Ada sahabat-sahabat yang bertanya pada saya benarkah orang-orang Melaka sudah memiliki teknologi membuat kubu atau tembok dari batu?
Sebenarnya terdapat banyak sumber-sumber sejarah yang menyokong bahawa teknologi membuat tembok dari batu telah pun dikuasai oleh orang-orang Melaka. Saya nyatakan dua sahaja di sini iaitu:
1) Sumber Sulalatus Salatin
“Maka Peringgi (Portugis) pun diamlah (menawan) di Melaka, akan pagar ruyung istana (Kesultanan Melaka) dibuatnya kota (A Famosa)”
Di sini jelas bahawa Portugis memunggar pagar istana Sultan Melaka untuk membina kota A Famosa. Sudah pasti pagar istana itu dibuat dari batu sepertimana dinding A Famosa dan pagar itu semestinya panjang dan tinggi, bertepatan dengan sifat ‘pagar sebuah istana’.
2) Kajian arkeologi oleh W. Linehan
Sekitar tahun 1928, iaitu selepas banjir besar yang melanda, W. Linehan membuat penyelidikan arkeologi di Jeram Kwi, Tembeling. Beliau menemui kesan2 batu yang dibakar dalam jumlah yang banyak dan fondasi lantai kuno. W. Linehan membuat kesimpulan bahawa kemungkinan besar runtuhan batu-batu itu adalah kubu yang dibina oleh tentera Melaka sekitar tahun 1500 M bagi mencegah serangan dari Siam. Teknologi binaan itu ialah batu-batu diplaster dengan tanah liat dan dibakar supaya tanah liat itu berfungsi sebagai simen yang mencantumkan batu-batu itu dengan kukuh.
Banyak lagi sumber yang boleh menyokong pembinaan kubu batu di Melaka. Portugis juga mencatatkan Melaka memiliki sekitar 8000 pucuk meriam. Dengan jumlah meriam sebegitu banyak, maka sangat munasabah Melaka memiliki kubu yang diperbuat dari batu. Apatah lagi Melaka terdedah dengan kepelbagaian tamadun asing dari berbagai pelusuk dunia.
Oleh:
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara
Daftarkan diri ke Wacana Survival Melayu: Identiti Politik Sebelum Penjajahan. Sebarang pertanyaan boleh hubungi
Saudara Wafiq Azman di talian 012-7242482 (Whatsapp) atau
email kepada [email protected]
http://bit.ly/WacanaMelayu