Kerajaan Nafi Dakwaan Serah 5,207 Hektar Tanah, Tegaskan Kawasan Itu Di Bawah Wilayah Indonesia Sejak 1915

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia, sebaliknya kawasan berkenaan sememangnya berada di bawah pentadbiran Indonesia sejak era Boundary Agreement 1915.

Penentuan sempadan darat antara kedua-dua negara, jelas beliau, dibuat sepenuhnya berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang telah lama berkuat kuasa, dan bukan berasaskan pampasan, timbal balik atau pertukaran wilayah.

Menurut beliau, isu melibatkan kawasan Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di sempadan Sabah–Kalimantan Utara merupakan sebahagian daripada Outstanding Boundary Problem (OPB) yang telah dirunding sejak tahun 1977 dan tidak pernah dimuktamadkan sebelum ini.

Penentuan sempadan tersebut berpandukan Boundary Convention 1891 dan Boundary Agreement 1915, yang menetapkan prinsip penentuan kawasan berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di garis latitude 4 darjah 20 minit Utara.

“Di utara garis latitude 4 darjah 20 minit Utara, kawasan itu adalah di bawah British, Sabah. Manakala di selatan garis latitude berkenaan, kawasan itu berada di bawah Belanda, Indonesia.

“Berdasarkan peta dalam perjanjian 1915, muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai ditunjukkan berada di selatan garis tersebut. Namun hasil pengukuran bersama mendapati Sungai Sinapat sebenarnya bermuara di utara garis latitude 4 darjah 20 minit Utara,” katanya.

Susulan penemuan itu, kawasan lembangan sungai yang bermuara di utara garis tersebut ditafsirkan sebagai milik Malaysia mengikut peruntukan perjanjian sedia ada.

Hasil rundingan dan pengukuran yang diselesaikan secara berperingkat selama hampir 47 tahun, Malaysia memperoleh kawasan tambahan dan bukannya kehilangan wilayah.

Di Pulau Sebatik, Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 0.5 kilometer persegi, manakala di kawasan Sungai Sinapat dan Sungai Sesai, Malaysia memperoleh tambahan sekitar 78 kilometer persegi, bersamaan 780 hektar atau 1,927 ekar.

Sebaliknya, kawasan seluas 5,987 hektar yang sering dipetik dalam dakwaan awam kekal berada di bawah pentadbiran Indonesia sejak era perjanjian 1915 dan tidak pernah dimuktamadkan sebagai wilayah Malaysia.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa sebahagian kecil daripada Kampung Kabunggalo, Kampung Lempaga dan Kampung Tertagas secara automatik termasuk dalam wilayah Sabah selepas penentuan sempadan dimuktamadkan.

Keseluruhan proses rundingan melibatkan penglibatan penuh Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri, Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur Sabah, sebelum dipersetujui di peringkat Persekutuan dan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia–Indonesia pada Februari 2025.

Walau bagaimanapun, kerajaan mengakui masih terdapat beberapa kawasan sempadan lain yang belum dimuktamadkan, termasuk kawasan intertidal di sektor Sabah–Kalimantan Utara serta beberapa OPB di sektor Sarawak–Kalimantan Barat, yang masih dalam proses rundingan antara kedua-dua negara.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tokong, Perniagaan Cina & Sekolah Katolik Bakal Jadi Warisan Kebangsaan, Risiko Angkat Kajang Sebagai Bandar Beridentiti Cina

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000