Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China meningkat mendadak minggu ini selepas Washington memperluas sekatan eksport terhadap subsidiari syarikat China yang tersenarai hitam, sekali gus mencetuskan tindak balas keras daripada Beijing.
Pada 29 September, Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan baharu yang memperluas senarai sekatan eksportnya — dikenali sebagai Entity List— untuk secara automatik memasukkan mana-mana subsidiari yang dimiliki 50 peratus atau lebih oleh syarikat yang telah disenarai hitam. – Reuters
Ini termasuk menghalang Huawei Technologies Co., peneraju cip kecerdasan buatan (AI) China — daripada menggunakan syarikat subsidiari untuk mendapatkan akses kepada barangan Amerika Syarikat yang disekat. – Bloomberg
Sebagai tindak balas, China pada 9 Oktober memperketat kawalan eksport bahan nadir bumi (rare earth) yang digunakan dalam pembuatan sistem pertahanan dan cip elektronik. – MOFCOM
Kementerian Perdagangan China pada Khamis memaklumkan bahawa entiti asing kini perlu mendapatkan lesen daripada Beijing untuk mengeksport sebarang produk yang mengandungi lebih daripada 0.1 peratus nadir bumi yang bersumber dari dalam negara, atau yang dihasilkan menggunakan teknologi pengekstrakan, penapisan, pembuatan magnet atau kitar semula China. – MOFCOM
China menghasilkan lebih 90 peratus nadir bumi dan magnet nadir bumi yang diproses di dunia. Sebanyak 17 unsur nadir bumi tersebut merupakan bahan penting dalam pelbagai produk, termasuk kenderaan elektrik, enjin pesawat dan radar ketenteraan. – Reuters
Eksport bagi 12 daripadanya kini dikenakan sekatan selepas Kementerian menambah lima lagi unsur baharu — iaitu holmium, erbium, thulium, europium dan ytterbium — bersama bahan berkaitan lain ke dalam senarai kawalan. – Reuters
Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, magnet nadir bumi merupakan komponen penting dalam sistem senjata AS seperti pesawat F-35, kapal selam kelas Virginia dan Columbia, pesawat tanpa pemandu Predator, misil Tomahawk, radar, serta siri bom pintar Joint Direct Attack Munition. – CNBC
Amerika Syarikat bergantung kepada China bagi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan import nadir buminya, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat – CNBC
Ketegangan terus meningkat apabila Trump pada 10 Oktober mengumumkan tarif baharu sebanyak 100 peratus ke atas semua import dari China berkuat kuasa 1 November, serta kawalan eksport terhadap semua perisian kritikal. – CNBC
Dalam perkembangan di Eropah, kerajaan Belanda mengambil alih kawalan ke atas syarikat pembuat cip Nexperia yang dimiliki oleh China, selari dengan strategi Washington untuk mengehadkan capaian China kepada teknologi semikonduktor kritikal. – Bloomberg
“Keputusan ini bertujuan mengelakkan situasi di mana barangan yang dihasilkan oleh Nexperia tidak dapat diperoleh sekiranya berlaku keadaan kecemasan,” kata kerajaan itu dalam satu kenyataan pada Ahad. – Bloomberg
Tindakan ini turut menyebabkan saham Wingtech, pemilik Nexperia, di pasaran China merosot sebanyak 10 peratus. – Bloomberg
Pertikaian perdagangan itu mencapai fasa baharu pada 14 Oktober apabila Amerika Syarikat dan China masing-masing mengenakan caj pelabuhan timbal balik terhadap kapal antara kedua-dua negara. – Reuters
Amerika Syarikat mula mengenakan caj pelabuhan tambahan terhadap kapal milik, dikendalikan atau dibina di China mulai 14 Oktober di bawah perintah eksekutif “Restoring America’s Maritime Dominance”. – Whitehouse.gov, Al-Jazeera
Perintah itu mengenakan bayaran antara AS$18 hingga AS$50 bagi setiap tan bersih, yang akan meningkat secara berperingkat menjelang 2028. – Al-Jazeera
Sebagai tindak balas, China turut memperkenalkan caj setara terhadap kapal milik atau dibina di Amerika Syarikat, dengan kadar awal 400 yuan (AS$56) bagi setiap tan bersih. Al-Jazeera
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab