Maaf, perkongsian saya pada kali ini mungkin agak sedikit jijik bagi tuan-tuan. Namun percayalah, ia tidak sejijik politik lucah negara pada hari ini.
Dalam satu ceramah di sebuah sekolah, saya pernah tanya para pelajar, “Agak-agak zaman Kesultanan Melaka dulu, penduduk Kota Melaka berak di mana?”.
Maka ada di kalangan mereka menjawab di sungai, ada yang menjawab di laut, di semak samun atau gali lubang di belakang rumah.
Baik, Kota Melaka dulu dicatatkan oleh Portugis sebagai kota perdagangan yang paling sibuk. Gaspar Correia catatkan ketua keluarga di Melaka saja ada 200,000 orang. Itu belum termasuk ahli keluarga mereka. Itu belum juga termasuk pedagang-pedagang asing. Tome Pires tulis terdapat 84 bahasa asing dipertuturkan di Melaka. Pedagang dari Mesir, Habsyah, Turki hingga ke Jepun (Ryukyu) biasa datang berdagang di Melaka.
Bayangkan, dengan kepadatan kota yang begitu, kalau semuanya berak di sungai, laut atau semak samun, pasti berlakunya pencemaran yang luar biasa di Melaka. Bila berlakunya pencemaran, sudah pasti tersebarnya penyakit. Mustahil tempat berkumpulnya orang-orang elit dari seluruh dunia sarat dengan pencemaran dan penyakit.
Bayangkan pula, jika Bendahara sedang bermesyuarat dengan Sultan di balairung seri istana yang terletak di atas bukit, tiba-tiba Bendahara sakit perut. Adakah Bendahara akan lari ke sungai atau laut atau menggali lubang di halaman istana sultan?
Maka sudah tentu wujudnya tandas, sistem kumbahan dan loji najis di Kota Melaka zaman Kesultanan Melaka. Loji najis pada zaman itu dipanggil sebagai ‘perlindungan tahi’. Kewujudan tandas dan loji najis ini dicatatkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin seperti berikut:-
“Sebermula setelah siang hari maka segala inang pengasuh Tun Teja datang mendapatkan Tun Teja, maka dilihatnya Tun Teja tiada di peraduannya. Maka dicarinya ke tandas, disangkanya buang air, di tandas pun tiada; maka dilihatnya ke permandian, di permandian pun tiada”.
“Hatta maka sekali persetua, kuda kenaikan Sultan Mansur Syah jatuh ke pelindungan tahi, seorang pun tiada hendak menambatkan tali kepada kuda itu, Setelah dilihat oleh Laksamana Hang Tuah orang yang beratus-ratus itu seorang pun tiada mau turun mengambil kuda itu, maka Hang Tuah pun segera terjun ke dalam pelindungan itu, ditambatkannya tali pada kuda itu. Maka diudar oranglah ke atas. Setelah kuda itu naik, maka Hang Tuah pun naik; tubuh dan muka Hang Tuah penuhlah dengan tahi sampai ke kepalanya, lalu ia pergi mandi berlangir, berbedak.”
Maka ketahuilah, Hang Tuah pernah terjun ke dalam loji najis untuk menyelamatkan seekor kuda. Ini ciri pahlawan Melayu. Jika nyawa haiwan pun penting padanya, apatah lagi nyawa manusia.
Oleh:
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam
Sumber: FB Hasanuddin Yusof