Amerika menghantar kapal pengawal pantai bagi mengekang dominasi China di Laut China Selatan

Belakangan ini, China telah meningkatkan lagi kadar operasi pemilikan tanah di kawasan bertindih Kepulauan Spartly.  Amerika Syarikat menerusi Kementerian Dalam Negeri mereka,  berminat untuk mengatur-gerakkan agensi maritimnya, iaitu United State Coast Guard (USGC) bagi melakukan pengawasan di Laut China Selatan.

USCG bercadang untuk menghantar kapal perang jenis “Cutter” ke Laut China Selatan bagi tujuan pengawasan dan mengimbangi kuasa maritim yang dimonopoli oleh Tentera Laut China (PLAN) dan China Coast Guard (CCG).

Cutter merupakan jenis kapal yang digunakan oleh USCG dan menjadi tulang belakang bagi pengawasan maritim jarak sederhana dan jauh. Cutter menfokuskan keupayaan kapal dalam aspek kelajuan berbanding kapasiti kapal. Ini memberi kelebihan bagi USCG untuk mengejar kapal-kapal haram yang memasuki kawasan perairan ataupun yang dilihat memberi ancaman kepada kapal tersebut.

 

(Gambar National Secutiy Cutter)

Antara kelas kapal cutter yang dioperasikan oleh USCG adalah 6 buah kapal kelas National Security Cutter dan 12 buah kapal kelas High Endurance Cutter. Kapal-kapal ini dilengkapi dengan senjata meriam utama dan pad pendaratan helikopter. Helikopter ini akan menjadi ‘mata’ kapal tersebut, mengesan kapal-kapal haram dan melakukan ‘medical evacuation’ atau pengeluaran mangsa kecederaan.

Ketua USCG, Laksamana Paul Zukunft menerangkan kepentingan bagi USCG untuk mempunyai markas tetap di Laut China Selatan bagi menunjukkan kehadiran Amerika di sana disamping mengekang pengaruh China. Markas tetap ini berkemungkinan akan dibina di Vietnam atau Filipina.

Kebolehan aset-aset dari China Coast Guard terutamanya kapal peronda mereka untuk mengawasi Laut China Selatan tidak sehebat tentera laut mereka. Ini membuka peluang kepada Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan China dari segi pengoperasian mereka di Laut China Selatan agar insiden-insiden pertembungan diantara kapal perang Amerika dan China dapat dielakkan.

 

(Gambar CCG)

China Coast Guard juga merupakan “blue-water fleet” dan mempunyai armada bagi kategori “coast guard” yang terbesar di dunia. “Blue-water fleet” bermaksud mereka mempunyai kapasiti untuk beroperasi jauh dari markas operasi dan diluar kawasan perairan mereka. Kapal-kapal perang mereka juga dilengkapi dengan persenjataan yang canggih tetapi minima dari segi kuasa tembakan.

Disamping CCG, China juga mempunyai militia yang dikenali sebagai Chinese Maritime Militia (CMM) yang terdiri daripada kapal perikanan dan kapal dagang. CMM melakukan pengawasan kawasan Laut China Selatan dengan berselindung dibawah aset awam. Ini bermakna, CMM boleh melakukan penyusupan dan pengumpulan maklumat disebalik kapal awam tanpa didakwa dibawah undang-undang maritim dunia.

(Gambar CMM)

CMM menerima latihan dari Tentera Laut China dalam taktik dan pengoperasian bagi melakukan tugas-tugas mereka. Penganalisa juga tidak menolak kemungkinan kapal-kapal militia ini membawa senjata ringan seperti senapang automatik dan mesingan.

Penulis berpendapat, dengan mengetahui jenis kapal yang mengawasi kawasan perairan kita terutama di sekitar Laut China Selatan, memungkinkan kita untuk merangka strategi serta mengetahui tujuan China dan juga Amerika Syarikat menghantar kapal di situ. Setiap jenis kapal membawa maksud tersendiri dalam pengoperasian yang dilakukan.

Oleh:

Irfan Alias

University of New South Wales, Sydney Australia

Rujukan utama:
Center for International Maritime Security (CIMSEC)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Eksploitasi sumber alam Malaysia oleh China?

Next Post

Adakah penjajahan British telah membuka jalan bagi pendudukan Israel di Palestin?

Related Posts
Skip to content