Definisi kemanusiaan hari ini terlalu eksklusif dan tidak bersifat sejagat

Dalam dunia hari ini, prinsip-prinsip besar hidup manusia yang mencorakkan struktur serta hubungan antara entiti politik di peringkat dunia, dan di peringkat tempatan, sebenarnya adalah prinsip-prinsip yang asalnya hanya lahir daripada salah satu tamadun yang dominan di dunia iaitu tamadun Anglo-America.

Prinsip-prinsip seperti ‘hak asasi manusia’ dan ‘kedaulatan negara-bangsa’ misalnya, bukanlah satu prinsip yang benar-benar merupakan ‘common ground’ atau titik pertemuan bagi semua tamadun dan peradaban manusia, baik di sepanjang garis sejarah mahupun dalam realiti semasa.

Namun oleh kerana prinsip-prinsip itu dilontarkan dan dipelihara oleh sebuah kuasa besar, diinstitusikan oleh pelbagai institusi dunia (seperti PBB contohnya), serta dipromosikan secara ‘non-violent’, maka prinsip-prinsip tersebut telah mencapai martabat hegemoni. Martabat ini bermakna prinsip yang asalnya bukan ‘common ground’ semua manusia, kini telah diterima sebagai prinsip yang ‘natural’ dan ‘default’ dalam hidup manusia di seluruh pelusuk dunia, samada mereka sedar atau tidak. [1]

Oleh kerana prinsip-prinsip tersebut secara zatnya tidak pun memiliki nilai ‘common’ yang sejati, maka kita mendapati meskipun ia mencapai martabat hegemoni dan diaplikasikan di serata dunia, ia tidak dapat memberikan kerangka yang memenuhi naluri setiap manusia, pada masa yang sama memastikan perjalanan hidup di dunia ini berlaku secara teratur, dan menuju kepada situasi yang lebih baik.

Cubaan China pada hari ini untuk menawarkan beberapa prinsip yang mempunyai sedikit variasi berbanding prinsip dengan akar Anglo-American adalah satu bukti bahawa manusia masih dalam pencarian terhadap sebuah set aturan yang benar-benar bersifat global – mampu memenuhi kepuasan manusia yang pelbagai latar budaya dan keturunan – pada masa yang sama membawa dunia ke arah kehidupan yang lebih baik. [2]

Sebagai pewaris kepada sebuah tamadun yang tersendiri dan ada rekod dalam menyediakan prinsip-prinsip yang merentas budaya dan keturunan, seorang Muslim seharusnya sedar bahawa dia memiliki sebuah tawaran prinsip dan kerangka yang jauh lebih baik dan unggul berbanding semua yang saya nyatakan di atas.

Kemanusiaan yang ditawarkan oleh Islam (dan seorang Muslim) adalah sebuah kemanusiaan yang jauh lebih ‘sejagat’ berbanding kesejagatan yang didakwa wujud dalam prinsip ‘hak asasi manusia’ menurut kamus tamadun Anglo-American.

Bagaimana seorang Muslim boleh memilih untuk kekal larut dan tenggelam dalam hegemoni sebuah prinsip yang hakikatnya terlalu eksklusif (tidak inklusif) – seperti prinsip ‘hak asasi manusia ala PBB’ – dan tidak cuba melontarkan satu jawapan baru kepada manusia daripada khazanah tamadun Islam?

——–
[1] “Towards a post-hegemonic conceptualization of world order: reflections on the relevancy of Ibn Khaldun”, Robert W Cox (1992)
[2] “5 facts you need to understand the new global order” (https://www.weforum.org/…/five-facts-you-need-to-understan…/)

Oleh:
Syed Ahmad Israa’
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Landskap Edisi 19

Next Post

RADAR EDISI 86

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content