Israel Lancar Serangan Ke Atas Fasiliti Nuklear Iran, Cuba Pengaruhi Rundingan Nuklear Dengan Iran

Ketika rundingan nuklear yang dipimpin Amerika Syarikat masih berlangsung, Israel melancarkan serangan berskala besar dikenali sebagai Operasi Rising Lion, menyasarkan lokasi-lokasi strategik di Iran termasuk fasiliti nuklear, kompleks peluru berpandu balistik, infrastruktur ketenteraan dan kediaman pegawai kanan tentera.

Menurut pegawai kanan Iran, serangan Israel bertujuan untuk “menekan Tehran agar mengubah pendiriannya terhadap hak nuklear” semasa pusingan keenam rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat yang dijadual pada Ahad ini di Oman. – Reuters

Iran dalam siri rundingan nuklear pada minggu ini telah menolak cadangan Trump, yang menggesa Tehran menamatkan usaha memperkaya uranium di dalam wilayahnya.

Pemimpin Tertinggi Iran, Seyyed Ali Khamenei berkata “seruan untuk berunding oleh kuasa-kuasa yang bersifat “membuli” bukanlah bertujuan menyelesaikan isu, sebaliknya cubaan untuk memaksakan kehendak mereka ke atas Republik Islam Iran”. – IRNA

Tambahnya, “Republik Islam Iran sama sekali tidak akan menerima tuntutan mereka”. – IRNA

Merujuk kepada rundingan dengan Iran, Trump berkata “mereka enggan melepaskan apa yang sepatutnya mereka lepaskan. Anda tahu apa itu: mereka mahukan pengayaan (uranium).” – NYTimes

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagaimanapun menafikan tuduhan ingin menghasilkan lebih banyak bahan api nuklear untuk tujuan ketenteraan.

Katanya, “kami telah umumkan, dan Pemimpin Tertinggi juga berpegang kepada prinsip bahawa kami tidak akan membina senjata nuklear. Nilailah dengan apa cara sekalipun — kami tidak akan membina bom nuklear.” – Al-Jazeera

Terdahulu, pada hujung Mei, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan mengancam untuk menggagalkan rundingan tersebut dengan melancarkan serangan ke atas fasiliti utama pengayaan uranium Iran.

Cadangan serangan ke atas Iran ini dikatakan sudah dikemukakan sejak beberapa bulan lalu, namun ditolak oleh Trump yang percaya rundingannya mampu menyekat keupayaan Iran untuk menghasilkan lebih banyak bahan api nuklear untuk tujuan ketenteraan. – NYTimes

Pada awal pagi 13 Jun 2025, Israel telah melancarkan serangan udara ke atas bandar Natanz yang menempatkan salah satu fasiliti nuklear utama negara itu. Serangan turut dilaporkan di bandar Khandab, lokasi reaktor nuklear air berat, serta Khoramabad yang menjadi tapak pangkalan peluru berpandu balistik. – CNBC

Selain itu, serangan Israel telah mengorbankan Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Jeneral Hossein Salami; Mejar Jeneral Gholam Ali Rashid, pegawai kanan IRGC; Fereydoon Abbasi, saintis nuklear dan bekas ketua Agensi Tenaga Atom Iran; serta Mohammed Mehdi Tehranchi, seorang lagi tokoh dalam bidang sains nuklear. – NBCNews

Sementara itu, Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman sedang memuktamadkan resolusi kecaman ke atas tindakan Iran yang dikatakan mempercepatkan program nuklearnya serta melanggar komitmen lain di bawah perjanjian nuklear 2015 supaya menjadi asas kepada Majlis Keselamatan PBB untuk mengembalikan semula sekatan ekonomi berat ke atas Tehran. – NYTimes

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kedaulatan AI Malaysia, berlindung di sebalik China

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.