Di sebalik lipatan sejarah, dapat dilihat bahawa kemajuan manusia selalu berjalan seiringan dengan krisis-krisis yang pernah menimpa dunia ini.
Hal yang sama barangkali dapat dikatakan untuk krisis COVID-19 yang melanda dunia mutakhir ini. Selain menguatkan semangat nasionalisme dan kemahuan masyarakat untuk mengasingkan diri, pandemik ini juga boleh mencetuskan satu gelombang kerjasama antarabangsa dalam skala yang besar seperti yang pernah terjadi selepas Perang Dunia ke-2.
Sejak 5 dekad yang lepas, kadar kesaling hubungan yang kian meningkat telah mendedahkan dunia kepada kadar pertukaran barang, servis, mata wang, idea, data dan sumber manusia yang pesat merentasi sempadan antara negara.
Skala kesaling hubungan yang mencangkupi pelbagai aspek ini akhirnya telah menjadikan masyarakat dunia saling bergantung antara satu sama lain. Malangnya kadar kebergantungan yang tinggi ini juga telah membuatkan sistem-sistem yang bergantung padanya rapuh.
Hal ini disebabkan oleh infrastruktur sosio-ekonomi sekarang bercirikan pemusatan aktiviti-aktiviti utama. Sebagai contoh, aktiviti-aktiviti kewangan secara umumnya tertumpu di Amerika Syarikat, manakala proses pengilangannya pula bertumpu di China.
Struktur begini dapat memaksimumkan kecekapan penghasilan produk dengan memanfaatkan skala pemprosesan yang besar dan juga penumpuan sektor-sektor industri. Misalnya, sektor pengilangan yang bertumpu di China dan dijalankan dalam skala yang besar akhirnya boleh mengurangkan kos dan masa yang diperlukan untuk penghasilan produk. Walaupun sistem ini berjaya mengeluarkan jutaan manusia daripada kemiskinan, ia juga telah membesarkan lagi jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat.
Dua trend politik yang berkemungkinan akan terbentuk kesan daripada pandemik ini
Trend pertama adalah pengurangan kadar perhubungan global dalam pelbagai sektor seperti sektor pelancongan, perniagaan, kewangan, digital, dan aliran data.
Hal ini kerana pengurangan kadar perhubungan telah terbukti berkesan dalam membendung ancaman COVID-19. Dan ini akhirnya mempengaruhi masyarakat untuk terus berbuat demikian atas persangkaan bahawa ia boleh memberikan mereka jaminan keselamatan di dalam situasi yang tidak terjamin di bawah sistem globalisasi.
Pengurangan kadar perhubungan yang dilaksanakan secara mengejut ini seterusnya akan memberikan impak yang tinggi dari segi ekonomi dan sosial kepada masyarakat dunia. Daripadanya juga akan timbul persoalan-persoalan berkenaan cabaran-cabaran dari segi etika dan kadar praktikalitinya.
Sesetengah pihak pula mungkin mengatakan bahawa inisiatif sebegini adalah tidak perlu. Namun begitu, mestilah difahami bahawa ia adalah sangat sukar untuk menjangka kadar penyebaran COVID-19 ini dan inisiatif yang agresif di peringkat awal perlu dilaksanakan. Hal ini seiring dengan apa yang Nassim Nicholas Taleb, seorang ahli Matematik dan pakar risiko, sampaikan.
Beliau menyatakan bahawa untuk sebuah krisis yang bercirikan Exponential growth seperti COVID-19, reaksi progresif daripada pihak berkuasa bukan sahaja digalakkan, malahan dimestikan kerana Exponential growth ini pada peringkat awalnya kelihatan seakan-akan pertumbuhan linear yang jauh kurang mudaratnya daripada Exponential growth.
Trend politik yang kedua yang mungkin terbentuk daripada krisis ini adalah desakan yang meningkat terhadap kerjasama global yang lebih besar.
Walaupun trend ini kelihatan berlawanan dengan peningkatan persepsi negatif terhadap globalisasi yang disebabkan oleh pandemik ini, trend ini sebenarnya boleh terwujud secara serentak dengan trend pertama tadi dan kedua-duanya pula saling melengkapi sesama mereka.
Tetapi situasi ini hanya boleh terjadi hanya setelah perubahan yang tertentu dilakukan. Hal ini boleh dilihat, sebagai contoh, dalam usaha pembendungan dan pencegahan pandemik. Usaha sebegini jelasnya memberikan manfaat sejagat yang merentasi sempadan negara. Kerana skopnya yang besar, usaha pembendungan dan pencegahan ini sudah tentunya memerlukan koordinasi kerjasama global yang tinggi.
Namun begitu, apabila dalam keadaan terdesak, mekanisme pemisahan kerjasama ini pula mestilah tersedia untuk diaktifkan. Mekanisme yang diaktifkan secara sementara ini pula mestilah tersusun dan mudah suai untuk meminimakan kesan buruknya.
Di peringkat awal, misalnya, satu suis pemisah yang boleh mengasingkan risiko-risiko sistemik dan mencegah penyebarannya boleh diperkenalkan. Namun begitu, untuk memastikan keberkesanan yang maksimal, mekanisme ini bukan sahaja perlu mudah difahami dan telus, tetapi juga perlu dirancang dari awal dan diterapkan dalam satu pentadbiran global.
Pentadbiran global ini pula akan sentiasa memantau dan mengemaskini mekanisme ini. Sebagai contoh, dalam sektor perdagangan dan pelancongan, pentadbiran-pentadbiran di setiap negara boleh bersama-sama memperkenalkan satu protokol yang mengehadkan perdagangan dan pelancongan secara sementara sekiranya terjadinya ancaman yang berpotensi menjadi pandemik. Protokol ini pula mestilah disokong oleh sistem amaran awal yang telah dipersetujui bersama oleh mereka.
Selain itu, komuniti antarabangsa mungkin mahu mengimplementasi kelewahan-kelewahan tertentu di dalam sistem-sistem yang kompleks seperti sistem kewangan, pembekalan makanan dan kesihatan awam. Kelewahan-kelewahan ini, walaupun akhirnya mengurangkan kecekapan dan meninggikan kos, ia dapat mengelakkan hab-hab pusat menjadi titik pemusnah yang seterusnya merebak dan meruntuhkan seluruh sistem.
Konklusinya, masyarakat dunia perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi risiko-risiko besar yang tidak terjangka seperti perubahan iklim, kepintaran buatan yang hilang kawalan, keganasan bio dan pandemik-pandemik.
Persiapan sebegini pastinya memerlukan sebuah inisiatif drastik yang bakal merubah sejarah dan biasanya akan membuka ruang untuk perubahan politik yang radikal. Selain itu, ketakutan dan kerisauan yang dirasai oleh masyarakat dunia sekarang yang disebabkan oleh pandemik ini juga mungkin boleh mendorong usaha-usaha untuk menambahbaik model globalisasi yang sedia ada ini.
*Hasif Zainal adalah kolumnis Fokus dan merupakan pelajar kejuruteraan Mekanikal semester 6 di University of Applied Science Bremen, Jerman.