Melayu merempat di medan jihad?

Jihad Melayu Menentang Penjajah

Menyusuri era penjajahan, seperti yang kita maklum, sudah banyak siri-siri penentangan pahlawan Melayu tempatan terhadap penjajah. Walaupun mereka dilihat mempunyai sebab dan faktor penentangan yang berbeza, tetapi jika dihayati, semua pejuang-pejuang sebenar Melayu pada hakikatnya beriman dengan falsafah jihad yang sama iaitu jihad mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu.

Seperti di Perak, apabila J.W.W. Birch dilantik sebagai residen pada 4 November 1874 dan berlaku campur tangan terhadap institusi kesultanan, pungutan cukai dan kehakiman, pejuang tempatan seperti Dato’ Maharaja Lela, Pandak Lam, Sultan Ismail dan Dato’ Sagor mula bangkit dan menyemarakkan semangat jihad orang Melayu.

Image result for jww birch
Residen pertama British di Perak, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Sumber : orangperak.com

Begitu juga yang berlaku di Negeri Sembilan, Yamtuan Antah berjihad untuk membela ketuanan Melayu di Terachi pada 1875. Bahkan pejuang-pejuang Melayu yang makruf seperti Dato’ Bahaman dari Pahang, Tok Janggut dari Kelantan, Dol Said dari Melaka dan ramai lagi mujahidin Melayu yang tersohor dalam lipatan sejarah.

Jihad Melayu Kini

Jika dinilai sejarah pahlawan tempatan, ya, kita tidak terdesak untuk menumpahkan darah. Namun, adakah bererti jihad Melayu sudah berhenti? Tidak, perjuangan Melayu tidak boleh dan tidak berhak dinoktahkan. Walaupun bentuk jihad itu jauh berbeza, tetapi Melayu masih berpegang kepada falsafah jihad yang sama; mempertahankan kedaulatan bangsa.

Jihad Melayu kini perlu berfokus untuk mengekalkan identiti bangsa Melayu. Jihad Melayu adalah untuk melindungi institusi beraja dan memelihara keluhuran perlembagaan. Malah, isu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan juga berada di bawah payung jihad Melayu.

Medan jihad Melayu berada di mana orang Melayu itu berada. Dalam erti kata lain, di mana ada orang Melayu, di situlah medan jihad Melayu. Dari semangat jihad inilah terbentuknya masyarakat berbudi yang lahir daripada identiti Melayu yang sebati dalam setiap individu.

Image result for naib canselor um dihina
Isu graduan biadab, Wong Yan Ke merupakan salah satu medan jihad orang Melayu untuk mempertahankan kesucian institusi pendidikan. Sumber : https://nthqibord.com/

Realiti Melayu

Sungguhpun demikian, orang Melayu hari ini bongkak dan selesa dengan kemerdekaan “gula-gula” yang ditawarkan oleh pihak British. Laungan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman seakan-akan menatijahkan bahawa jihad Melayu sudah berakhir.

Dalam isu ekonomi, sejak awal kemerdekaan lagi, hanya 9% daripada perniagaan yang didaftarkan adalah milik orang Melayu. Lebih menyedihkan apabila menjelang tahun 1970, dominasi Melayu dalam perniagaan berdaftar adalah kurang daripada 4%. Sedangkan, Melayu berada di medan Jihad yang sama, tetapi hanya merempat dan membenarkan aset miliknya dieksploitasi bangsa lain.

Jihad Melayu lebih membimbangkan dalam isu politik, pengundi-pengundi Melayu digula-gulakan dengan subsidi dan wang kerajaan. Orang Melayu melupakan falsafah jihadnya dan terus berputih mata dengan manifesto-manifesto “indah” daripada parti bukan Melayu.

Kesan nyata terlihat bermula dengan seruan liberalisasi hak kewarganegaraan yang mengurangkan peratusan kerusi parlimen orang Melayu kepada 56.8% berbanding 84.2% pada tahun 1957. Realiti semasa pula menyaksikan ahli-ahli politik bukan Melayu sudah menyandang jawatan-jawatan strategik dalam kementerian seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan pasca PRU 14.

Menteri bukan Melayu mendominasi posisi stratergik bidang eksekutif.

Namun, di manakah laungan dan semangat jihad orang Melayu?

Rumusan

Medan jihad Melayu sudah bingit dengan pelbagai bentuk senjata musuh, tetapi Melayu masih lena dan hanyut di medan jihad sendiri. Orang Melayu sudah hilang rasa ketuanan Melayu. Melayu rela berkongsi aset daripada mempertahankan identiti.

Walhal, ini Tanah Melayu, yang sewajarnya diperintah orang Melayu, hasil buminya dinikmati orang Melayu dan peradabannya berteraskan falsafah Melayu. Di manakah falsafah jihad Melayu? Masyarakat hari ini perlu berpegang kepada falsafah tersebut agar kita – orang Melayu, tidak merempat di medan jihad.

Disediakan Oleh:
Huzaifah Omar
Kolumnis Fokus

*Huzaifah Omar sedang menjalani latihan industri di Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS Institute)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pengurangan kuasa Raja oleh British sebelum kemerdekaan

Next Post

Aqidah sebagai dasar peradaban Islam

Related Posts
Skip to content