Tular dalam beberapa hari ini perkongsian seseorang yang mendakwa berjaya menarik Covid-19 dari badan pesakit dan memindahkannya ke dalam botol melalui satu ritual spiritual. Luar biasa dakwaannya.
Lalu ada yang mengulas …. ‘itulah perangai orang Melayu, suka percaya benda tahyul’.
Saya tegaskan itu bukan perangai orang Melayu yang faham Islam.
Melayu bila faham Islam menjadi bangsa yang amat saintifik cara fikirnya. Buktinya …. dalam masyarakat Melayu kita selalu guna perkataan ‘mujarab’. Makan ubat lalu sembuh, kita kata ubat itu mujarab. Minum herba lalu sihat, kita kata herba itu mujarab.
Mujarab datang dari perkataan bahasa Arab. Asal sebutan yang sebenar adalah ‘mujarrab’ yang bermakna telah diuji atau dicuba berkali-kali.
Dalam masyarakat Sulawesi, bila mereka mencuba satu perkara sampai beratus kali dan hasilnya sama, mereka akan catatkan di daun lontarak sebagai petua. Petua-petua itu kemudiannya terhimpun banyak lalu menjadi rahsia dan kebanggaan penduduk di situ.
Dalam masyarakat lama kita di Malaysia pun begitu juga. Petua adalah kesimpulan dari ratusan eksperimen (istilah moden). Petua itu akan menghasilkan hasil yang sama bila dibuat ikut kaedah petua tersebut. Hasil itulah yang kita panggil ‘mujarab’.
Dalam mengurus wabak Covid-19, orang Melayu yang faham Islam akan serahkan kepada doktor pakar kerana kaedah yang mereka guna itu terbukti ‘mujarab’. Yang tak mahu ikut tradisi Melayu, itu terpulanglah kepada mereka. Cuma nasihat saya, jangan serahkan pesakit Covid-19 kepada orang-orang seumpama ini.
*Ustaz Fauzi Asmuni adalah Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)