Teratai merupakan perlambangan kosmologi, yakni tingkat-tingkat alam terbentuk yang bersandarkan pada hakikat ketuhanan-kealaman menurut Abdullah Mohamed,
Kudup bunga teratai itu dilambangkan sebagai ‘kanz mahfiyy’ atau Abstract Oneness, atau Hakikat Muhammadiyah – segala-galanya terhimpun dalam satu perbendaharaan.
SMN Alattas menyebut pada peringkat ini:
“…He is already swayed, as it were, by love (hubb), which is the principle of ontological movement that become manifest in creation.”
Sebagaimana terhimpunnya alam ini, demikian jugalah dilambangkan terhimpun segala stamen, stigma, kelopak, rahim-bunga dan lain-lain pada bunga teratai.
Tingkat seterusnya, apabila bunga teratai itu mengembang, ia dilambangkan sebagai alam besar (makrokosmos) yang berkembang. Tiap-tiap elemen pada bunga itu melambangkan maksud tertentu.
Misalnya, kelopak-kelopak bunga itu melambangkan tiap-tiap keperibadian makhluk. Dan kelopak ini adalah berasaskan daripada perlambangan sifatNya (Jalal dan Jamal) – SMN Alattas menyebut:
“…to behold His resplendent Beauty… and beheld therein as in a miraculous mirror His essential perfections in their eternal and everlasting beauty..”
Daripada perlambangan alam besar itu, ia juga menjadi lambang alam saghir (mikrokosmos) pada diri manusia – yakni kudup bunga teratai itu dilambangkan pada jasad Adam ketika belum ditiupkan roh. Pada diri tiap-tiap manusia juga, janin di dalam rahim itu juga dilambangkan sebagai kudup bunga – tatkala ditiupkan roh maka jadilah insan.
Ia cocok dengan perlambangan bunga teratai yang mulai terkembang dan sempurnalah bila semua kelopak terbuka.
Tentulah panjang penjelasan daripada Abdullah Mohamed ini, apabila ia melibatkan tangkai – kaitan dengan tingkat Ahadiyah, kaitan dengan analogi tubuh badan, bahkan sehingga menjadi perlambangan nasional dan geopolitikal orang Melayu terdahulu!
Justeru, tidak hairanlah masjid-masjid tua (di Melaka misalnya) menggunakan lambang teratai sebagai motif dan hiasan di dinding, mimbar, tapak buah butong dan sebagainya.
Ditulis oleh:
Tn Hamdi Hanapi
Rujukan:
1) Abdullah Mohamed, 1978. Falsafah dan Pemikiran Orang-Orang Melayu: Hubungannya dengan Islam dan Kesenian. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
2) Syaimak Ismail, Abdullah Yusof, Ahmad Zaki Berahim@Ibrahim. Motif dan Hiasan Dalam Dekorasi Dalaman Masjid: Kajian Terhadap Masjid Tua di Melaka Pada Awal Abad ke-18. Jurnal Al-Muqadimah, 2(1): 1-13.Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
3) Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 1994. The Degrees of Existence. Kuala Lumpur: ISTAC.