Malaysia telah menarik pelaburan bernilai lebih RM63 bilion dalam sektor semikonduktor setakat Mac 2025 di bawah Strategi Semikonduktor Negara (NSS), namun tiada satu pun syarikat Bumiputera yang terlibat serta disenaraikan sebagai peneraju tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM58 bilion datang daripada pelabur asing manakala RM5 bilion disumbang oleh syarikat tempatan. – The Edge
Antara projek utama di bawah NSS yang diterajui pelabur asing termasuk teknologi pembungkusan maju Carsem untuk kecekapan tenaga dan kecerdasan buatan (AI); produk semikonduktor NXP; kemudahan fabrikasi silikon karbida 200mm oleh Infineon; operasi mikrofon dan sensor MEMS oleh Syntiant; serta pengeluaran dan pembaikan papan litar bercetak oleh Plexus. – The Edge
Pada masa sama, kerajaan telah mengenal pasti 13 syarikat Malaysia yang berpotensi muncul sebagai juara nasional dalam keseluruhan rantaian nilai semikonduktor dan bakal menerima sokongan di bawah NSS. – The Edge
Daripada jumlah itu, sembilan syarikat — termasuk Carsem, Inari Amertron Bhd, Pentamaster Corp Bhd, ViTrox Corp Bhd dan Kelington Group Bhd — dijangka menjana pendapatan melebihi RM500 juta tahun ini. – The Edge
Empat lagi syarikat, iaitu OppStar Bhd, SkyeChip, Infinecs dan Experior pula merupakan firma reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu yang mencatatkan pertumbuhan hasil tahunan melebihi 25%. – The Edge
Di bawah NSS, kerajaan menyasarkan pembinaan 10 syarikat tempatan dengan pendapatan melebihi AS$1 bilion (RM4.2 bilion) serta melahirkan 100 syarikat lain yang menghampiri pendapatan RM1 bilion. – The Edge
Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang dilancarkan pada 28 Mei 2024 bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global. – Miti
Ia merupakan langkah untuk meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan kepada pertumbuhan KDNK, selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) yang turut menekankan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan peningkatan gaji median dalam industri. – Miti
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab