
Isi Kandungan
- Onn Hafiz dilantik MB Johor, di tengah-tengah isu projek tambak laut Muar
- Malaysia berbeza pendirian dengan Singapura, tidak kenakan sekatan terhadap Rusia
- Perkembangan tuntutan wilayah Sabah oleh Sulu, wujud campur tangan luar
- Pengeluaran khas KWSP dianggar cecah RM 31.5 bilion, beri kesan kepada aliran dana
- Kerajaan kekal pelaksanaan rangkaian (SWN) 5G, tawar 70% ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi
Isi Kandungan
- Onn Hafiz dilantik MB Johor, di tengah-tengah isu projek tambak laut Muar
- Malaysia berbeza pendirian dengan Singapura, tidak kenakan sekatan terhadap Rusia
- Perkembangan tuntutan wilayah Sabah oleh Sulu, wujud campur tangan luar
- Pengeluaran khas KWSP dianggar cecah RM 31.5 bilion, beri kesan kepada aliran dana
- Kerajaan kekal pelaksanaan rangkaian (SWN) 5G, tawar 70% ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi
Bagi pelanggan Eksklusif, Sila Login terlebih dahulu untuk baca laporan penuh
Onn Hafiz dilantik MB Johor, di tengah-tengah isu projek tambak laut Muar
Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad yang menerima sokongan sebulat suara 39 daripada 40 bakal Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (Berita Harian) .
Menurut (The Star), Onn Hafiz pernah menerima RM 240 ribu daripada Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015 untuk mengelola portal Malaysian Digest. Pelantikan itu di tengah-tengah isu projek tambak laut Muar sebagai hab tenaga yang melibatkan Maharani Energy Gateway Sdn Bhd (MEGSB) milik D Marine Industries Sdn Bhd (70% Sultan Ibrahim & 30% Daing Malek) dan K Energy Sdn Bhd (50% Eric Ong Zong Ren/Rakan Usahasama perniagaan Daing Malek di dalam KAJ Developement melibatkan projek Melaka Gateway & 50% Valerie Ong Huei Zhen) (Biz Today).
Projek seluas 1,295 hektar itu bersamaan satu perempat saiz Putrajaya merupakan sebahagian daripada manifesto BN Johor (UMNO Online). Datuk Hasni walau bagaimana pun berkata pada 11 Mac yang lalu, kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang keputusan mengenai projek tersebut (Malaysiakini).
Malaysia berbeza pendirian dengan Singapura, tidak kenakan sekatan terhadap Rusia
Malaysia dan negara Asean yang lain seperti Indonesia, Myanmar, Laos, Vietnam dan Thailand tidak bercadang (Benar News) untuk mengenakan sekatan terhadap Rusia susulan perang yang tercetus antara negara itu dengan Ukraine (CSIS).
Berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Singapura, negara tersebut akan mengenakan sekatan kewangan yang menyasarkan bank, entiti dan sebarang aktiviti pengumpulan dana yang memanfaatkan Rusia.
Singapura juga akan mengenakan kawalan eksport ke atas barangan yang mungkin digunakan secara terus sebagai senjata untuk menjajah Ukraine (Berita Harian Singapura).
Sementara itu, peningkatan harga komoditi, pengurangan bekalan minyak dan gas dunia akibat krisis perang memberikan implikasi bercampur baur terhadap ekonomi Malaysia. Walaupun harga komoditi seperti sawit meningkat naik secara mendadak, namun pekebun kecil merasai kesan akibat kenaikan harga baja yang ketara (Bernama).
Dalam pada itu, peningkatan harga minyak mentah dunia yang telah melepasi paras harga AS$100 setong dijangka memberikan keuntungan yang tinggi kepada Petronas (The Edge Market). Risiko inflasi pula berkemungkinan berkurang dan terkawal sekiranya kerajaan masih memberi komitmen untuk memberikan subsidi bahan api (Astro Awani).
Selain itu, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin, konflik antara Rusia dengan Ukraine, tidak mengganggu kesiapsiagaan pertahanan negara, walaupun syarikat tempatan Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd(ATSC) mempunyai kontrak untuk pembekalan alat ganti pesawat Sukhoi Su-30MKM, serta pembekalan peluru berpandu anti kereta kebal (ATGM) Metis-M dengan Rusia (Berita Harian).
Beliau juga berkata, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyokong tindakan undang-undang bersama diambil Australia dan Belanda terhadap Rusia, berhubung nahas pesawat MH17 kerana berkemungkinan dijadikan alat perseteruan geopolitik Barat (Berita Harian).
Perkembangan tuntutan wilayah Sabah oleh Sulu, wujud campur tangan luar
Kerajaan Malaysia dilaporkan telah diarah membayar sekurang-kurangnya Rm 62.59 bilion kepada waris sultan Sulu yang terakhir akibat memberhentikan pembayaran wang pemisahan tahunan sebanyak RM5300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu (Malaysiakini).
Walaupun Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut (Malaysia Gazette), peguam yang berpangkalan di London, Elisabeth Mason yang mewakili keturunan Sultan Sulu, menyangkal dakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa identiti waris terbabit diragui.
Memetik surat daripada bekas Peguam Negara Tommy Thomas kepada seorang lagi peguam, Paul Cohen pada 2019, Elisabeth Mason berkata, komunikasi surat menyurat itu menunjukkan bahawa AGC dan Kementerian Luar mengetahui dan secara rasmi mengiktiraf pihak yang menuntut (MSN). Berikutan itu, Kerajaan Malaysia akan melantik peguam di Sepanyol dan Perancis bagi mewakili negara ini menangani segala tuntutan pampasan yang dilakukan (Malaysia Gazette).
Datuk Yong Teck Lee, bekas Ketua Menteri Sabah mendakwa bahawa wujud campur tangan luar dalam isu tuntutan tersebut. Menurut beliau, keluarga Kiram tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa yang menelan belanja berjuta ringgit (Harian Metro).
Pengeluaran khas KWSP dianggar cecah RM 31.5 bilion, beri kesan kepada aliran dana
Kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi membolehkan usaha tersebut, KWSP terpaksa mencairkan aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak menentu terutama krisis berlaku antara Rusia dan Ukraine.
Penjualan aset pelaburan berkenaan sebagai menampung jangkaan nilai RM63 bilion melibatkan 6.3 juta ahli yang layak melakukan pengeluaran. Beliau menegaskan, langkah itu akan memberi kesan buruk ke atas pasaran saham dan bon tempatan termasuk kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang meningkat dalam kadar 100 mata asas berbanding suku ketiga 2020, malah meningkatkan kos pinjaman kerajaan pada masa akan datang (Utusan). Walaubagaimanapun, nilai pengeluaran tersebut dijangka mencecah sekitar 52-82% berdasarkan kadar pengambilan sebelum ini, dan dijangka sebanyak RM 31.5 bilion (Dagang News).
Pengeluaran khas beberapa pakej pengeluaran caruman sebelum ini seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra melibatkan jumlah pengeluaran bernilai RM 101 bilion ringgit setakat Oktober 2021 telah menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.
Keadaan ini secara langsung menunjukkan bahawa 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan (Sinar Harian).
Kerajaan kekal pelaksanaan rangkaian (SWN) 5G, tawar 70% ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi
Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dengan membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) (Reuters).
Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) seperti Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menyokong usaha model perkongsian awam-swasta yang dilakukan oleh syarikat Digital Nasional Berhad (DNB) untuk menawarkan 70% pemilikan saham syarikat tersebut (Free Malaysia Today).
Langkah ini dilihat sebagai usaha membaiki semula boikot yang telah dilakukan oleh syarikat telco terbabit yang telah menolak untuk membeli spektrum daripada DNB (Reuters). Model (SWN) sebelum ini dikritik kerana memakan masa yang panjang dalam melaksanakan projek 5G nasional, selain isu monopoli melibatkan syarikat DNB.
Walaupun begitu, DNB menafikan perkara terbabit sambil menyifatkan pemberian kuasa berlebihan kepada syarikat swasta bakal merencatkan perancangan kerajaan untuk memberikan servis 5G kepada harga yang berpatutan selain meningkatkan risiko monopoli (Malay Mail).
Disediakan Oleh:
Unit Pantauan Semasa
IRIS Institute