Menurut satu laporan yang dikeluarkan pihak berita Amerika Syarikat, tentera laut China telah mengeluarkan lapan amaran kepada pesawat pemantau US, P8-A Poseidon ketika pesawat tersebut terbang melepasi beberapa pulau yang menimbulkan kontroversi dalam isu perebutan kuasa di Laut China Selatan. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 20 Mei yang lepas menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh komander Pacific Command (PACOM) Amerika Syarikat, selain video rakaman amaran turut dikeluarkan.
Terdapat dua persoalan penting yang boleh dirungkai dalam menjelaskan isu perebutan kuasa di perairan ini yang ternyata kelihatan semakin tegang.
1. Persoalan pertama melihatkan keterbukaan PACOM dalam menyebarkan video amaran China terhadap pesawat pejuang Amerika yang ternyata menunjukkan bahawa Pentagon dengan jelas mahu masyarakat dunia maklum akan niat dan perancangan China dalam menguasai perairan tersebut. Laporan ini merupakan pendedahan terbuka yang pertama dibuat oleh Jabatan Pertahanan Amerika, malah video rakaman amaran turut disiarkan menerusi berita CNN di negara tersebut. Laporan ini turut menyangkal dakwaan China bahawa tindakan mereka dalam mengawal perairan Laut China Selatan adalah dengan tujuan penyelidikan marin, hidrografi, bantuan kemanusiaan dan kecemasan,bahkan Jabatan Negara Amerika Syarikat turut mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan China yang memberi alasan untuk menguasai perairan itu tidak akan membawa kepada keamanan. Pendedahan terbuka Amerika dengan jelas menunjukkan komitmen serius Washington dalam campur tangan isu perairan ini.
2. Persoalan kedua berkaitan dengan kelantangan China dalam memberi amaran kepada pesawat pemantau Amerika yang jelas menunjukkan perancangan negara terbabit dalam menuntut hak di Laut China Selatan, seterusnya memberi petanda China mengambil serius langkahnya dalam mengumumkan zon kuasanya atau dikenali sebagai South China Air Defense Identification Zone (ADIZ). Pada November 2014, China telah pun mengumumkan ADIZ di Laut China Timur, menggesa pesawat pemantau Amerika, B-52 untuk berundur dari perairan.
Terbaru, laporan melaporkan bahawa Amerika Syarikat akan menghantar beberapa kapal dan pesawat pemantaunya ke Laut China Selatan bagi mencabar tuntutan China ke atas perairan ini, dan kejadian pesawat P8 ini menunjukkan Pentagon sudah pun mengorak langkah dalam misinya.
Malah, bekas pengarah Jabatan CIA, Michael Morell turut memberi pandangan bahawa kejadian amaran China kepada pesawat P8 ini memberi petanda bahawa akan berlaku perang antara dua kuasa besar dunia tersebut pada masa akan datang.
Sumber: The Diplomat