PENDAHULUAN
Pada 4 Disember yang lalu, Pentadbiran Trump telah menerbitkan dokumen Strategi Keselamatan Negara atau dalam bahasa Inggrisnya National Security Strategy (NSS) 2025[1]. Dokumen ini merupakan dokumen dasar luar dan keselamatan utama yang dikeluarkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat, bertindak sebagai peta jalan strategik untuk memandu Amerika Syarikat berdepan dengan cabaran domestik dan antarabangsa. Dokumen ini dikeluarkan secara berkala dengan dokumen terakhir dikeluarkan pada zaman Joe Biden pada tahun 2022[2].
TENTANG NATIONAL SECURITY STRATEGY (NSS)
Strategi Keselamatan Nasional (NSS) ialah dokumen peringkat tertinggi yang diwajibkan oleh undang-undang AS (Akta Goldwater-Nichols 1986). NSS adalah dokumen rasmi yang dihasilkan oleh Cawangan Eksekutif (Presiden) dan dikemukakan kepada Kongres. Tujuan Utama NSS adalah untuk menyatakan pandangan Pentadbiran semasa mengenai persekitaran ancaman global, mendefinisikan kepentingan nasional Amerika Syarikat, dan menggariskan bagaimana AS akan menggunakan kesemua instrumen kuasa negara diplomatik, maklumat, ketenteraan, dan ekonomi (DIME) untuk mencapai matlamat tersebut[3].
NSS adalah lapisan tertinggi dalam hierarki perancangan strategik AS. NSS berfungsi sebagai Blueprint Utama yang menyatukan tujuan semua agensi kerajaan di bawah satu visi tunggal. Ini bermakna NSS bukan hanya strategi keselamatan, tetapi ia adalah Strategi Luar Negara Utama kerana ia menyelaras Dasar Luar Jabatan Negara, keutamaan Pertahanan (Pentagon), dan alat ekonomi (Perbendaharaan) untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam lima poin wajib dokumen iaitu[4]:
- Kepentingan, matlamat, dan objektif Amerika Syarikat di seluruh dunia yang penting kepada keselamatan negara AS.
- Dasar luar, komitmen seluruh dunia, dan keupayaan pertahanan negara AS yang diperlukan untuk mencegah pencerobohan dan melaksanakan strategi keselamatan negara AS.
- Cadangan penggunaan jangka pendek dan jangka panjang elemen politik, ekonomi, ketenteraan, dan elemen kuasa negara AS yang lain untuk melindungi atau mempromosikan kepentingan dan mencapai matlamat tersebut.
- Kecukupan keupayaan AS untuk melaksanakan strategi keselamatan negara, termasuk penilaian keseimbangan antara keupayaan semua elemen kuasa negara untuk menyokong pelaksanaan strategi tersebut.
- Maklumat lain yang mungkin perlu untuk membantu memaklumkan Kongres mengenai perkara yang berkaitan dengan strategi keselamatan negara AS.
ISI KANDUNGAN NSS 2025
- Struktur Dokumen NSS
Dokumen NSS 2025 yang berjumlah 33 muka surat ini telah dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu:
- Bab 1: Pengenalan (Apa itu strategi AS?)
Bahagian ini dokumen mendedahkan kegagalan strategi Pasca-perang Dingin melibatkan penyebaran sumber AS, globalisme yang merugikan domestik dan sekutu AS yang mengambil kesempatan. Bahagian ini menetapkan definisi strategi AS yang realistik dan menekankan keutamaan kepentingan teras AS.
- Bab 2: Matlamat (Apa yang patut AS mahukan?)
Bahagian Visi Ideal: Menyenaraikan matlamat akhir, dibahagikan kepada matlamat domestik (Kelangsungan Republik, Ekonomi Terkuat, Kawalan Sempadan) dan matlamat dasar luar (Hemisfera Stabil, Indo-Pasifik Bebas, Eropah Selamat). Ini adalah “Destinasi” AS.
- Bab 3: Sumber (Apakah sumber yang ada pada AS untuk mencapai apa yang AS mahukan?)
Bahagian Penilaian Aset atau Sumber AS: Menyenaraikan semua sumber kekuatan AS (ekonomi, ketenteraan, teknologi, geografi, rakyat) yang akan digunakan untuk mencapai matlamat di Bahagian II. Ini adalah “Instrumen”.
- Bab 4: Strategi (Prinsip dan strategi untuk melaksanakan dasar NSS)
Bahagian Pelan Tindakan: Bahagian paling panjang, yang menghubungkan matlamat dengan sumber. Ia merangkumi Prinsip-Prinsip (seperti Realisme Fleksibel, Kedaulatan, Keamanan Melalui Kekuatan), Keutamaan Teras (contoh Pengakhiran Migrasi Besar-besaran, Perkongsian Beban), dan Strategi Serantau (taktik spesifik untuk Hemisfera Barat, Asia, Eropah). Ini adalah “Peta Jalan”.
2. Isi Kandungan Utama
Peralihan Doktrin Dasar Luar: Daripada Kepimpinan Global Kepada “America First”
Fakta besar yang paling ketara ialah NSS ini secara jelas menolak rangka kerja antarabangsa pasca Perang Dingin, di mana AS bertindak sebagai hegemoni dan penyebar nilai demokrasi. Sebaliknya, doktrin ini berasaskan falsafah “America First”, yang mana tindakan luar negara adalah berasaskan kepada kepentingan teras AS (kedaulatan, keselamatan tanah air, dan kemakmuran ekonomi) dan bukannya penglibatan yang bersifat universal.
“President Trump’s foreign policy is pragmatic without being “pragmatist,” realistic without being “realist,” principled without being “idealistic,” muscular without being “hawkish,” and restrained without being “dovish.” It is not grounded in traditional, political ideology. It is motivated above all by what works for America—or, in two words, “America First.”
Ini melibatkan keutamaan kepada melindungi sempadan AS untuk menamatkan apa yang digambarkan sebagai “era penghijrahan besar-besaran” dan memerangi kartel dadah sebagai keutamaan keselamatan AS tertinggi.
Mengkategorikan pesaing: China sebagai pesaing kuasa besar ekonomi, bukan ancaman yang menggugat kewujudan (existential)
Berbeza daripada dokumen pentadbiran AS sebelum ini, NSS 2025 tidak mengkategorikan China dan Rusia sebagai ancaman existential utama sambil menganggap anggapan AS terhadap China yang telah digunapakai selama lebih 30 tahun sebelum ini sebagai “tersilap”. Sebaliknya, kedua-dua negara dilihat sebagai “pesaing kuasa besar” dalam ruang lingkup geopolitik dan ekonomi.
“President Trump single-handedly reversed more than three decades of mistaken American assumptions about China: namely, that by opening our markets to China, encouraging American business to invest in China, and outsourcing our manufacturing to China, we would facilitate China’s entry into the so-called “rulesbased international order.” This did not happen. China got rich and powerful, and used its wealth and power to its considerable advantage. American elites—over four successive administrations of both political parties—were either willing enablers of China’s strategy or in denial. “
Indo-Pasifik diiktiraf sebagai medan pertempuran geopolitik dan ekonomi utama abad ke-21. Untuk mencapai kejayaan, NSS menyebut bahawa strategi AS adalah dua cara iaitu Memenangi Masa Depan Ekonomi dan Mengekalkan Pencegahan (Deterrence) yang kukuh. Di bahagian ekonomi, AS akan menuntut timbal balik dan keadilan dalam perdagangan dengan China untuk memulihkan kebebasan ekonomi Amerika. Ini melibatkan penghentian subsidi negara China, amalan ketidakadilan perdagangan, dan kecurian IP, serta menggunakan kuasa ekonomi gabungan AS dan sekutu (mewakili lebih separuh GDP dunia) untuk mengatasi amalan pemangsa ekonomi oleh China. AS juga akan melabur besar-besaran dalam teknologi kritikal seperti AI, pengkomputeran kuantum, dan sistem autonomi.
Dari segi pencegahan, matlamat utama adalah untuk mengelakkan konflik berskala besar dan mengekalkan keseimbangan ketenteraan konvensional yang memberikan keuntungan kepada AS. Tumpuan utama adalah kepada Taiwan, di mana AS akan berusaha mengekalkan dasar status quo dan membina keupayaan ketenteraan untuk menghalang pencerobohan di sepanjang Second Island Chain . Cabaran utama yang berkaitan adalah untuk mencegah mana-mana pesaing daripada mengawal Laut China Selatan, laluan komersial yang kritikal. AS akan mendesak sekutu di Asia (Jepun, Korea Selatan, Australia) untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka dan memikul tanggungjawab yang lebih besar—menjadikan penglibatan AS di rantau ini bersyarat kepada perkongsian beban yang lebih tinggi.
Pengukuhan Kedaulatan Hemisfera Barat (Trump Corollary)
Strategi ini memperkenalkan “Trump Corollary” sebagai penegasan kepada Doktrin Monroe. Ia menegaskan semula penguasaan dan pengaruh AS di Hemisfera Barat (seperti Kanada dan Mexico). Tujuan utama adalah untuk mengukuhkan kedaulatan di rantau tersebut, terutamanya dalam memerangi aktiviti kartel, ancaman rentas negara, dan migrasi. Ia juga untuk untuk menghalang pesaing bukan Hemisfera (China, Rusia) daripada menempatkan pasukan tentera, mengawal aset strategik, atau mendapatkan pengaruh dominan.
“After years of neglect, the United States will reassert and enforce the Monroe Doctrine to restore American preeminence in the Western Hemisphere, and to protect our homeland and our access to key geographies throughout the region. We will deny non-Hemispheric competitors the ability to position forces or other threatening capabilities, or to own or control strategically vital assets, in our Hemisphere. This “Trump Corollary” to the Monroe Doctrine is a common-sense and potent restoration of American power and priorities, consistent with American security interests.”
Pengutamaan ini meletakkan kawalan ke atas Hemisfera Barat sebagai pertahanan tanah air (aspek tidak boleh kompromi), berbeza dengan komitmen AS di Eropah dan Asia yang kini adalah lebih bersyarat dan bergantung pada perkongsian beban oleh rakan sekutu.
Mempromosi Keagungan Eropah dan meningkatkan perkongsian beban (burden-sharing) oleh negara sekutu
NSS 2025 juga menyentuh tentang memulihkan semula semangat peradaban Eropah yang dikatakan telah lama terhapus (civilizational erasure) disebabkan peraturan antarabangsa EU, dasar migrasi dan kehilangan identiti nasional. Sekiranya trend ini berterusan, dokumen ini menjangkakan benua Eropah akan tidak diktiraf dalam tempoh 20 tahun atau kurang dari itu.
NSS 2025 juga menekankan bahawa sekutu AS, khususnya di Eropah (NATO), mesti memikul beban pertahanan mereka sendiri dengan lebih besar dan memenuhi komitmen perbelanjaan yang dipersetujui bersama. Dokumen ini memberikan amaran bahawa sokongan dan jaminan keselamatan AS pada masa hadapan akan menjadi lebih melibatkan kepentingan bersama dan bersyarat, dengan harapan untuk mengalihkan kos pertahanan global kepada sekutu dan mengurangkan bebanan kepada sumber AS.
“Burden-Sharing and Burden-Shifting – The days of the United States propping up the entire world order like Atlas are over. We count among our many allies and partners dozens of wealthy, sophisticated nations that must assume primary responsibility for their regions and contribute far more to our collective defense. President Trump has set a new global standard with the Hague Commitment, which pledges NATO countries to spend 5 percent of GDP on defense and which our NATO allies have endorsed and must now meet. Continuing President Trump’s approach of asking allies to assume primary responsibility for their regions, the United States will organize a burden-sharing network, with our government as convener and supporter.”
Mengalihkan beban dan membina keamanan di Timur Tengah
Strategi ini bermula dengan menyatakan bahawa keutamaan dasar luar AS terhadap Timur Tengah selama setengah abad telah berakhir, kerana dua sebab utama tidak lagi relevan: AS bukan lagi bergantung kepada tenaga Timur Tengah (menjadi pengeksport bersih), dan persaingan kuasa besar tidak lagi tertumpu di sana. Walaupun konflik kekal, tahap ancaman kini dilihat berkurangan, dengan Iran telah dilemahkan dan kemajuan telah dicapai ke arah perdamaian Israel-Palestin. Matlamat utama AS kini adalah mengalih beban keselamatan dan mempromosikan wilayah itu sebagai sumber pelaburan antarabangsa dalam industri moden seperti tenaga nuklear, AI, dan teknologi pertahanan, di samping mengukuhkan rantaian bekalan.
Untuk mencapai matlamat ini, AS akan meninggalkan eksperimen “menggertak” (hectoring) negara-negara Teluk mengenai bentuk kerajaan mereka, sebaliknya memilih untuk menerima pemimpin dan negara seadanya dan bekerjasama berdasarkan kepentingan bersama. Kepentingan teras AS adalah terhad kepada memastikan bekalan tenaga Teluk tidak jatuh ke tangan musuh, laluan laut kekal terbuka (Hormuz dan Laut Merah), dan keselamatan Israel terjamin. Ini membolehkan AS menangani ancaman ideologi dan ketenteraan tanpa terlibat dalam peperangan nation-building yang berpanjangan. Tujuan akhirnya adalah untuk mengembangkan Perjanjian Abraham dan menukarkan Timur Tengah daripada sumber konflik kepada wilayah perkongsian dan pelaburan.
IMPLIKASI NSS 2025 TERHADAP NEGARA TERPILIH (KOMENTAR PAKAR)
Berdasarkan pengamatan terhadap komentar-komentar pusat-pusat kajian dan pakar terhadap implikasi NSS kepada negara-negara terpilih, pandangan mereka menunjukkan gambaran yang bercampur. Berikut merupakan komentar terhadap implikasi NSS bagi negara-negara terpilih:
1. CHINA: Peluang jangka pendek untuk Beijing, namun risiko sekatan ekonomi & teknologi jangka panjang
Pendekatan NSS 2025 terhadap China kelihatan lebih lunak berbanding dokumen NSS sebelum ini apabila China tidak lagi dianggap sebagai ancaman yang menggugat kewujudan (existential) terhadap AS. China kini dilihat sebagai pesaing ekonomi yang saling menguntungkan kedua-dua negara. Artikel ulasan dari Brooking Institution melihat pendekatan ini sebagai nada yang lebih damai dengan China dimana AS ingin berusaha untuk mengimbangi semula hubungan ekonomi dengan China[5]. Pandangan ini turut disokong oleh Council on Foreign Relations dengan menekankan bahawa ekonomi kini menjadi “Taruhan Utama” AS dengan matlamat hubungan yang saling menguntungkan kedua-dua belah pihak[6] .
Namun penganalisis China dalam The Diplomat berpendapat NSS 2025 ini hanya memberikan kelegaan sementara kepada Beijing, kerana sekatan teknologi dan logistik terhadap China akan tetap diperketat untuk mengehadkan pertumbuhannya dalam jangka masa panjang[7] .
2. RUSIA: Tekanan AS berkurangan, ruang gerak Moscow meningkat
Russia hampir tidak digambarkan sebagai ancaman utama oleh AS, malah NSS seolah membuka pintu kepada AS sebagai pengantara dalam hubungan Eropah-Rusia. Brookings menyifatkan ini sebagai pendekatan yang lebih terbuka kepada ruang pengaruh kuasa-kuasa besar lain selain AS untuk membina pengaruh di Eropah[8].
Center for Strategic and International Studies (CSIS) pula secara langsung menyebut NSS sebagai “music to Putin’s ears”, kerana dokumen ini mengurangkan tanggapan Rusia sebagai ancaman bersama dan menyalahkan kekurangan keyakinan Eropah sebagai punca konflik berlaku antara Ukraine-Rusia[9]. Foreign Policy menambah bahawa andaian sebelum ini tentang Rusia sebagai ancaman keselamatan bersama AS-Eropah kini hampir hilang sepenuhnya[10]. Kesannya, ini akan memberi Moscow lebih ruang untuk bertindak di Eropah dan rantau lain.
3. EROPAH: NATO Berisiko retak, Eropah perlu lebih berdikari
Bahagian paling kontroversi dalam dokumen NSS 2025 ialah kritikan pedas terhadap Eropah, termasuk konsep “civilizational erasure” akibat dasar EU dan migrasi, serta desakan burden-sharing yang lebih ketat. CSIS menggelar NSS sebagai:
. . .is a real, painful, shocking wake-up call for Europe. It is a moment of cavernous divergence between Europe’s view of itself and Trump’s vision for Europe. If Europe had any doubt that the Trump administration is fully committed to a tough love strategy, it now knows for sure.
Ini membuktikan bahawa AS tidak lagi berkongsi perspektif ancaman yang sama dengan Eropah. Foreign Policy pula lebih tegas, menyatakan dokumen ini hanya melihat ikatan transatlantik (lingkungan kerjasama merangkumi negara lautan Atlantik) melalui kuasa far-right, dan Eropah kini “at best, alone“[11]. Ini bermakna pentadbiran AS mungkin mengabaikan, atau bahkan menjauhi, parti-parti politik arus perdana atau berhaluan tengah/kiri di Eropah, dan sebaliknya hanya mencari kerjasama atau sokongan daripada pemimpin-pemimpin Eropah yang mempunyai ideologi nasionalis, populis, atau anti-globalisasi yang sejajar dengan Presiden Trump. Atlantic Council menambah bahawa strategi ini tidak membantu kepentingan keselamatan AS di benua Eropah. Akibatnya Eropah mungkin terpaksa mempercepatkan autonomi pertahanannya sendiri[12].
4. ASIA TENGGARA: ASEAN terdedah kepada pengaruh China dan ketidakseimbangan kuasa
Walaupun Indo-Pasifik masih dinyatakan sebagai prioriti, fokus AS yang beralih ke Hemisfera Barat boleh membuka ruang kepada China. The Diplomat meramalkan Beijing akan mempercepatkan usaha menarik ekonomi ASEAN ke orbitnya jika trend ini berterusan, dan negara-negara rantau ini perlu “brace for a more assertive China”[13].
Meskipun ASEAN tidak disebut secara langsung di dalam dokumen tersebut, ASEAN khususnya negara-negara yang memiliki hubungan dagang yang akrab dengan China seperti Malaysia dijangka akan terkesan secara tidak langsung.
Menurut Dr Safar Hasim yang merupakan pemegang amanah Malaysian Press Institute (MPI), NSS merupakan strategi seperti “pedang bermata dua” untuk ASEAN khususnya Malaysia. Menurutnya, negara-negara ASEAN akan menghadapi tekanan untuk menyelaraskan diri dengan pemutusan rantaian bekalan (decoupling) A.S. sambil mengimbangi hubungan ekonomi mereka yang mendalam dengan China.
5. MALAYSIA: Malaysia terkesan secara tidak langsung akibat faktor hubungan dengan China
Bagi Malaysia, sebagai negara ASEAN yang secara tradisinya mengamalkan strategi hedging iaitu mengekalkan keseimbangan antara kuasa besar seperti AS dan China tanpa memihak sepenuhnya, implikasi NSS ini dilihat agak kompleks. Ia membawa peluang ekonomi jangka pendek, tetapi juga cabaran besar dalam mengekalkan autonomi strategik, terutamanya di tengah-tengah persaingan AS-China yang semakin sengit.
Dari perspektif NSS yang menekankan persaingan ekonomi dengan China sebagai “taruhan utama”[14], Malaysia dilihat sebagai rakan strategik dalam usaha AS mempelbagaikan rantaian bekalan mineral kritikal iaitu bahan penting untuk teknologi AI, kenderaan elektrik, dan pertahanan. Ini selaras dengan strategi “China plus one” di mana syarikat multinasional Barat akan mengalihkan pelaburan dari China ke negara seperti Malaysia (negara plus one). Menurut Dr Safar Hasim, Situasi ini akan memberi peluang buat Malaysia terutamanya dalam sektor semikonduktor. Ini berkemungkinan berlaku apabila tapak semikonduktor Malaysia dan potensi teknologi hijau telah meletakkan negara dalam kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan AS ketika firma-firma mula mengurangkan pergantungan kepada China. Kebolehpercayaan kawal selia dan pematuhan pasaran dwi (dual market compliance) akan menjadi faktor kritikal kepada situasi ini[15].
KESIMPULAN
Strategi Keselamatan Nasional (NSS) 2025 menunjukkan perubahan dasar luar yang signifikan AS berbanding dasar luar sebelum ini apabila meninggalkan peranan sebagai pemimpin global kepada beralih sepenuhnya kepada falsafah “America First”. Strategi ini telah meletakkan keselamatan sempadan dan ekonomi domestik sebagai keutamaan utama, lebih penting daripada isu konflik di luar negara seperti yang disebutkan dalam penekanan Doktrin “Trump Corollary” untuk menguasai Hemisfera Barat. Pendekatan ini telah mengubah banyak perkara apabila NSS telah menukar hubungan kuasa besar seperti China kepada persaingan teknologi dan ekonomi, bukan lagi ancaman eksistensial. Negara eropah juga digesa untuk berkongsi bebanan yang sama dengan AS dan bukannya hanya terletak di bahu AS sahaja melalui strategi Burden-Sharing. Pendekatan ini juga digunakan terhadap pendekatan di Timur Tengah dan meninggalkan eksperimen “menggertak” atau hectoring mengenai bentuk kerajaan mereka, sebaliknya memilih untuk menerima pemimpin dan negara seadanya dan bekerjasama berdasarkan kepentingan bersama.
RUJUKAN
-
The White House. National Security Strategy of the United States of America (2025) https://www.whitehouse.gov/wp-content/uploads/2025/12/2025-National-Security-Strategy.pdf ↑
-
The White House. National Security Strategy.(2022). https://bidenwhitehouse.archives.gov/wp-content/uploads/2022/10/Biden-Harris-Administrations-National-Security-Strategy-10.2022.pdf ↑
-
https://history.defense.gov/Historical-Sources/National-Security-Strategy/ ↑
-
https://ssl.armywarcollege.edu/dde/learningmodules/jsps/terms/nss.cfm ↑
-
https://www.brookings.edu/articles/breaking-down-trumps-2025-national-security-strategy/ ↑
-
https://www.cfr.org/expert-brief/unpacking-trump-twist-national-security-strategy ↑
-
https://thediplomat.com/2025/12/how-chinese-analysts-interpret-trumps-2025-national-security-strategy/ ↑
-
https://www.brookings.edu/articles/breaking-down-trumps-2025-national-security-strategy/ ↑
-
https://www.csis.org/analysis/national-security-strategy-good-not-so-great-and-alarm-bells ↑
-
https://foreignpolicy.com/2025/12/11/trump-national-security-strategy-blueprint-west-demise/ ↑
-
https://foreignpolicy.com/2025/12/05/national-security-strategy-2025-trump-europe-russia-ukraine-war/ ↑
-
https://www.atlanticcouncil.org/blogs/new-atlanticist/experts-react/experts-react-what-trumps-national-security-strategy-means-for-us-foreign-policy/ ↑
-
https://thediplomat.com/2025/12/how-chinese-analysts-interpret-trumps-2025-national-security-strategy/ ↑
-
https://www.cfr.org/expert-brief/unpacking-trump-twist-national-security-strategy ↑
-
https://www.weekly-echo.com/malaysia-and-asean-in-the-shadow-of-americas-new-security-strategy/ ↑