GEORGE TOWN- Syarikat semikonduktor Korea Selatan, Simmtech Co Ltd akan melabur US$120 juta (US$1 = RM4.23) untuk mendirikan kilang pertamanya di Asia Tenggara (SEA), yang akan berlokasi di Taman Perindustrian Batu Kawan Pulau Pinang.
Pengarah Urusan SimmTech Asia Tenggara Jeffery Chun berkata keputusan untuk mendirikan kilang pembuatan berskala besar pertama syarikat di Pulau Pinang datang secara semula jadi kerana negeri ini mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang mantap, kumpulan bakat yang hebat dan asas pelanggan sedia ada.
“Memang sesuailah untuk kami untuk memilih rantau ini yang mempunyai latar belakang E&E yang kuat serta akses ke perniagaan dan sumber tempatan.
“Ini adalah fasa pelaburan pertama kami; kebanyakannya akan dilaksanakan semasa projek pembinaan dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai pelaburan strategik berkenaan hari ini.
Beliau menambah kilang papan litar bercetak (PCB) semikonduktor dan substrat pembungkusan di Pulau Pinang akan menjadi kilang pertamanya di rantau Asia Tenggara kerana syarikat itu pada masa ini hanya beroperasi di negara asalnya Korea Selatan, China dan Jepun.
Chun berkata pembinaan kilang itu dijangka selesai menjelang awal tahun depan, sementara operasi dan penghantaran produk dari kilang baharu dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun depan.
Beliau berkata meskipun dalam situasi pandemik COVID-19, pembinaan masih dijalankan dan syarikat itu tidak menjangkakan sebarang penangguhan besar.
“Sebaliknya, kami melihat pandemik ini sebagai peluang bagi industri kerana trend dalam talian yang semakin meningkat mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk produk semikonduktor … dan ini adalah tempoh yang baik untuk industri semikonduktor secara keseluruhan.
“Sebaik beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengeluaran (kilang) di Pulau Pinang akan mewakili 20 peratus daripada kapasiti gabungan semasa Simmtech Group di Korea Selatan, China dan Jepun,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut hadir pada taklimat media maya itu berkata kilang Simmtech berkeluasan 7.2 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan dijangka dapat mewujudkan 1,200 pekerjaan bernilai tinggi dalam segmen kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan kualiti.
Chow turut berharap kedatangan Simmtech akan menandakan permulaan babak baru dalam hubungan negeri ini dengan Korea Selatan, antara negara paling terkenal dalam bidang teknologi global.
Beliau berkata sebagai hab E&E terkemuka di negara ini, Pulau Pinang terus menjadi tonggak utama perdagangan luar Malaysia yang mana pada tahun 2020, negeri ini mencatat eksport bernilai RM310 bilion dan lebihan perdagangan bernilai RM110 bilion, masing-masing menyumbang 32 peratus dan 60 peratus daripada jumlah eksport dan lebihan perdagangan negara.
Dari segi pelaburan, Pulau Pinang mencatat prestasi pelaburan yang luar biasa untuk tahun 2019 dan 2020 dengan mencatatkan pelaburan pembuatan bernilai RM31 bilion sepanjang tempoh berkenaan.
Produk E&E menyumbang 47 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan, mewakili 35 peratus daripada jumlah pelaburan E&E negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai Lembah Silikon Timur.
— BERNAMA