Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu adalah sebuah organisasi antarabangsa yang ditubuhkan seusai Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1945. Ia memainkan peranan penting dalam memupuk keamanan dunia, khususnya dalam menyelesaikan konflik yang boleh mengganggu kesejahteraan sesebuah negara yang lain. PBB mempunyai pelbagai badan yang melaksanakan tanggungjawab dari aspek ekonomi, kemanusiaan dan juga keselamatan dunia.
PBB tidak berdiri dengan sendiri, sebaliknya pelaksanaan tindakan mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan persetujuan ahli. Dari sudut pandangan liberal, PBB telah membantu mencapai agenda keamanan dunia dengan menekankan pendekatan diplomasi berbanding perang (Boehmer, Gartzke, Nordstorm, 2004:1).
Walau bagaimanapun, artikel ini akan menjelaskan mengapa PBB kurang efektif dari sudut realis.
Realis adalah satu teori yang menjelaskan hubungan antara negara dalam keadaan yang sebenarnya, yang mana setiap negara akan memikirkan kepentingan mereka sendiri dan meletakkan dunia sebagai prioriti kedua. Realis percaya bahawa kuasa sesebuah negara itu sangat penting dalam memastikan survival mereka pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, jika perkara yang mereka ingini memerlukan mereka untuk berperang, maka mereka akan bertindak sedemikian.
Realis melihat PBB bukanlah sebagai satu entiti yang boleh memberi kesan kepada dunia politik, tetapi lebih kepada memberi gambaran permainan politik yang sebenarnya (Boehmer, Gartzke, Nordstorm, 2004:1). Kritikan paling tertumpu kepada Majlis Keselamatan PBB, yang dikatakan kurang efektif dalam melaksanakan tanggungjawabnya kerana penggunaan kuasa veto dan hanyalah dijadikan satu alat oleh kuasa-kuasa besar untuk mengekalkan kepentingan mereka.
Menurut realis, perhubungan antara negara adalah mengikut sistem anarki, dan mementingkan perebutan kuasa berbanding kerjasama. Segala keputusan yang diambil adalah demi memelihara kepentingan sendiri dan tiada kuasa yang dapat menghalang negara tersebut. PBB melaksanakan sistem pengundian dalam proses membuat keputusan, yang mendahulukan kuasa veto berbanding suara majoriti. Kuasa veto ini diberikan kepada kuasa-kuasa besar, iaitu Perancis, China, US, UK dan Rusia kerana kemenangan mereka dalam Perang Dunia Kedua.
Hal ini bermakna negara-negara ini mempunyai kelebihan untuk menggugurkan keputusan yang telah dibuat dengan hanya satu undian. Sistem veto ini juga memastikan segala tindakan yang akan diambil oleh PBB mendapat kelulusan mereka terlebih dahulu. Hal ini menyukarkan PBB untuk bertindak dalam sesetengah isu yang melibatkan kepentingan lima buah negara tersebut.
Seperti contoh, sejak 1982 sehingga 2006, US telah menggunakan 33 kuasa veto untuk melindungi Israel daripada dikenakan tindakan oleh Majlis Keselamatan PBB (Mearshimer, Walt, 2006: 31). Disebabkan itu, setakat ini tiada tindakan dikenakan terhadap Israel kerana pencerobohan mereka ke atas Palestin. Ziabari juga melihat ketidakadilan ini dan berpandangan bahawa,
“UNSC needs a drastic reformation. The veto power should be dissolved as soon as possible. There should be a permanent seat for the representative of the Islamic world with more than 1.5 billon population.” (Ziabari, 2011)
Hal ini membuktikan bahawa implementasi veto dalam pelaksanaan tindakan PBB telah mengurangkan keberkesanan PBB dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Selain itu, menurut pandangan realis, PBB dan perbadanan antarabangsa hanyalah merupakan satu alat bagi negara berkuasa besar untuk menggunakan pengaruh mereka dengan lebih efektif. Ini bermakna jika PBB mengambil langkah yang mengancam pengaruh mereka, negara berkuasa besar ini akan mengelak daripada menyertainya.
Seperti contoh, Bush telah menarik kembali perjanjian Rome Statute, dan kerajaan di bawah Obama sendiri tidak menyertai ICC (International Criminal Court). Penolakan US untuk menyertai ICC menunjukkan ketakutan mereka terhadap pendakwaan bebas, prosedur yang tidak mengikut US Constitutional Rights, kurangnya perbicaraan oleh juri serta definisi jenayah dalam bidang kuasa ICC itu sendiri terlalu samar.
Bukan US sahaja, malah China, India, Israel dan Rusia turut sama menolak ICC. Tambahan lagi, pada tahun 2002, Kongress telah meluluskan the American Service- Members’ Protection Act yang membolehkan pengunaan military force untuk membebaskan askar US yang ditahan oleh ICC. Pendakwaan juga tidak boleh dikenakan ke atas askar dan penjawat rasmi US melainkan dengan kelulusan panel khusus dan siasatan oleh US sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa kuasa besar akan mencari jalan untuk tidak menjejaskan kepentingan mereka dalam perhubungan antarabangsa itu sendiri.
Secara konklusi, dari perspektif realis, PBB kurang efektif dalam melaksanakan tanggungjawabnya kerana penggunaan kuasa veto dan hanyalah dijadikan satu alat oleh kuasa-kuasa besar. Penggunaan kuasa veto ini boleh disalahgunakan oleh kuasa besar dalam menjaga kepentingan mereka, dan negara berkuasa besar ini akan mengelak daripada tindakan yang mampu mengurangkan kuasa mereka ke atas dunia.
Oleh:
Khairiah Khalid
Hubungan Antarabangsa
University of Queensland, Australia
Rujukan
Boehmer, C., Gartzke, E., & Nordstrom, T. (2004). Does Intergovernmental Organizations Promote Peace. World Politics, 57(1), 1-38.
Mearshimer, J. J., & Walt, S. M. (2006). The Israel Lobby and US Foreign Policy. Middle East Policy, 13(3), 29-87.
Weiss, T. G. (2012). What’s Wrong with the United Nations and How to Fix it. UK: Polity Press.
Ziabari, K. (2011, January 20). The United Nations Security Council: An Organization for Injustice. Retrieved November 19, 2015, from Global Research: http://www.globalresearch.ca/the-united-nations-security-council-an-organization-for-injustice/22875