Baru-baru ini banyak isu kita lihat, dengar dan baca seperti isu pencerobohan lombong haram, berita potensi mineral di kawasan atau negeri tertentu dan lain-lain. Sepanjang saya menjalankan kajian semasa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), perbincangan antara saintis dan ahli akademik di UA dan konferen, terlibat langsung dengan industri mineral, ada satu perkara saya boleh simpulkan dengan satu cadangan untuk negara. Perlu perbincangan kritis, pindaan yang murni dan persetujuan menang-menang antara negeri.
Sekiranya kita berani berubah seperti negara China sekarang, cadangan saya, tubuhkan syarikat multinasional yang mengurus sumber mineral 100% hak milik kerajaan pusat.
Mungkin cadangan ni banyak bercanggah beberapa pendapat ahli akademik, orang industri, pengurusan tanah dan galian setiap negeri dan beberapa badan bukan kerajaan. Sebab setiap negeri berbeza sikit konten akta/enakmennya. Ya nak ubah dan pegang dunia, memang banyak kita ‘terpaksa langgar’ undang-undang, akta & enakmen negeri yang sedia ada. Sebab kita buat undang-undang dan akta sebelum ini berdasarkan keperluan tertentu. Jadi cadangan saya adalah keperluan negara. Apa perlu pinda, kita pinda untuk MASA DEPAN BERSAMA. Saya bukan cenderung untuk berdebat dan menjadi rebel.
Saya lontarkan cadangan ini bila saya letakkan diri saya sebagai orang cintakan watan atau senang nak faham nasionalis. Sayangkan negara.
Pandangan saya, sumber mineral perlu diurus satu badan nasional yang setanding seperti Petronas. Isu royalti, akta & semuanya tunggu sekejap. Letak tepi, jika kita mahu, kita boleh pinda seperti saya sebut, untuk kepentingan bersama.
Kenapa perlu satu badan nasional?
- Pertama, pemprosesan sumber mineral perlukan kos yang besar. Kos yang melibatkan eksplorasi, pemprosesan dan bermacam2 teknologi yang ingin digunakan. Lain komposisi tanah, lain cara nak proses mineralnya, lain mesin dan teknologi nak digunakan supaya lebih ‘economic‘ atau masih dapat untung sebab kejadian mineralnya berbeza setiap tempat. Cukup poin ini nak senang faham. Bila negara yang mengurus, pastinya soal peruntukan kewangan lebih realistik.
- Kedua, kelahiran tenaga mahir manusia di Malaysia. Berdasarkan statistik keluaran ILMIA, tenaga mahir pemprosesan mineral banyak dari keluaran USM, UMP manakala geologist banyak tempat seperti UMS, UMK, UM, UK dan sebagainya. Jadi tenaga mahir kita ada, tapi kerana bukan badan nasional yang mengurus, peluang buka pekerjaan banyaknya tiada. Adapun mungkin syarikat yang skala kecil. Hasilnya untuk keperluan syarikat dan negeri. Bukan sekadar susah untuk ‘matang kerjaya’, tapi hasil sumbernya tidak manfaatkan sepenuhnya. Kita perlu lebih manfaatkan keperluan nasional. Kebajikan pekerja juga dilayan seperti bekerja untuk negara. Setiap tahun akan ada konferen dunia tentang proses mineral, jadi tenaga kerja kita datang sebagai wakil negara.
- Ketiga, pembaharuan dan penukaran teknologi. Seiring dengan tuntutan agama Islam demi kelestarian alam, segala pemprosesan mesti mesra alam tetapi masih kekal produksi mineral yang menguntungkan. Jadi unit R&D perlu ditubuhkan. Nak buat kajian perlukan kos yang sangat besar sebab nak bergerak maju ke hadapan mesti dengan fakta ilmu dan kajian. Banyaknya saintis, banyaklah kajian, banyaklah data, banyaklah penambahbaikan. Kita juga mungkin berupaya untuk mencipta 1 teknologi baru kerana poin 1 dan 2 tadi lengkap. Kita juga boleh bangga pada negara lain kerana kita jadi juara inovasi mineral. Jadi kita lebih ‘berkuasa’ dan jadi rujukan utama dunia untuk penukaran teknologi. Kita juga boleh buka peluang pembukaan pemprosesan pada negara lain dengan konsultasi dari kita seperti Petronas lakukan. Ingat buka bukan niat nak menjarah hasil, tapi membantu negara yang baru nak bangun ni maju. Tidak seperti beberapa syarikat di negara-negara tertentu. Kan harmoni dunia?
- Keempat, keupayaan kita melakukan pembuatan bahan elektronik dengan jenama produk negara. Kita mampu menjadi seperti Apple, Tesla, Samsung, Huawei sekiranya badan nasional yang urus pemprosesan mineral kita maju jika sempurna poin 1-3. Kita ada juga potensi menjadi pengeluar produk elektronik digital dengan hasil sumber sendiri. Kita kawal kualiti dari A hingga Z. Kita maju proses, kita juga maju pengeluar bahan elektronik yang berasaskan digital. Kesan baiknya, kita mampu tarik pelabur luar untuk proses dan buat dinegara kita, kita juga mampu buka banyak peluang pekerjaan, sekali gus jana pendapatan negara seperti Petronas. Ia juga buka peluang pada kita potensi untuk menguasai teknologi digital. Semua rakyat boleh rasai kejayaan dan kekayaan ini.
Mungkin setakat ini sahaja saya boleh lontarkan dahulu. Ada lagi cuma ini paling utama dan asas untuk faham bersama demi tanah tumpahnya darahku. Segala hasil sumber mineral perlu diurus dengan keupayaan satu badan nasional yang terurus. Keupayaan kita sendiri. Orang kita yang mengurus. MALAYSIA BOLEH melakukannya. Jangan takut perubahan globalisasi. Ketepikan kepentingan individu dan parti politik. Ini demi watan.
Sekian cadangan kecil dari rakyat marhaen yang cintakan watan.
Fakihin Aqsa
Bekas graduan doktor falsafah pemprosesan emas
Tulisan Asal: Facebook Fakihin Aqsa