500 Negara Vs PBB: Suatu Penilaian Undang-Undang

Beberapa hari yang lepas masyarakat Malaysia sibuk memperkatakan tentang 500 negara Adham Baba.Aku tertarik untuk berkongsi bagaimana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bukanlah diwakili oleh 500 buah negara tetapi 193 ini berfungsi dengan khusus.

Kewujudan PBB ini hakikatnya adalah untuk menggantikan Liga Bangsa yang gagal berfungsi untuk mengawal keamanan dunia seperti yang dijanjikan dan ianya secara rasmi telah ditubuhkan pada 24 Oktober 1945 di San Francisco. Dalam struktur organisasi PBB, ada 6 badan yang yang diwujudkan bagi memastikan PBB ini terus berfungsi dengan baik.

Badan-badan itu ialah Perhimpunan Agung (GA), Majlis Keselamatan, Majlis Ekonomi dan Sosial, Majlis Peramanahan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ) dan Sekretariat. Dalam penulisan ini, aku hanya ingin memfokuskan tentang dua badan sahaja iaitu GA dan ICJ.

Perhimpunan Agung atau dalam bahasa Inggerisnya “General Assembly” merupakan suatu persidangan antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun dan ia mengumpulkan 193 ahli daripada 193 negara.

In surprise change, 13 countries vote against pro-Palestine UN ...

Persidangan ini dibentuk untuk membincangkan isu-isu antarabangsa tidak kira dari segi ekonomi, keamanan mahupun undang-undang. Mengikut tatacara formal, resolusi bagi setiap perbincangan akan diraih melalui undian kerana setiap ahli mempunyai kuasa satu undi.

Walaubagaimanapun, kebelakangan ini, negara-negara ahli lebih gemar menyatakan persetujuan untuk mencapai keputusan berbanding menggunakan sistem undian. Antara fungsi yang dijalankan oleh GA ini adalah melantik ahli bukan tetap Majlis Keselamatan, memberikan cadangan penyelesaian terhadap konflik antara negara dan melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan kemajuan negara-negara ahli.

Dari sudut undang-undang, setiap resolusi yang dipersetujui tidaklah mengikat negara-negara tersebut untuk melaksanakannya. Akan tetapi, ianya hanyalah dalam bentuk ‘recommendation‘ atau ‘persuasive‘. Pun begitu, walaupun ianya tidak dalam bentuk ‘obligation‘, ianya menjadi satu simbol komited negara-negara dunia.

Contohnya, pada September 2015, negara-negara ahli telah bersetuju untuk melancarkan 17 Sustainable Development Goals (SDG) bagi menyelesaikan masalah-masalah global seperti kemiskinan, kelaparan, pendidikan dan pencemaran alam sekitar. Negara Malaysia adalah salah satu negara yang bersetuju atas resolusi tersebut.

Hasilnya, kita dapat lihat pengaplikasian 17 SDG ini di universiti awam seperti UIAM. Di UIAM, setiap program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan mestilah menepati elemen-elemen 17 SDG. Ini adalah sedikit ringkasan tentang Perhimpunan Agung PBB.

The UN's 17 Sustainable Development Goals: What do they mean for ...
17 Sustainable Development Goals (SDG)

Seterusnya, dalam dunia yang semua negara ada kepentingan masing-masing, pertembungan ‘conflict of interest’ ini tidak dapat dielakkan. Maka, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) merupakan saluran atau platform yang digunakan untuk sesuatu penyelesaian.

Secara umumnya, fungsi ICJ ini adalah untuk menyelesaikan konflik antara negara dan memberikan pandangan dari sudut undang undang kepada PBB.

Sesebuah kes atau perbicaraan boleh dibawa ke ICJ melalui beberapa cara. Pertama, kesemua pihak yang berkonflik perlu bersetuju untuk membawa kes itu ke ICJ. Andai ada satu pihak yang tidak bersetuju untuk kes itu dibicarakan, maka kes tersebut tidak boleh dibawa ke ICJ.

Selepas semua pihak bersetuju ianya akan disusuli dengan kemasukan pihak-pihak yang berkonflik tersebut ke dalam sebuah perjanjian.

Contoh kes konflik antara negara yang telah dibawa ke ICJ adalah kes ‘sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, Middle Rocks and South Ledge (Malaysia/Singapore)‘ atau lebih mudah dikenali sebagai kes Pulau Batu Puteh. Pihak yang terlibat dalam kes ini adalah kerajaan Singapura dan Malaysia.

Konfliknya mula berlaku apabila pada tahun 1979, kerajaan Malaysia ingin membuat peta baharu Malaysia dengan memasukkan kawasan Pulau Batu Puteh ke dalam peta Malaysia. Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa lanjutan daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 17 Mac dan Perjanjian Crawfurd 2 Ogos 1824, Kesultanan Johor telah memberikan kepada British, Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya. Penyerahan ini tidak termasuk kawasan Pulau Batu Puteh.

Walaubagaimanapun, kerajaan Singapura menyatakan bahawa mereka telah melaksanakan berbagai perkara di Pulau Batu Puteh sebelum tahun 1980 dan kerajaan Malaysia tidak pernah memberikan apa-apa reaksi atau tindakan undang-undang.

Akhirnya, ICJ telah menetapkan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah hak milik Singapura dan Middle Rocks hak milik Malaysia. Pada tahun 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan tuntutan untuk ‘revise‘ semula keputusan ICJ pada tahun 2008.

Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu | Astro Awani
Pulau Batu Putih

Walaubagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, negara Malaysia telah bersetuju untuk tidak meneruskan perbicaraan atas alasan yang tidak diketahui.

Pun begitu, pada 2 Julai 2019, bekas Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, menyatakan bahawa kerajaaan Malaysia akan terus komited untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada ICJ mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh. Seterusnya, sesebuah kes itu juga boleh dibawa ke ICJ andai sesuatu negara itu telah melanggar perjanjian antarabangsa yang telah mereka ratifikasi.

Contohnya, pada 11 November 2019, negara Gambia yang mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara telah memfailkan tuduhan genosid ke atas negara Myanmar yang membunuh kaum Rohingya.

Perkara ini sah dari segi undang-undang kerana kedua-dua negara Gambia dan Myanmar merupakan negara yang meratifikasi Konvensyen Genosid 1948. Perjanjian ini melarang negara-negara yang menandatangani untuk melakukan genosid ke atas rakyat malah mewajibkan negara-negara ahli menghalang genosid yang berlaku. Ini adalah sedikit ringkasan bagaimana ICJ berfungsi dalam meleraikan konflik antara negara.

Selain ICJ, kita juga mempunyai satu lagi mahkamah antarabangsa, iaitu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Mahkamah ini diwujudkan berdasarkan satu perjanjian antarabangsa, iaitu Statut Rom.

Berdasarkan Statut Rom, ada 4 jenayah yang memungkinkan sesebuah negara yang meratifikasi perjanjian ini untuk didakwa. Pertama, jenayah genosid iaitu pembunuhan manusia secara beramai-ramai. Kedua, jenayah yang mengancam manusia seperti pembunuhan, pemenjaraaan, perhambaan dan diskriminasi. Ketiga ialah jenayah perang dan keempat ialah jenayah pencerobohan yang melanggar kedaulatan sesebuah negara. Secara ringkasnya, mana-mana negara yang meratifikasi Statut Rom boleh untuk didakwa di ICC andai mereka melakukan mana-mana jenayah yang dinyatakan selepas 1 Julai 2002.

Misalnya, negara Republik Afrika Tengah telah didakwa oleh ICC pada tahun 2007 atas tuduhan jenayah perang dan jenayah yang mengancam kemanusiaan sekitar tahun 2002 dan 2003. Ratusan rakyat telah dibunuh dan wanita telah dirogol di tempat awam pada ketika itu. Disebabkan negara Republik Afrika Tengah merupakan ahli negara dalam Statut Rom, tindakan undang-undang telah diambil oleh ICC ke atas mereka. Pada tahun 2019, Malaysia dihangatkan tentang penarikan diri ke dalam perjanjian Statut Rom.

Malaysiakini - Statut Rom, ICC: Perkara yang patut diketahui
Bendera statut rom

Menerusi kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, Malaysia menarik diri atas sebab kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan. Hal ini kerana ada sesetengah pihak berpendapat bahawa tindakan meratifikasi Statut Rom akan memungkinkan Yang Dipertuan Agong (YDPA) untuk didakwa di ICC kerana beliau merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan berdasarkan Artikel 41 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini adalah kurang tepat kerana Artikel 41 ini perlu dibaca sekali dengan Artikel 40 yang menyatakan bahawa segala tindakan YDPA adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Dalam erti kata yang mudah, sekiranya negara Malaysia akan didakwa sekalipun, yang bertanggungjawab adalah Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Sebagai contoh, di negara yang mempunyai sistem beraja seperti Britain, raja mereka tidak dipertanggungjawabkan atas tindakan negara. Buktinya, apabila United Kingdom turut bersama dengan Amerika Syarikat melakukan jenayah perang ke atas Iraq pada tahun 2003, yang didakwa di ICC adalah Tony Blair iaitu Perdana Menteri UK ketika itu bukannya Ratu Elizabeth.

Maka, ini adalah sedikit gambaran bagaimana ICC menjalankan peranannya bagi menghalang sebarang bentuk kezaliman.

Secara ringkasnya, ini adalah sedikit kupasan bagaimana PBB berfungsi melalui Perhimpunan Agung (GA) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tahun ini sudah 2020, sudah berpuluh tahun PBB diwujudkan, adakah objektif dan matlamatnya dapat dicapai atau ianya hanyalah satu biduk untuk menjustifikasikan kekuasaan negara-negara kuasa veto.

Rujukan:

  1. United Nations.(n.d.) .Retrieved April 20, 2020, from https://www.un.org/…/sectio…/about-un/main-organs/index.html
  2. A/RES/60/1 – E – A/RES/60/1. (n.d.). Retrieved April 20, 2020, from https://undocs.org/en/A/RES/60/1
  3. D. (2020, January 24). About the Sustainable Development Goals. Retrieved April 20, 2020, from https://www.un.org/sustainab…/sustainable-development-goals/
  4. How the Court Works | International Court of Justice. (n.d.). Retrieved April 20, 2020, from https://www.icj-cij.org/en/how-the-court-works
  5. How the Court works. (n.d.). Retrieved April 20, 2020, from https://www.icc-cpi.int/about/how-the-court-works
  6. Ba, O. (2020, January 29). – The. Retrieved April 20, 2020, from https://www.washingtonpost.com/gdpr-consent/…
  7. Latest developments | Sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, Middle Rocks and South Ledge (Malaysia/Singapore) | International Court of Justice. (n.d.). Retrieved April 20, 2020, from https://www.icj-cij.org/en/case/130

*Abu Dzar bin Mohd Annuar merupakan pelajar tahun 1 kuliah undang-undang UIAM

*Tulisan ini mula dipaparkan di facebook rasmi Pembina UIAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kesan Covid-19 kepada Kerjasama Antarabangsa Dunia

Next Post

Vietnam Kecam Penubuhan Daerah Baru oleh China

Related Posts
Skip to content