KUALA LUMPUR- Pertumbuhan bekalan hartanah di Malaysia meningkat 34.53 peratus tahun ke tahun dan 11.94 peratus suku ke suku bagi suku kedua tahun 2021, didorong oleh lebih ramai pemilik rumah menjual hartanah untuk aliran tunai, demikian menurut Indeks Pasaran Hartanah Malaysia (MPMI) oleh PropertyGuru.
PropertyGuru dalam satu kenyataan berkata peningkatan bekalan hartanah di negara ini pada suku kedua berkemungkinan disebabkan oleh pertambahan jumlah kediaman untuk dijual di pasaran sekunder pada keadaan semasa ekonomi.
Trend peningkatan penawaran hartanah ini juga boleh dilihat pada empat wilayah utama yang diliputi oleh MPMI, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor, masing-masing menyaksikan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 16.91 peratus, 48.95 peratus, 40.32 peratus, dan 17.47 peratus.
Di tiga daripada empat pasaran utama yang diliputi oleh MPMI, pertumbuhan positif dapat dilihat bagi harga permintaan pada suku kedua tahun ini, menandakan wujudnya beberapa bentuk penstabilan harga bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Harga permintaan meningkat 1.56 peratus suku ke suku di Kuala Lumpur, 1.18 peratus suku ke suku di Selangor, dan 0.95 peratus suku ke suku di Pulau Pinang, sementara Johor adalah satu-satunya negeri yang mencatat pertumbuhan negatif, merosot sedikit sebanyak 0.15 peratus suku ke suku pada suku kedua tahun ini.
PropertyGuru berkata, situasi COVID-19 yang berpanjangan telah memberi kesan ketara kepada pasaran hartanah, seperti yang dicerminkan dalam harga permintaan pasaran hartanah primer dan sekunder yang dikesan MPMI.
Indeks Harga Permintaan Hartanah PropertyGuru Malaysia mengalami trend penurunan sejak suku kedua 2020 sebanyak 2.16 peratus tahun ke tahun.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata berikutan pandemik COVID-19, mereka yang kekurangan wang tunai, mungkin masih membuat keputusan untuk menjual hartanah meskipun moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan diperkenalkan.
“Oleh itu, kita mungkin boleh melihat lebih banyak bekalan kediaman memasuki pasaran sekunder, kesan daripada mereka yang ingin melepaskan pelaburan hartanah mereka bagi meringankan beban kewangan semasa,” katanya.
Fernandez berkata jumlah bekalan hartanah dari pasaran utama dijangka terjejas pada suku tahun seterusnya, disebabkan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara pada Jun 2021, yang telah mengganggu operasi sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.
Beliau yakin unjuran sektor hartanah kekal suram sehingga akhir tahun ini melainkan tanda ketara pemulihan dalam sektor hartanah dapat diharapkan setelah negara berada pada posisi yang lebih baik bagi mencapai imuniti kelompok dengan peningkatan vaksinasi COVID-19.
— BERNAMA