Kadar Kematian Bayi Gaza Meningkat untuk Pertama Kali dalam Tempoh 53 Tahun

infant-mortality-rate-rises-gaza

Akihiro Seita, pengarah program-program kesihatan UNRW, mengatakan sekatan terhadap Gaza antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan tersebut.

Kadar kematian bayi Gaza telah meningkat buat pertama kali dalam lebih daripada separuh abad menurut satu kajian oleh agensi bantuan milik U.N untuk pelarian Palestin

“Bilangan kematian bayi yang mati sebelum berumur 1 tahun telah menurun secara konsisten sejak beberapa dekad yang lepas di Gaza, daripada 127 per 1000 kelahiran pada tahun 1960 ke 20.2 pada tahun 2008. Kiraan baru-baru ini, pada tahun 2013, menunjukkan peningkatan kepada 22.4 per 1000 kelahiran,” berdasarkan satu kenyataan oleh United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) yang dikeluarkan pada Sabtu lepas.

“Setiap lima tahun, UNRWA akan mengendalikan satu tinjauan tentang kematian bayi di seluruh kawasan ini, dan keputusan bagi tinjauan yang dilakukan pada tahun 2013 telah dikeluarkan pada minggu ini,” menurut kenyataan itu juga, UNRW akan melaksanakan satu lagi tinjauan baru untuk Gaza pada tahun ini.

Menurut UNRWA, kadar kematian neonatal – iaitu bayi-bayi yang mati sebelum berumur 4 minggu – di Gaza telah meningkat daripada 12 per 1000 kelahiran pada tahun 2008 ke 20.3 pada tahun 2013.

Kenyataan itu memetik kata-kata Akihiro Seita, pengarah program kesihatan agensi tersebut, yang menyatakan kenaikan tiba-tiba itu tidak pernah berlaku di Timur Tengah sebelum ini.

“Semasa keputusan tinjauan untuk tahun 2013 itu pertama kali diumumkan, UNRWA terkejut dengan peningkatan tersebut. Untuk mengesahkan peningkatan itu, kami telah bekerjasama dengan beberapa kumpulan penyelidikan lain untuk mengkaji semula data yang telah kami peroleh,” kata Akihiro Seita. “Oleh sebab itu, kami telah mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan angka yang terbaru itu.”

Beliau juga merasakan tindakan Israel menyekat kawasan di semenanjung pantai, di mana hampir 45 peratus daripada populasi penduduk itu berumur 14 tahun ke bawah, adalah antara penyumbang kepada peningkatan angka kematian tersebut.

“Agak sukar untuk mengetahui penyebab sebenar kenaikan dalam kadar kematian neonatal dan bayi, tetapi saya risau kalau-kalau kenaikan ini ada kaitan dengan aktiviti yang dilakukan secara meluas,” kata beliau. “Kami amat bimbang tentang kesan daripada sekatan jangka lama ke atas kemudahan kesihatan, bekalan ubat-ubatan dan membawa peralatan ke dalam Gaza.”

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza pada tahun 2006 setelah Hamas menawan seorang tentera Israel. Israel telah mengetatkan kawalannya setahun selepas Hamas menyatukan pemerintahannya di semenanjung kawasan itu.

Peperangan selama 50 hari antara kumpulan-kumpulan bersenjata Israel dan Palestin pada bulan Julai dan Ogos 2014 telah mengorbankan 2200 orang Palestin yang kebanyakannya terdiri daripada orang awam manakala 66 orang tentera Israel, 6 orang awam dan seorang warganegara Thailand telah terkorban di bahagian Israel. Peperangan itu turut memusnahkan berpuluh-puluh ribu tempat tinggal di kawasan pantai yang miskin.

Lebih daripada 500 orang kanak-kanak di Gaza menjadi korban peperangan itu.

 

Terjemahan: Shamimi Amlee

Sumber: al-Jazeera

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Berapa Ramai Pemimpin Islam Sudah Mati di Penjara Mesir

Next Post

Tragedi Ektremis Yahudi, Ketegangan Kian Meningkat di Tebing Barat

Related Posts
Skip to content