Abstrak

Kajian implikasi kolonialisme British ke atas ketamadunan bangsa Melayu dalam pelbagai aspek sentiasa berkembang sehingga ke hari ini. 

Namun kajian terhadap implikasi strategi pembandaran kolonialisme British masih sedikit dan terpisah-pisah sedangkan bandar merupakan pusat seluruh sistem kehidupan manusia. 

Proses pembandaran mencakupi semua dimensi pembangunan tamadun dan membawa impak kepada survival kuasa dan kewujudan sesebuah bangsa. 

Penulisan ini mengkaji strategi pembandaran kolonial oleh British dan implikasinya terhadap penghapusan bangsa Melayu di Malaysia. Dua persoalan dikaji untuk merungkai permasalahan utama yang dinyatakan. 

Pertama, bagaimanakah pembandaran kolonial boleh membawa kepada penghapusan bangsa? 

Kedua, sejauh manakah penghapusan bangsa melalui pembandaran kolonial membawa impak terhadap penghapusan bangsa Melayu? 

Kajian ini melakukan penelitian terhadap kajian-kajian kes pembersihan etnik, genosid dan penghapusan bangsa yang telah berlaku di pelbagai tempat. 

Seterusnya, kajian kes terhadap mekanisme pembandaran kolonial dan implikasinya terhadap penghapusan bangsa Melayu telah dilakukan ke atas bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Terengganu. 

Hasil daripada kaedah kajian yang dilaksanakan, kajian mendapati strategi settler colonialism telah dikenal pasti sebagai strategi utama yang menjadi hujah terhadap hubung kait antara penghapusan bangsa dan pembandaran kolonial. 

Hasil perbandingan antara strategi settler colonialism di tempat lain menunjukkan persamaan dengan pembandaran kolonial di Malaysia dari sudut mekanisme dan implikasi. 

Kajian ini mendapati bahawa strategi settler colonialism dijalankan oleh British melalui mekanisme seperti polisi-polisi, akta dan undang-undang, rekrutmen orang tempatan oleh British, dasar diskriminasi ekonomi dan pentadbiran, serta kerjasama dengan syarikat kapitalis Cina. 

Dalam strategi pembandaran kolonial ini, proses penghapusan bangsa Melayu didapati telah dilaksanakan secara sistematik. 

Akibatnya, bangsa Melayu kehilangan pegangan kuasa dan identiti kewujudan dalam pelbagai aspek ketamadunan

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content