Hamas dan Fatah bersetuju secara tidak rasmi untuk menubuhkan sebuah “jawatankuasa pentadbiran” yang terdiri dari teknokrat bagi mentadbir Semenanjung Gaza pasca peperangan pada pertemuan 4 November lalu. Pertemuan delegasi parti tersebut berlangsung di Kaherah dibawah pengawasan pegawai Perkhidmatan Perisikan Umum Mesir. Delegasi Hamas mengemukakan cadangan terperinci mengenai fungsi dan kuasa jawatankuasa tersebut, sementara delegasi Fatah meminta tempoh untuk menyemak cadangan tersebut dengan pimpinan pusat mereka. (The Cradle)
Persetujuan ini berlaku serentak dengan pertemuan antara Presiden PA, Mahmoud Abbas, dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi. Kedua-dua pemimpin menyatakan penolakan terhadap peningkatan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, serta membincangkan langkah ke arah gencatan senjata. (The Cradle)
Menurut sumber Mesir, delegasi Hamas ke Kaherah diketuai oleh timbalan ketua Biro Politik bersama beberapa ahli Politburo iaitu Bassem Naim dan ketua hubungan nasional Hussam Badran; sementara delegasi Fatah diwakili oleh pemimpin-pemimpin kanan, termasuk Timbalan Pengerusi Mahmoud al-Aloul dan ahli Jawatankuasa Eksekutif PLO, Azzam al-Ahmad. (INSS)
Sebelum ini, pada Julai, Hamas, Fatah, dan 12 fraksi Palestin lain telah menandatangani perjanjian perdamaian yang ditaja oleh China di Beijing, bersetuju menubuhkan “kerajaan perdamaian nasional sementara.” Di peringkat antarabangsa, Amerika Syarikat turut mengusulkan pembentukan PA yang “direformasikan” di bawah misi gabungan Arab dan antarabangsa. Bagaimanapun, faksi penentangan Palestin menolak cadangan barat ini dan menegaskan kawalan terhadap nasib rakyat Gaza harus kekal di tangan mereka. (Al Jazeera)
Sementara itu, Benjamin Netanyahu menolak penglibatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Fatah di dalam pentadbiran Gaza pasca perang, sambil menghalang sebarang usaha gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan. Netanyahu sebelum ini telah mengusulkan rancangan penubuhan kem yang dirancang dikendalikan oleh tentera upahan dari firma keselamatan swasta serta bekas pegawai perisikan AS dan Israel bersama komander pasukan khas.
Sekiranya diumumkan secara rasmi, perjanjian ini akan memberi cabaran kepada Israel, yang terus menentang penglibatan PA dan Hamas di Gaza. Sokongan antara negara Arab dan antarabangsa terhadap jawatankuasa ini berkemungkinan akan memperkuatkan lagi cabaran tersebut. (INSS)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab