Kepentingan geopolitik wilayah Arakan dan nasib Rohingya

china-mynamar-pipelines

Projek Gas Shwe menyambung antara Kunming di China dan Kyauk Phyu di wilayah Arakan

Rohingya & geopolitik serantau

Tulisan ringkas ini adalah untuk kita mengenal dengan lebih dekat lagi mengenai geopolitik dan geostrategi serantau khususnya negara China di Burma ataupun Myanmar. Adapun pemain-pemain lain seperti Amerika Syarikat dan juga juga India, ada dinyatakan, tetapi secara sepintas lalu.

1) Myanmar merupakan sebuah negara yang amat strategik dan penting untuk sekuriti dan kestabilan China di mana negara ini merupakan negara yang mempunyai akses terbesar kepada laut andaman dan laut india. Selain itu, Myanmar dan China berkongsi sempadan sepanjang 2,185 kilometer

2) Myanmar juga mempunyai simpanan minyak yang besar dan kebanyakan lapangan minyak di Myanmar masih belum diterokai. Simpanan gas myanmar terbukti pada nilai 87 trillion meter padu(data pada tahun 2012) dan simpanan minyak berjumlah 50 juta tong(data pada tahun 2013) .

3) Myanmar merupakan antara negara di dunia yang mencatatkan indeks demokrasi terendah ketika negara itu diperintah oleh junta tentera

4) Di Myanmar terdapat lebih daripada 10 pergerakan separatis akibat daripada pemerintahan junta tentera yang keras serta mencabul hak asasi manusia

5) Pejuang demokrasi Myanmar, juga pemenang Anugerah Nobel Keamanan 1991 telah diletakkan beberapa kali dalam tahanan politik sebelum dibebaskan pada tahun 2011. Kemudiannya, parti yang diasaskan oleh Suu Kyi, National League for Democracy(NLD) kembali menyertai arena politik dan pada pilihan raya 2015 berjaya membentuk kerajaan campuran bersama junta tentera Myanmar. Namun, Suu Kyi tidak berjaya untuk memegang tampuk kerajaan sebagai presiden kerana pindaan perlembagaan pada tahun 2008 menghalangnya untuk bertanding jawatan presiden.

6) Kerajaan campuran yang dibentuk secara majoritinya meletakkan ahli parlimen daripada kalangan ahli NLD yang mengisi jawatan kementerian-kementerian di Myanmar. Namun, terdapat beberapa kementerian masih dikuasai oleh junta tentera antaranya kementerian dalam negeri, kementerian pertahanan dan kementerian keselamatan sempadan.

7). Akibat daripada pemerintahan yang lama oleh junta tentera, beberapa syarikat yang menguasai majoriti ekonomi Myanmar telah ditubuhkan oleh pihak junta dan diletakkan dibawah bidang kuasa kementerian yang dikuasai oleh pihak junta. Antara syarikat gergasi konglomerat milik junta antaranya, Union of Myanmar Economic Holdings dan Myanmar Economic Corporation. Kedua-dua syarikat ini diletakkan dibawah Kementerian Pertahanan Myanmar. Seterusnya, syarikat-syarikat ini merupakan syarikat yang majoriti sahamnya dimiliki oleh individu-individu kelas elit yang terdiri daripada veteren tentera Myanmar.

Daripada maklumat di atas seterusnya kita beralih kepada isu Rohingya serta geopolitik serantau di negara tersebut.

8) Rohingya merupakan salah satu daripada ratusan etnik yang terdapat di Myanmar. Rohingya merupakan minoriti Muslim yang menghuni wilayah ataupun negeri Rakhine yang terletak di pesisir barat Myanmar.

9) Rakhine merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli serta sangat strategik lokasinya bagi kuasa besar China. Kawasan ini telah melibatkan sejumlah besar pelaburan daripada syarikat-syarikat besar China serta syarikat-syarikat asing yang lain seperti Korea Selatan, Thailand, India dan Singapura.

10) China telah melibat 3 buah gergasi minyaknya iaitu SINOPEC, PetroChina dan CNOOC untuk membangunkan sebuah projek yang bernilai 5 billion USD iaitu China-Myanmar Oil & Gas Pipelines yang bermula di Pulau Kyaukpyu di Rakhine sepanjang 2,380 kilometer dan berakhir di Yunnan dan Chongqing. Projek ini begitu penting kerana sehingga kini lebih 80% sumber tenaga yang diperlukan oleh China adalah melalui Selat Melaka. Keadaan Selat Melaka yang sesat serta aktiviti lanun yang tinggi serta krisis geopolitik China dan US dia Laut China Selatan tidak memberikan jaminan yang kukuh terhadap sumber tenaga China yang melalui ‘choke point’ tersibuk di dunia ini. Hasil daripada projek ini telah memberikan Myanmar sumber pendapatan yang berupa bayaran yuran transit bagi penyaluran minyak dan gas ini berjumlah 13.6 juta USD.

 

3-pipeline-route_550x300

11) Saluran paip minyak dan gas China-Myanmar ini mengandungi kawasan perindustrian bersepadu dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti lapangan terbang, depot simpanan serta pelabuhan laut dalam yang memudahkan China memindahkan sumber tenaga yang majoritinya di import daripada timur tengah. Seterusnya, projek ini juga melibatkan penyaluran minyak daripada medan gas Shwe yang melibatkan sebuah konsortium yang disertai oleh beberapa syarikat minyak asing serta Myanmar.

12) Medan Gas Shwe telah melibatkan 6 buah syarikat daripada India, Korea Selatan, China dan Myanmar. Medan gas ini terbukti mempunyai simpanan berjumlah kira-kira 9 trillion meter padu. Medan minyak ini diurus oleh Myanmar Oil & Gas Enterprise(MOGE), sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh junta tentera dibawah Kementerian Tenaga Myanmar.
Dianggarkan projek ini memberikan pulangan berjumlah sekitar 800 juta USD sehingga 3 billion USD setahun kepada junta.

13) China juga terlibat di dalam projek perlombongan tembaga di Letpadaung yang terletak di wilayah Sagaing. Projek ini telah melibatkan syarikat gergasi milik golongan elit veteran tentera, UMEHL di mana 13% daripada keuntungan projek ini akan disalurkan kepada UMEHL. Projek ini mendapat bantahan yang kuat daripada penduduk dan pihak tentera terpaksa meleraikan protes yang dijalankan dengan kekerasan. Laporan daripada Amnesty International juga menyatakan terdapat bukti pihak junta menggunakan bom asap yang mengandungi fosforus untuk meleraikan penunjuk perasaan.

14) Masyarakat Muslim Rohingya di Rakhine merupakan antara pihak yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan junta tentera yang korup dan zalim terhadap rakyatnya. Projek Sino-Myanmar Oil & Gas Pipelines yang menelan belanja melebihi 5 billion USD telah menyebabkan ratusan ribu ekar tanah penduduk Rakhine diambil dengan bayaran pampasan yang sangat rendah. Terdapat laporan mengatakan bayaran kepada pemilik tanah hanya sekitar 0.19 USD bagi setiap seekar tanah yang diganti.

15) Seterusnya, akibat daripada penglibatan yang begitu banyak syarikat yang dimiliki oleh golongan elit veteran tentera di dalam projek mega telah menyebabkan jutaan rakyat tidak mendapat hak yang sepatutnya. Hal ini telah menyebabkan pelbagai peruntukan tanggungjawab sosial korporat bagi syarikat-syarikat asing semuanya dibolot oleh junta dan pembangunan gagal dijalankan.

16) Terdapat juga laporan yang menyatakan beberapa kumpulan militan Rohingya di wilayah Rakhine telah dilatih oleh Taliban untuk menentang pemerintahan zalim pihak junta tentera. Ketidakstabilan yang berlaku terutamanya di kawasan yang melibatkan aset dan kepentingan strategik China ini telah memberikan impak yang besar kepada geostrategi China seperti projek OBOR dan The New Maritime Silk Road. Seterusnya, ketidakstabilan di Myanmar yang merupakan jiran bagi China memberikan kesan kepada pembangunan China.

17) Ketidakstabilan yang berlaku di Myanmar juga memberikan kesan kepada politik dalaman khususnya kepada kerajaan yang baru dibentuk oleh Aung San Suu Kyi. Ketidakstabilan ini memberikan petunjuk bahawa demokrasi tidak menjamin kestabilan seterusnya pihak junta berjaya untuk memberitahu kepada dunia pemerintahan Suu Kyi telah gagal.
18) Krisis pembunuhan massa yang dilakukan terhadap etnik Rohingya ini juga salah satu daripada cara bagaimana pihak junta tentera mengalih perhatian dunia terhadap segala salah laku yang berbentuk korupsi, kronisme dan nepotisme yang kronik di negara tersebut

19) Ketika berlakunya krisis puncak Rohingya pada tahun 2015, pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi mengeluarkan kenyataan yang memalukan dirinya sebagai seorang pejuang demokrasi apabila beliau menyatakan etnik Rohingya bukan warganegara Myanmar.

20) Kita tahu Gaza merupakan salah satu contoh pengepungan sistematik yang dilakukan oleh sebuah kerajaan terhadap sebuah entiti kecil yang berkerajaan sendiri serta dipilih rakyat secara demokrasi, di Myanmar kita juga boleh menyaksikan satu bentuk pengepungan sistematik serta pembunuhan demi pembunuhan dilakukan terhadap etnik Rohingya di sebuah kawasan yang bernama Maung Daw yang lebih 80% adalah dihuni oleh etnik Rohingya.

Kesimpulannya, krisis Rohingya adalah sebuah krisis yang agak rumit melibatkan pelbagai ‘aktor’ serta krisis kemanusiaan yang bukan sahaja berpunca daripada kepentingan geopolitik sesebuah negara bahkan juga berpunca daripada beberapa faktor sosiologi yang lain, seperti pertembungan antara agama dan etnik, seperti sikap ekstremis rasis etnik Rakhine di Myanmar, juga boleh dilihat juga masalah politik dalaman yang berlaku melibatkan kegagalan pihak kerajaan yang baru dibentuk atas nilai demokrasi menyelesaikan konflik ini secara adil sesuai dengan seruan hak asasi manusia sejagat.

Oleh:

Azry Mustapha

Pengkaji IRIS INSTITUTE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

14 Kaedah Penghapusan Etnik Muslim Rohingya

Next Post

Pantauan Berita Harian – 9 Disember 2016

Related Posts
Skip to content