Mengapa Kelompok Elit Gemar Hantar Anak Ke Sekolah Antarabangsa?

Jumlah pelajar tempatan, khususnya golongan menengah atas, yang ‘meninggalkan’ kurikulum pendidikan kebangsaan dengan memilih sekolah antarabangsa meningkat setiap tahun, hingga melangkaui jumlah mereka dari luar negara.

Fenomena itu menimbulkan persoalan kerana konsep asal sekolah antarabangsa diwujudkan adalah untuk memenuhi keperluan pendidikan anak warga asing, ekspatriat dan diplomat luar yang bertugas di Malaysia.

Sejarah Sekolah Antarabangsa Inggeris

Sekolah antarabangsa Inggeris yang pertama ditubuhkan di Malaysia ialah Alice Smith School pada tahun 1946 oleh Alice Fairfield-Smith, yang  berkelulusan biologi dari Universiti Harvard dan merupakan seorang guru yang berpengalaman.

Sekolah antarabangsa Inggeris yang pertama ini diasaskan di rumahnya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur pada akhir Perang Dunia Kedua. Pada peringkat awal penubuhan, sekolah ini hanya mempunyai beberapa orang pelajar yang terdiri daripada anak golongan ekspatriat termasuk anak perempuannya sendiri iaitu Lindsey.

Walaupun pengasas sekolah ini meninggalkan Malaysia pada tahun 1950 setelah empat tahun sekolahnya beroperasi, Alice Smith School masih beroperasi sehingga hari ini dan dimiliki oleh Persatuan Sekolah Alice Smith (ASSA), sebuah yayasan pendidikan bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar di Malaysia.

Empat tahun penubuhan sekolah ini menyaksikan seramai 70 orang pelajar yang mendaftar dan 7 orang guru yang berkhidmat.

School Fees | Alice Smith School

Pada tahun 2014, Alice Smith School merupakan sekolah pertama di Asia yang mendapat pengiktirafan sepenuhnya sebagai British School Overseas (BSO) oleh Jabatan Pendidikan di London. 

Sekolah antarabangsa ditakrifkan sebagai sekolah yang mengaplikasikan kurikulum negara luar berdasarkan Gerbang Rasmi Kerajaan Malaysia (2017).

Berdasarkan panduan Kementerian Pendidikan Malaysia, kurikulum yang dibenarkan di Malaysia adalah Kurikulum British, Kurikulum Australia, Kurikulum Amerika, Kurikulum Kanada, dan juga International Baccalaureate.

Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar

Sekolah jenis ini kebiasaannya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar,menerima masuk pelajar warganegara dan bukan warganegara di setiap peringkat; sama ada peringkat prasekolah, sekolah rendah, dan juga peringkat sekolah menengah.

Pengimplementasian strategi rekrutmen ini dilihat menerusi beberapa aspek penting sekolah antarabangsa,pertama, penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kedua, penggunaan kurikulum antarabangsa yang berorientasikan Barat berbanding nilai lokal.

Tambahan pula, menurut sumber,  pendekatan pengajaran tempatan didapati kurang berkesan berbanding pendekatan pengajaran model Barat.

Situasi ini akhirnya mewujudkan orientasi budaya sekolah yang terasing daripada budaya Malaysia. 

Why choose an international school? | ST Joseph's Institution International  School In Petaling Jaya, Malaysia

Kebanyakan sekolah antarabangsa beroperasi di negara ini menawarkan sukatan pelajaran dan peperiksaan berbeza berbanding peperiksaan awam seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Hal ini dapat dilihat menerusi silibus mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah antarabangsa banyak berkisarkan tentang sejarah Eropah seperti empayar Austria-Hungary, Poland, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat (AS), British, Rusia dan Itali.

Tetapi, sejarah mengenai Asia Tenggara pula hanya membabitkan Singapura dan tidak ada langsung mengenai Tanah Melayu.

Begitu juga, kurikulum mata pelajaran seni yang berorientasikan International Baccalaureatte adalah sangat berbeza dengan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kurikulum Sekolah Antarabangsa Bermasalah?

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan, kurikulum sekolah antarabangsa tidak memberi penekanan untuk menyemai aspirasi nasional kepada pelajarnya.

Subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang wajib diajar di sekolah antarabangsa juga tidak cukup untuk membina jati diri anak Malaysia dalam kalangan pelajar tempatan yang mengikuti pengajian di institusi itu.

Situasi ini akan merencatkan usaha pemupukan perpaduan  nasional di Malaysia. 

Terkini, terdapat sebanyak 163 buah sekolah antarabangsa yang bertapak di Malaysia.

Menurut laporan daripada ISC Research’s Market Intelligence Report for Malaysia, jumlah sekolah antarabangsa Inggeris di negara ini telah meningkat 75 peratus sejak 2012, manakalapendaftaran pelajar telah meningkat sebanyak 87 peratus.

Kira-kira 50 peratus daripada semua pelajar sekolah antarabangsa di Malaysia sekarang adalah warganegara Malaysia.

Kajian bertajuk, “The Experiences Of Host Country Nationals In International Schools: A Case-study From Malaysia” menunjukkan majoriti pelajar warganegara di sekolah antarabangsa sekitar Kuala Lumpur adalah berbangsa Cina, diikuti Melayu dan India. 

Gambar Rajah 1: Peratus peningkatan sekolah antarabangsa & pendaftaran pelajar

Jadual 1: Jumlah pelajar dan sekolah antabangsa (Sumber: Berita Harian)

Antara sekolah antarabangsa di Malaysia termasuklah Marlborough College Malaysia, Shattuck St Mary’s School, The International School of Kuala Lumpur, Mont’ Kiara International school (M’KIS), yang dikategorikan sebagai sekolah antarabangsa termahal di Malaysia menurut sumber daripada Free Malaysia Today.

Sejarah penubuhan sekolah antarabangsa Marlborough College Malaysia (MCM) adalah berasal daripada penubuhan Marlborough College di United Kingdom itu sendiri pada tahun 1843 dan kini sekolah ini menawarkan kurikulum Bahasa Inggeris dengan pentauliahan IB. Tenaga pengajar pula terdiri daripada tenaga pengajar Britain.

Selain itu, Shattuck St Mary’s School (SSMS) yang terletak di Forest City,Johor pula, menggunakan kurikulum Amerika.

Tenaga pengajarnya  adalah dari Kanada, Filipina, UK, Australia, Jerman, Singapura dan Malaysia. Sekolah ini  mula beroperasi pada tahun 2018.

The International School of Kuala Lumpur juga menggunakan kurikulum Amerika dan International Baccalaureate manakala Mont’ Kiara International School (M’KIS) pula mengimplementasikan kurikulum  Amerika Utara.

Populasi pelajarnya adalah daripada 55 buah negara. 

Di Sarawak, terdapat Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSSIS) yang juga menggunakan silibus antarabangsa.

Para pelajarnya yang cemerlang dan mahu melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya akan dihantar ke Universiti Cambridge, London School of Economics, Universiti Stanford dan Universiti Oxford  di bawah program biasiswa Yayasan Sarawak. 

Tiga kementerian bekerjasama pastikan Malaysia proaktif dapatkan vaksin  COVID-19 | Utusan Borneo Online

Antara alumni-alumni sekolah antarabangsa yang memegang posisi penting dalam pentadbiran negara ialah YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang mendapat pendidikan menengahnya di sekolah antarabangsa di Singapura iaitu United World College of South East Asia sebelum menyambung pengajian tinggi ke University of Oxford, dan University College London.

Selain itu, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pula, Menteri Luar Negeri pernah mendapat pendidikan menengahnya di sekolah antarabangsa Alice Smith School sebelum melanjutkan pelajaran ke Cheltenham College dan University of Wales dalam jurusan undang-undang dan London School of Economics dalam jurusan ekonomi.

Jho Low - Alchetron, The Free Social Encyclopedia

Jho Low, seorang ahli perniagaan di Malaysia juga merupakan lepasan sekolah antarabangsa iaitu di International School of Penang (Uplands) sebelum dihantar ke Harrow School di London. 

Kesimpulannya, institusi pendidikan antarabangsa yang mengikut sepenuhnya kurikulum Barat merupakan salah satu strategi dalam rekrutmen Elit Global bagi memastikan kesinambungan cara pandang kehidupan dan pemikiran mengikut kerangka yang dimahukan oleh Orde Baru Dunia.

Setiap aspek pembudayaan sekolah akan meninggalkan kesan ke atas pembentukan karakter pelajar dan etos ini dibina melalui interaksi antara silang budaya antara guru, pelajar, ibu bapa, komuniti dan sekolah melalui struktur dan proses organisasi yang membentuk iklim dan budaya sekolah.

Melihatkan kepada falsafah kurikulum sekolah antarabangsa yang ada pada hari ini, sememangnya merencatkan usaha pembentukan identiti nasional bahkan membentuk jiwa dan pemikiran dalam kerangka Anglophile.

Acuan Anglophile inilah yang menjawat jawatan tinggi serta mendapat posisi strategik dalam negara dan kesannya masyarakat berpendidikan Melayu terus disisihkan daripada arus kemajuan negara. 

Disediakan oleh: Nur Irdina Hakimah binti NorAzali

Rujukan 

  1. 10 Ahli Politik Malaysia Yang Berkelulusan Universiti Terkemuka Luar Negara (Bahagian 1). (2018, March 24). iluminasi. https://iluminasi.com/bm/10-ahli-politik-malaysia-yang-berkelulusan-universiti-terkemuka-luar-negara.html 
  2. About us. (n.d.). UWCSEA | International school in Singapore. https://www.uwcsea.edu.sg/about  
  3. Bailey, L. (2015). The experiences of host country nationals in international schools: A case-study from Malaysia. Journal of Research in International Education, 14(2), 85-97. https://doi.org/10.1177/1475240915590557
  4. History & founder. (n.d.). International school in Kuala Lumpur | Alice Smith School. https://www.alice-smith.edu.my/discover/history-and-founder
  5. (2019, November 18). Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/629764/sekolah-antarabangsa-jadi-pilihan
  6. Magazine, R. (2019, October 19). Education and international schools in Malaysia. Corporate Relocation, Global Mobility News & Support, Relocate Magazine | Relocate magazine. https://www.relocatemagazine.com/articles/education-schools-education-and-international-schools-in-malaysia-apac1
  7. (2020, August 18). Marlborough College Malaysia.  https://www.marlboroughcollegemalaysia.org/
  8. Nurul Fitriah Patlillah, Ridzuan Hussin. (2019). The Necessity of Implementing Local Cultural Identities in Subjects at International Schools in Klang Valley. KUPAS SENI Jurnal Seni dan Pendidikan Seni, 7, 64-71.
  9. Pembangunan sekolah menengah antarabangsa usaha Sarawak lahir modal insan cemerlang, berdaya saing. (2020, September 22). Utusan Borneo Online | Citra Generasi Prihatin. https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/22/pembangunan-sekolah-menengah-antarabangsa-usaha-sarawak-lahir-modal-insan-cemerlang
  10. School Advisor. (2020, February 20). The most expensive international schools in Malaysia. Free Malaysia Today (FMT). https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2020/02/20/the-most-expensive-international-schools-in-malaysia/
  11. Sejarah Rekrutmen Elit Global di Malaysia (3). (2021). Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS) Institute Berhad. https://iris.institute/2021/04/18/sejarah-rekrutmen-elit-global-di-malaysia/
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Asia Tenggara Berhadapan Risiko Balkanisasi

Next Post

Singapura tambak kawasan Pulau Batu Putih seluas 10 padang bola

Related Posts
Skip to content