Rangkuman Isu Strategik Utama Malaysia Sepanjang Tahun 2019
Malaysia, retak menanti belah?
Tahun 2019 menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku dalam dan luar negara. Berdasarkan perkembangan isu-isu strategik merentas bidang sepanjang tahun ini, terdapat beberapa isu utama yang perlu diberikan perhatian.
Isu-isu yang berlaku menunjukkan kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan dalam mengekang ancaman sedia ada dan ancaman yang mendatang. Kelemahan ini dieksploitasi oleh anasir ancaman dari dalam dan luar negara untuk mencipta keadaan huru-hara di dalam negara. Kompilasi edisi khas 2019 ini adalah rangkuman isu-isu terpilih sepanjang tahun 2019 untuk melihat sejauh mana kebenaran dakwaan itu, dan ke mana “suasana huru-hara” tersebut akan membawa Malaysia akhirnya?
Terdapat arus yang menekan kerajaan untuk tidak dapat mengawal kestabilan dalam menghadapi suasana huru-hara ini. Kuasa kerajaan dilihat semakin dihadkan dalam segenap bidang merangkumi politik, ekonomi, pendidikan, sosial, keselamatan. Dalam bidang politik, terdapat beberapa usaha untuk menukar struktur pemerintahan negara daripada sistem demokrasi Raja Berperlembagaan kepada sistem Republik. Hal ini boleh dilihat melalui beberapa tindakan kerajaan dalam isu Perjanjian Antarabangsa ICERD. Terdapat juga usaha seperti desentralisasi kuasa berupa hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri dan reformasi institusi untuk mengurangkan kuasa pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Terdapat arus yang menekan kerajaan untuk tidak dapat mengawal kestabilan dalam menghadapi suasana huru-hara ini. Kuasa kerajaan dilihat semakin dihadkan dalam segenap bidang merangkumi politik, ekonomi, pendidikan, sosial, keselamatan.
Selain itu, dalam bidang keselamatan, terdapat usaha dalaman dan luaran untuk mencipta keadaan huru-hara di dalam negara. Di peringkat serantau Malaysia berhadapan dengan ancaman perang di Laut China Selatan serta perang risikan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub risikan di rantau ini, sementara di peringkat dalaman Malaysia berhadapan dengan ancaman keganasan oleh sel-sel militia seperti ISIS, LTTE, KOMUNIS, serta puak-puak pemisah. Dalam bidang ekonomi pula, polisi-polisi yang digubal dilihat menguntungkan golongan kapitalis serta kroni-kroni kerajaan Pakatan Harapan. Terdapat juga usaha untuk meruntuhkan paksi-paksi kuasa ekonomi Melayu dengan memindahkan kekayaan ke tangan orang bukan Melayu dan pihak asing.
Situasi ketidakstabilan ini mencipta ruang dan peluang untuk dimaksimumkan semampu yang mungkin oleh anasir luar dan dalam untuk merombak “status quo” negara sedia ada.
Namun, terdapat persoalan yang lebih mendasar berdasarkan situasi-situasi yang berlaku. Walaupun dengan pelbagai isu yang berlaku saban hari, namun kerajaan masih lagi dalam keadaan tidak bersiap siaga, seolah-olah membiarkan isu-isu ini berlalu pergi. Mengapakah hal ini berlaku? Adakah ini adalah satu bentuk “huru-hara” yang disengajakan?
Adakah negara ini semakin retak menanti belah? Kompilasi Kompas 2019 ini akan menghuraikan secara terperinci isu-isu yang berlaku sepanjang tahun ini.