Penetapan kuota pemilikan Bumiputera tidak kurang daripada 40 peratus di Kuala Lumpur disifatkan sebagai langkah reaktif kerajaan untuk meredakan rasa tidak puas hati orang Melayu, tanpa disokong agenda pembangunan yang menyeluruh di bandar.
Ketua Jabatan Kajian IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin, yang juga penulis buku Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia, berkata dasar tersebut adalah tindak balas terhadap tekanan dan kemarahan masyarakat Melayu yang semakin terpinggir daripada ekosistem bandar.
“Orang Melayu semakin terpinggir dari bandar akibat pelbagai tekanan seperti pengusiran atas nama pembangunan, penghapusan kampung-kampung tradisi, lonjakan kos hartanah dan sara hidup, serta pendapatan isi rumah yang kekal rendah.” Katanya
Dalam pada itu, Fahmi turut menegaskan bahawa pemilikan atau kehadiran secara fizikal orang Melayu di bandar belum mencerminkan wujudnya strategi yang kukuh untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Sekadar duduk tidak menggambarkan adanya usaha yang mapan untuk meningkatkan sosioekonomi Melayu bandar. Masalah sebenar bukan sekadar pemilikan rumah, tetapi pada kerangka pembandaran yang tidak mengambil kira realiti sosio-ekonomi Melayu dan membolehkan kuasa ekonomi dimonopoli kumpulan tertentu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi Melayu dan Bumiputera sekurang-kurangnya 40 peratus di ibu negara. – Bharian
“Penetapan peratusan kuota Bumiputera dipertingkatkan sejak 2023, iaitu minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan minimum 70 peratus bagi projek kerajaan atau usaha sama.” katanya dalam sesi Dewan Rakyat pada 5 Ogos. – Bharian
Semakan terhadap data pembangunan mendapati projek perumahan di Kuala Lumpur didominasi syarikat swasta, yang lebih tertumpu kepada projek mewah berbanding penyediaan unit kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki oleh golongan Melayu bandar.
Daripada 1,076 projek perumahan swasta di Kuala Lumpur, hanya 38 menawarkan unit pada harga antara RM100,000 hingga RM200,000. – Teduh
Sebanyak 69 projek menawarkan unit dalam lingkungan RM200,000 hingga RM300,000, manakala hanya 8 projek menawarkan rumah antara RM300,000 hingga RM400,000, angka yang rendah berbanding permintaan daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. – Teduh
Sementara itu, projek perumahan awam seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) hanya berjumlah 27 projek, diikuti Perumahan Penjawat Awam (12), PR1MA (4), dan 80 projek usaha sama kerajaan-swasta di bawah jenama Residensi Wilayah. – Teduh, PPAM, PR1MA, Residensi Wilayah
Mengulas lanjut, Zul Fahmi mempersoalkan ketepatan angka 40 peratus sebagai gambaran sebenar kependudukan orang Melayu di bandar.
“Angka 40 peratus boleh mengelirukan. Realitinya, kebanyakan orang Melayu tinggal di rumah kos rendah atau flat..” Katanya.
Penyelidik IRIS Institute, Dr Adilah Zafirah pula menyifatkan dasar kuota ini sebagai tidak berkesan sekiranya tiada sistem sokongan menyeluruh yang mampu menjamin akses pemilikan kepada Melayu bandar.
“Ada kuota pun kalau Melayu tak mampu beli, apa gunanya? Kena ada subsidi atau mekanisme sokongan kewangan.
“Selain itu, kerajaan harus membangunkan kerangka pembandaran yang mengutamakan keperluan rakyat, berbanding keuntungan pemaju.” Katanya.
Tambahnya, ketiadaan sokongan menyeluruh menyebabkan ramai golongan ini terperangkap dalam kitaran hutang yang membelenggu kehidupan mereka selama puluhan tahun.
Untuk rekod, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 telah diwartakan pada 19 Oktober 2023, manakala Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) kini berada di fasa akhir untuk diwartakan secara rasmi. – Bharian
Menurut Dr Zaliha, PTKL telah siap sepenuhnya dan hanya menanti kelulusan Perdana Menteri sebelum melalui proses penilaian oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC). – Bharian
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.