Laporan Fulcrum mendapati syarikat China yang beroperasi di Malaysia lebih cenderung untuk melantik ekspatriat China berbanding warga tempatan.
Luna Ge Lai, Felo Pelawat di ISEAS – Yusof Ishak Institute berkata para pengurus di syarikat-syarikat China di Malaysia menyuarakan tiga kebimbangan utama berkaitan pengambilan pekerja tempatan.
Pertama ialah ketidakpadanan kemahiran. Menurutnya, Syarikat dalam sektor pembuatan berketepatan tinggi dan elektronik menghadapi kesukaran untuk mendapatkan juruteknik serta jurutera yang mempunyai pengalaman khusus dalam proses pengeluaran. – Fulcrum
Kebimbangan kedua berkaitan perbezaan jangkaan terhadap tempoh waktu bekerja, yang diburukkan lagi oleh persepsi mengenai risiko pemberhentian pekerja. – Fulcrum
Manakala, kebimbangan ketiga dan yang paling besar kesannya ialah berkaitan latihan. – Fulcrum
“Para responden temu bual sering menggambarkan latihan sebagai “membuat baju pengantin untuk orang lain”, iaitu keadaan apabila sesebuah syarikat melaburkan sumber yang besar untuk melatih seorang juruteknik tempatan, tetapi akhirnya kehilangan pekerja tersebut kepada syarikat pesaing”, katanya. – Fulcrum
Sebagai tindak balas, syarikat China bukan menghentikan latihan, tetapi mengehadkan skop latihan kepada keperluan operasi semasa, sementara pengetahuan teknikal dan pengurusan utama dikekalkan oleh kakitangan dari ibu pejabat. – Fulcrum
Pada pertengahan 2025, Luna telah menemu bual para pengurus di syarikat pengeluar teknologi yang menerima pelaburan dari China dan telah menubuhkan operasi di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Temu bual susulan turut dijalankan di ibu pejabat syarikat-syarikat tersebut di Shenzhen pada bulan Mei.
Selain itu, beberapa syarikat China di Malaysia turut mengambil graduan dari China yang pernah menuntut di Malaysia untuk bekerja melalui kemudahan Graduate Pass yang diperkenalkan pada 2023. – Fulcrum
Graduate Pass membolehkan graduan yang layak tinggal di Malaysia selama 12 bulan untuk mencari peluang pekerjaan dan bekerja sambilan dalam sektor yang dibenarkan.
Namun, pas ini bukan laluan terus kepada pekerjaan profesional sepenuh masa.
Luna, yang juga merupakan Felo di Qianhai Institute for International Affairs, Chinese University of Hong Kong, Shenzhen berkata kos purata untuk menempatkan seorang pekerja ekspatriat dari China dianggarkan sekitar RMB600,000 (kira-kira USD84,000) setahun.
Kos ini merangkumi elaun penempatan, yang lazimnya dua hingga tiga kali ganda gaji di China, penyelarasan cukai di kedua-dua negara, tempat tinggal, persekolahan antarabangsa, perlindungan perubatan serta penerbangan pulang ke China. – Fulcrum
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding RM384.4 bilion pada tahun sebelumnya. – MIDA
Singapura menyumbang RM58.3 bilion, diikuti China dengan RM58.0 bilion, Amerika Syarikat (RM15.1 bilion), Jepun (RM7.6 bilion) dan Hong Kong (RM7.1 bilion). – MIDA
Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute
_ _ _ _ _
RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.