Maritime Silk Road: Strategi ketenteraan terbaru China?

 

inline_9e65ccb6-3d0_768786a

Adakah Xi Jinping mengakui bahawa Maritime Silk Road (Laluan Sutera Maritim) sebenarnya mempunyai dimensi ketenteraan yang kuat?

Ini seolah-olah dibuktikan apabila satu deklarasi bersama yang dibuat dengan Presiden Djibouti, Ismail Omar Guelleh (IOG) semasa Forum Kerjasama China Afrika (FOCAC) di Johannesburg. Menurut Xinhua, Xi yang sentiasa dikawal rapi mengalu-alukan “Penyertaan Djibouti dalam membangunkan Beijing – cadangan untuk abad ke-21 Maritime Silk Road dengan cara yang betul”

Ini adalah rentetan daripada berita minggu lalu pada 26 November 2015 di mana China telah memilih Djibouti sebagai lokasi pengkalan tentera pertamanya. China telah menandatangani perjanjian dengan IOG selama 10 tahun yang merangkumi penubuhan pengkalan tentera laut yang akan berkhidmat sebagai hub logistik bagi kapal-kapal People’s Liberation Army-Navy (PLA-N) yang terlibat dengan operasi anti-lanun di luar pantai Yaman. Menurut laporan awal media, pengkalan ini bernilai $100 juta setahun dan akan berpengkalan di daerah utara Obock di mana kawasan kem ketenteraan kecil Amerika ditempatkan sebelum mereka diusir pada awal bulan Ogos.

Akan tetapi, kenapa China memilih Djibouti sebagai pengkalan ketenteraan pertamanya? Terdapat beberapa pertimbangan yang diambil kira; Pertama, Djibouti dianggap sebuah negara yang agak stabil (tanpa mengambil kira isu tindakan keras Guelleh membanteras sebarang aspirasi yang menyerupai demokrasi barat) dan kedudukannya yang strategik bersebelahan dengan laluan perdagangan yang menghubungkan Terusan Suez dengan Lautan India. Tambahan lagi, jika bermula dari Djibouti, kapal peronda maritim China jenis Shaanxi Y-8 mampu berlayar meliputi sebahagian besar semenanjung Arab, utara dan tengah Afrika tanpa perlu mengisi minyak semula.

Kedua, seperti yang diperkatakan oleh Andrew Erickson, pelabuhan Djibouti mempunyai kemampuan untuk menampung kapal-kapal besar termasuk kapal pengangkutan pesawat dan kapal perang terbesar jenis 071 LPD milik China. Ketiga, menempatkan satu kubu yang strategik di Djibouti yang kedudukannya terletak tidak jauh daripada kubu senjata mortar milik AS di benua Afrika (digunakan ketika melancarkan serangan dron ke atas sasaran Al-Shabaab dan Al-Qaeda). Dan akhir sekali, adalah berikutan kembalinya Djibouti sebagai sekutu kuat China beberapa bulan yang lepas.

Malah, ianya kelihatan mustahil beberapa tahun lepas untuk Djibouti terlibat dengan agenda keselamatan bersama China kerana sejak menjadi presiden pada 1999, Guelleh menerima banyak bantuan daripada AS dan Perancis untuk melancarkan pemerintahan Kleptocratik beliau. Walaubagaimanpun, selepas wujudnya beberapa faktor seperti kritikan di kongres berkaitan penyalahgunaan hak asasi manusia, tentangan daripada musuh-musuh politik dan niat untuk bertanding sebagai presiden untuk penggal keempat menyebabkan Guelleh beralih arah dan berpaksi ke China. Ini mencetuskan kebimbangan  di kalangan diplomat AS.

Telegraph telah memetik kata-kata seorang pegawai kanan AS yang berbunyi “ Terdapat kebimbangan bahawa jika Presiden Guelleh menjalinkan hubungan rapat dengan China berkemungkinan beliau akan terdorong untuk mengenakan sekatan ke atas akses AS dengan pengkalan di mana akan menjejaskan percubaan Barat untuk mengumpul maklumat risikan mengenai Islamic State (ISIS) dan al-Qaeda”. Dan, ianya menjadi kenyataan selepas empat bulan, menurut sumber rasmi yang tidak diketahui.

chinaEE

String of pearls? (Rentetan Mutiara)

Ia telah menjadi topik perdebatan yang hangat di kalangan Sinologists dan penganalisis politik sama ada perancangan “One Belt, One Road” (OBOR) yang bernilai $140 bilion ini sebenarnya adalah satu agenda ketenteraan tersembunyi Beijing. Matlamat akhir adalah untuk menyediakan akses kepada PLA-N ke beberapa siri pelabuhan yang bermula dari Laut China Selatan hingga ke Pantai Timur Afrika. Ini juga dikenali sebagai model “String of Pearls” (Rentetan Mutiara), di mana termanya tidak dapat dijangka dan mempunyai unsur ancaman seperti dinyatakan oleh kontraktor pertahanan, Booz Allen Hamilton dalam kajiannya pada tahun 2005.

Walaupun masih lagi dalam pertikaian, terdapat beberapa pelabuhan lain yang terlibat dalam String of Pearls ini seperti pelabuhan Colombo di Sri Lanka, Gwadar di Pakistan, Chittagong di Bangladesh, Pulau Maday di Myanmar dan Pelabuhan Victoria di Seychelles. China masih lagi belum membuat sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara ini dan cenderung untuk merahsiakannya dan menegaskan bahawa semua pelabuhan adalah bermotifkan ekonomi dan sebahagian daripada Maritime Silk Road. Akan tetapi, dengan penglibatan Djibouti menimbulkan keraguan mengenai perancangan OBOR adalah berunsurkan perdagangan semata-mata.

Hatta berkenaan urusan jangka masa panjang di Afrika, Beijing terpaksa mengkaji semula strateginya mengenai prinsip tidak campur tangannya dalam hal ehwal negara lain dan mantranya untuk tidak mengekalkan pengkalan ketenteraan di luar negara. Dengan perdagangan dua hala dijangka bernilai $300 bilion tahun ini dan perlaburan besar lain dalam bahan-bahan mentah yang memerlukan tenaga kerja melebihi 2 juta pekerja China, Beijing dilihat kini tidak mampu untuk memastikan keselamatan perniagaannya di sana. Tambahan lagi, pelbagai rentetan rakyatnya diculik oleh Boko Haram di Cameroon, dibunuh di Mali, dijadikan tebusan di Sudan dan Mesir dan menjadi sasaran penganiayaan harian di Angola dan yang paling utama sekali, Beijing masih dihantui kejadian huru-hara di Libya yang memaksa PLA-N membawa keluar 35,800 rakyatnya yang berkerja di sana menggunakan kapal-kapal perlayaran dan kapal kargo.

Akan tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa Afrika adalah dasar inkubator China untuk perancangan masa depan globalnya. Awal tahun ini, Beijing telah menghantar kontinjen tentera tempur pertamanya ke selatan Sudan sebagai sebahagian daripada misi PBB dan juga berperanan sebagai orang tengah di antara kedua-dua pihak yang berperang. Oleh yang demikian, penempatan kem ketenteraan di Djibouti dilihat seperti menyokong semua teori yang sedang diperkatakan sekarang. Pengintegrasian kemudahan Obock dalam rangka Maritime Silk Road seolah-olah menghantar satu isyarat yang kuat menyatakan bahawa pelabuhan-pelabuhan ketenteraan milik China boleh berlaku di mana-mana dan ini menimbulkan kebimbangan bagi AS dan sekutunya.

 

Diterjemah oleh: Dian Abdul Ghani

Sumber: TheDiplomat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Penyelesaian politik mampu tamatkan krisis Syria, kata Raja Salman

Next Post

50 orang mati dalam serangan terbaru Rusia di Damsyik

Related Posts
Skip to content