Sebuah laporan bertajuk Flipping the Script: How to Hold China’s New Carriers at Risk yang diterbitkan oleh Center for Strategic and International Studies (CSIS) pada Ogos 2026 menggariskan pelan operasi Amerika Syarikat untuk mengubah dinamik persaingan kapal induk di Indo-Pasifik secara menyeluruh. Laporan ini berhujah bahawa AS dan sekutunya perlu beralih daripada posisi bertahan kepada posisi menyerang dengan menjadikan kapal induk baharu China, iaitu Fujian (Type 003) dan Sichuan (Type 076), sebagai sasaran aktif. (CSIS)
Kapal induk tersebut akan dijadikan sasaran aktif melalui lima pendekatan: i) operasi kapal selam penceroboh menggunakan kapal selam bertenaga nuklear AS dan kapal selam konvensional negara sekutu; ii) rangkaian serangan maritim berasaskan darat; iii) serangan udara dan angkasa jarak jauh; iv) gangguan siber dan peperangan elektronik bagi mencipta ruang peluang serangan; serta v) kempen serangan berpukal menggunakan aset tanpa pemandu kos rendah yang direka untuk menjadikan setiap penggunaan kapal induk China sebagai liabiliti strategik berbanding aset. (CSIS)
Dalam rangkaian ini, Filipina dan Taiwan disenaraikan secara eksplisit sebagai nod teras di mana Filipina sebagai tapak serangan maritim berasaskan darat, manakala Taiwan sebagai pusat kumpulan serangan pesisir yang menembak peluru berpandu anti-kapal mudah alih. Kedua-dua lokasi ini berada di sepanjang Rantaian Pulau Pertama (First Island Chain), iaitu garisan geografi strategik yang menjadi asas kepada pelan AS untuk menyekat pergerakan kapal induk China ke Lautan Pasifik. Perairan berhampiran Sabah pula terletak di bahagian selatan Laut China Selatan, bersebelahan dengan nod Filipina dalam rangkaian ini. (CSIS) (The Defense Post)
Laporan CSIS ini relevan dibaca bersama kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh perkembangan di Pulau Balabac, selatan Palawan, baru-baru ini. Anwar mengakui pembangunan kemudahan tentera Filipina di kawasan berhampiran Sabah itu dilakukan melalui perjanjian EDCA antara Manila dan Washington. (Intraday)
Laporan CSIS mendedahkan mengapa Balabac penting dalam konteks yang lebih besar. Ia bukan sekadar pangkalan dua hala Filipina-AS, sebaliknya sebahagian daripada rangkaian serangan maritim yang direka untuk mengepung laluan kapal induk China melalui Selat Luzon, Laut Filipina, dan Laut China Selatan. (CSIS)
Latihan HIMARS dan simulasi penguasaan lapangan terbang yang dijalankan di Balabac pada Mei lalu adalah sebahagian daripada latihan operasi sebenar rangkaian ini. Dengan lokasinya yang berhampiran Sabah, dalam konteks tuntutan Filipina ke atas Sabah yang masih berlarutan, menjadikan perkembangan ini bukan sekadar isu pertahanan serantau tetapi isu yang mempunyai dimensi kedaulatan wilayah bagi Malaysia. (Intraday)
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim muncul dalam temu bual khas Al Jazeera bertajuk ‘Malaysia between the superpowers’ yang disiarkan pada 16 Ogos, menyatakan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China tanpa syarat. Lebih jauh daripada itu, apabila ditanya sama ada beliau akan mengecam China sekiranya Beijing menggunakan kekerasan untuk menyatukan Taiwan, Anwar menjawab dengan menggunakan analogi keutuhan wilayah Malaysia bahawa beliau akan menggunakan kekerasan untuk menghalang mana-mana negeri daripada memisahkan diri daripada Persekutuan. (Malay Mail)
Kenyataan ini disambut segera oleh Kementerian Luar China yang merakamkan penghargaan Beijing, sementara Taiwan mengeluarkan kenyataan keras mempersoalkan kelayakan moral Anwar dan memberi amaran bahawa sokongan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan yang melabur di Malaysia. (Taipei Times)
Apabila dibaca bersama laporan CSIS, kenyataan Anwar memperoleh dimensi yang lebih luas. Laporan CSIS menyenaraikan Taiwan sebagai nod serangan pesisir dalam rangkaian anti-China AS. Justeru sokongan terbuka Anwar kepada Beijing atas isu Taiwan, sama ada disengajakan atau tidak, memberi kesan yang selari dengan penolakan terhadap rangkaian ketenteraan yang laporan ini cadangkan. Sama ada ini mencerminkan kesedaran strategik Malaysia terhadap rangkaian CSIS, atau sekadar kesinambungan pendirian dasar luar Malaysia yang sedia ada, tidak dapat dipastikan pada ketika ini. (CSIS)
Dalam laporan CSIS, negara yang disenaraikan sebagai rakan kongsi teras rangkaian ini adalah Jepun, Australia, Korea Selatan, Filipina, dan Taiwan. Malaysia tidak disebut dalam mana-mana lapisan yang digariskan — tidak dalam komponen kapal selam, tidak dalam rangkaian serangan maritim darat, tidak dalam platform tanpa pemandu, dan tidak dalam kerjasama pengeluaran peluru berpandu. (CSIS)
Ini bukan semestinya bermakna AS secara sengaja mengketepikan Malaysia, tetapi kesannya dari sudut geopolitik adalah sama: rangkaian ketenteraan yang melibatkan perairan berhampiran Sabah sedang dibina tanpa penglibatan atau perundingan Malaysia, dan Malaysia tidak mempunyai suara dalam bagaimana operasi tersebut akan dijalankan di kawasan yang sensitif bagi kedaulatan negara.
Ketiga-tiga perkembangan ini iaitu laporan CSIS, kenyataan Anwar tentang Taiwan, dan perkembangan di Balabac berlaku dalam tempoh yang hampir serentak. Rangkaian ketenteraan yang laporan CSIS gariskan melibatkan geografi Indo-Pasifik yang merangkumi kawasan berhampiran perairan Malaysia, sementara Malaysia tidak disebut sebagai sebahagian daripada rangkaian tersebut. Dalam masa yang sama, Anwar membuat kenyataan tentang Taiwan dan Balabac yang menyentuh isu kedaulatan wilayah dan hubungan kuasa besar di mana dua perkara ini turut menjadi fokus utama laporan CSIS.
Disediakan oleh: Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute
———-
RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan di ruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.