10%)

Logik senario ini: pengundi Cina yang biasanya undi PH (DAP/PKR) swing ke BN sebagai sokongan kepada calon Cina BN (MCA/MIC). Transfer: PH → BN, dikira berdasarkan (chinese26% × pool PH × 10%). Pada kadar 10%, impak paling ketara di kerusi Cina-dominan seperti N48 Skudai (Cina 61%), N12 Bentayan (Cina 69.9%), dan N52 Senai (Cina 55%). Senario ini menyumbang kepada perubahan N42 Johor Jaya, N46 Perling, dan N51 Bukit Batu kepada BN apabila digabungkan dengan senario-senario lain.

3.4  Kerusi Marginal dan Medan Pertempuran

Merentas semua senario, tujuh kerusi muncul sebagai “medan pertempuran” PRN 2026, iaitu yang bertukar tangan dalam pelbagai kombinasi senario atau bermajoriti di bawah 2,000 dalam unjuran semasa:

Tujuh kerusi berubah dalam senario ini adalah “medan pertempuran” PRN 2026. 11 kerusi yang dimenangi dibawah majoriti 2000 undi dengan 3 kerusi berubah pemenang iaitu N.25 Rengit, N.02 Jementah dan N.10 Tangkak.

4 kerusi lagi yang berubah berada dibawah majoriti 3,500 undi melibatkan N.46 Perling (2,457 undi), N.51 Bukit Batu (2,788 undi), N.41 Puteri Wangsa (2,922 undi) dan N.42 Johor Jaya (3,226 undi)

Jangkaan Kerusi Dimenangi di kawasan Bandar

Di kawasan bandar, jangkaan Parti pemenang adalah Barisan Nasional dengan 13 kerusi, Pakatan Harapan dengan 7 kerusi dan Perikatan Nasional 1 kerusi.

Jangkaan Kerusi Dimenangi di kawasan semi bandar

Di kawasan semi bandar pula, jangkaan Parti pemenang adalah Barisan Nasional dengan 23 kerusi, Pakatan Harapan tiada kerusi dan Perikatan Nasional 1 kerusi.

Jangkaan kerusi dimenangi di kawasan luar bandar

Manakala di kawasan luar bandar pula, jangkaan Parti pemenang adalah Barisan Nasional dengan 9 kerusi, Pakatan Harapan tiada kerusi dan Perikatan Nasional 2 kerusi.

Jangkaan Kerusi Dimenangi Parti di kawasan Melayu 60% majoriti

Bagi kawasan yang memiliki pengundi Melayu lebih 60 peratus ke atas, 23 kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional dan diikuti oleh Perikatan Nasional dengan 4 kerusi.

Jangkaan Kerusi Dimenangi Parti di kawasan Cina 40% ke atas

Berbeza dengan kawasan yang memiliki peratus pengundi cina sekitar 40% keatas, 10 kerusi dun dimenangi oleh Barisan Nasional manakala Pakatan Harapan memenangi 7 buah kerusi dun.

Kesimpulan

4.1  BN Menang Lebih Kukuh dalam Senario 7 Faktor

BN menang 45 kerusi, PH 7 kerusi, PN 4 kerusi, LAIN 0 kerusi, dengan 7 kerusi berubah pemenang. Keputusan ini mencerminkan impak positif solidariti Cina terhadap calon MCA/MIC (B4) dan kesan ketegangan dalaman PN yang dimodelkan melalui senario A2.7.

4.2  Lima Penemuan Strategik

Pertama, solidariti Cina terhadap calon MCA/MIC adalah faktor yang signifikan. Senario B4 (PH→BN) terpakai di 18 kerusi MCA/MIC dan impaknya dirasai di kerusi-kerusi Cina-campuran bandar Johor Bahru seperti N42, N46, dan N51.

Kedua, senario boikot Puad Zarkashi (A3.1) menentukan pertukaran N25 Rengit kepada PN. Sebagai bekas ADUN Rengit, pengaruh peribadi Puad di kerusi tersebut menyebabkan sebahagian pengundi BN abstain, menghasilkan majoriti PN yang tipis (188 undi).

Ketiga, N25 Rengit adalah kerusi paling marginal dengan majoriti 188 undi sahaja. Sebagai bekas kerusi Puad sendiri, ia adalah yang paling sensitif kepada kesan pengundurannya dari UMNO.

Keempat, BN kekal kebal terhadap tekanan luaran. Gabungan boikot Puad (20%) dan kebocoran PH (15%) masih menghasilkan BN 45. Hanya pemindahan undi dalaman BN secara besar-besaran atau peralihan tingkah laku penuh gaya-PRU15 boleh mengancam majoriti BN. Hanya pemindahan undi dalaman BN secara besar-besaran atau peralihan tingkah laku penuh gaya-PRU15 boleh mengancam majoriti BN.

Kelima, skop MIC/MCA yang tepat adalah kritikal untuk ketepatan model. Penggunaan 18 kerusi berasaskan data calon sebenar 2026 memastikan senario B1 dan B4 terpakai kepada kawasan yang relevan sahaja.

4.3  Tafsiran dalam Konteks Lebih Luas

7 Pemboleh ubah dalam laporan ini mencerminkan “PRN 2026 dengan momentum nasional sederhana”, bukan referendum penuh dan bukan pilihan raya rutin sepenuhnya. Ia menggabungkan kehadiran yang lebih tinggi, sokongan PAS kepada BN, solidariti Cina terhadap calon MCA/MIC, ketegangan dalaman PN, dan beberapa tekanan negatif terhadap BN di kawasan tertentu.

Dalam senario ini, BN Johor di bawah MB Onn Hafiz mengekalkan kelebihan struktur yang tidak dapat dilawan oleh pembangkang. PH berkurangan kepada 7 kerusi, lebih rendah daripada pencapaian 2022 (12 kerusi), menggambarkan impak kumulatif perpecahan dalaman dan solidariti Cina terhadap BN. PN dengan 4 kerusi menandakan kehadiran yang lebih kukuh berbanding garis dasar 2022 (3 kerusi), dipacu oleh kesan boikot Puad Zarkashi di kawasan dun Rengit.

Kesimpulan analitik IRIS: Dalam andaian tujuh pemboleh ubah gabungan seperti yang dimodelkan, BN Johor akan membentuk kerajaan dengan 45 kerusi, lebih kukuh daripada garis dasar 2022 (40 kerusi). Kunci kepada keputusan ini bukan senario tunggal tetapi gabungan sokongan PAS, solidariti Cina, dan ketegangan dalaman PN yang beroperasi serentak. N25 Rengit (majoriti 188) kekal sebagai barometer paling sensitif, iaitu kerusi yang paling mudah bertukar tangan dengan sebarang perubahan kecil dalam dinamik lapangan.

© IRIS Institute 2026 · Laporan ini disediakan secara neutral dan bebas bagi semua pemegang taruh tanpa mengira kedudukan politik.

Analisis berasaskan data SPR, DOSM, dan Simulator PRN Johor 2026 IRIS Institute

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center, IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lulus Projek Tambak Laut Selatan, Pulau Pinang Didapati Melangkaui Kuasa Yang di-pertuan Agong

Related Posts