Sumber gambar: The Star
Oleh Ismail Amsyar Mohd Said & Sakini Mohd Said
SUNGAI PETANI, 23 Mei (Bernama) — Kompleks Arkeologi Sungai Batu hari ini melakar sejarah buat negara dan Asia Tenggara apabila diisytihar secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau itu.
Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak pengisytiharan oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Ia berlangsung pada majlis penutupan Festival Kedah Tua 2016 di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang mewakili Menteri Besar Kedah.
Lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome menandatangani plak pengisytiharan itu, kata Mokhtar kepada Bernama.
“Malangnya pakar arkeologi Mesir, Dr Zahi Hawas, tidak hadir ke Persidangan Antarabangsa Kedah Tua menyebabkan kita tidak berjaya mendapatkan beliau untuk menandatangani plak itu,” katanya.
“Beliau sepatutnya hadir sebagai pakar tamadun Mesir tetapi tidak dapat dihubungi pada saat akhir. Sekiranya ada keperluan untuk kita ke Mesir dan dapatkan tandatangannya, kita akan ke sana,” kata Mokhtar.
Menurutnya, pengisytiharan itu akan membantu melancarkan usaha mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) ke arah menjadikan Kompleks Arkeologi Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia.
Selain itu, ia juga akan membantu membangunkan tapak arkeologi itu sebagai produk arkeopelancongan, katanya.
“Tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita hendak menjalankan usaha pemuliharaan tapak ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC) yang berakhir semalam dianjurkan bersempena Festival Kedah Tua 2016 bagi mengetengahkan tamadun Kedah Tua serta kepentingannya di rantau Asia Tenggara.
— BERNAMA