Mungkin ramai yang masih ingat insiden pencerobohan kapal China terhadap wilayah negara kita sekitar gugusan kepulauan Spratly di Laut China Selatan awal tahun ini[1]. Walaupun dinafikan TLDM[2], insiden tersebut menampakkan niat agresif negara China di kawasan yang turut dituntut beberapa negara lain seperti Vietnam, Filipina dan Brunei. Dalam politik antarabangsa, insiden tersebut merupakan sebahagian kecil daripada episod negara China dalam melakar dan memperbesar garis sempadan negara mereka. Tulisan kali ini akan memberi pengenalan awal dalam memahami tindak-tanduk China dalam projek perluasan sempadan wilayah negara mereka khususnya di Laut China Selatan.
´Wikimedia: Laut China Selatan (LCS) dan Sembilan Garis Putus-putus (9GP)
Bagi yang memerhati dasar luar dan aktiviti negara China sekitar Laut China Selatan (LCS), pasti mereka dapat melihat jelas apa yang negara tersebut mahukan di kawasan luas ini. Umum menyedari LCS bukanlah berharga kerana tanahnya semata-mata, sebaliknya sebagai laluan perdagangan, sumber perikanan dan juga sumber petroleum dan gas asli. Dalam hal ini, China tanpa segan silu mahukan kedaulatan mereka di beberapa struktur daratan di situ diakui di peringkat antarabangsa. Hal ini penting agar mereka dapat membentuk Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) mereka yang sangat luas dalam usahanya menjustifikasi tuntutan kedaulatan mereka di keseluruhan besar LCS, atau dikenali sebagai tuntutan “Sembilan Garis Putus-putus” (9GP).
7 Mei 2009, China mengemukakan bantahan kepada PBB atas tindakan Malaysia dan Vietnam menghantar penghujahan secara bersama di Commission on the Limits of the Continental Shelf untuk menyemak batasan pentas benua negara masing-masing[3]. Bagi China, tindakan tersebut merupakan pencabulan serius terhadap kedaulatan, hak berdaulat dan bidang kuasa negaranya di LCS. Bersama bantahan tersebut, China menyertakan peta LCS beserta 9GP, seperti yang terdapat dalam peta tahun 1947 yang dikeluarkan Parti Koumintang negara tersebut.
Bagi China, dengan adanya 9GP ini, mereka dapat mengakui hak kedaulatan bagi kesemua pulau yang berada dalam lingkungan garis tersebut termasuklah Kepulauan Spratly dan Paracel beserta wilayah perairannya. Dalam masa yang sama, China akan juga mendapat hak kedaulatan dan bidang kuasa bagi kawasan laut yang berkaitan iaitu ZEE dan dasar laut kepulauan tersebut. Sekiranya ini diakui, boleh dikatakan keseluruhan LCS merupakan ZEE bagi negara China, dan ini pasti menimbulkan pergeseren dengan negara sekitar LCS yang mempunyai kepentingan perikanan dan minyak di situ seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina. Dari sudut kepentingan udara pula, China juga dilaporkan AFP sebagai mempertimbang untuk mewujudkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) di atas LCS[4]. Tindakan ini menampakkan lagi keinginan China mengawal kawasan tersebut apabila mahukan pesawat yang menggunakan zon udara tersebut mendapatkan kebenaran daripadanya terlebih dahulu supaya “langkah pertahanan kecemasan” tidak diambil.
Wikimedia: Takrifan Wilayah Perairan (Territorial Waters) dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
Walau bagaimanapun, menurut takrifan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), sebenarnya 9GP awal-awal lagi telah menjangkaui lebih daripada apa yang ditakrifkan sebagai ZEE bagi sesebuah negara iaitu kawasan berjarak 200 batu nautika daripada persisiran pantai[5]. Bahkan 9GP turut bertindan dengan ZEE bagi negara lain seperti Malaysia, Brunei, Taiwan dan juga Indonesia[6]. Turut menimbulkan perbalahan, China menetapkan aktiviti ketenteraan di ZEE negaranya sebagai tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang[7], sedangkan klausa UNCLOS tidak pernah menghalang tindakan sedemikian oleh negara lain di ZEE[8]. Seolah-olahnya China mahu melibatkan aspek ketenteraan bagi sebarang aktiviti di LCS, sedangkan UNCLOS dengan jelas mengatakan aktiviti di ZEE perlu dilihat dalam konteks ekonomi semata-mata, bukannya ketenteraan.
Dalam hal tuntutan kedaulatan kawasan EEZ, China dilihat berbeza berbanding negara lain, yang tidak mengambil sebarang tindakan agresif untuk menjaga kawasan tuntutan mereka. Sejarah mencatatkan pada tahun 1974, China menduduki barat kepulauan Paracel yang juga dituntut negara Vietnam. Pada tahun 1974, mereka menenggelamkan tiga kapal Vietnam di kawasan LCS manakala tahun 1955, mereka mengambil alih Terumbu Mischief daripada Filipina. Tahun kebelakangan ini turut menyaksikan banyak peristiwa seumpamanya berlaku. Groves dan Cheng (2014) menyenaraikan sekurang-kurangnya 12 peristiwa yang berlaku pada tahun 2009 hingga 2013 melibatkan tindakan agresif pihak berkuasa dan tentera China dalam konfrontasi dengan nelayan dan kapal yang tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.[9]
Melalui siri konfrontasi oleh China di LCS, dapat dibaca bahawa secara sedikit demi sedikit mereka memberikan tekanan kepada negara-negara kecil di sekelilingnya agar kelihatan berhak ke atas struktur bumi di situ (LCS). Setiap struktur yang dikuasai dan seterusnya dimiliki oleh China nanti akan memberikan hak untuk terus menguasai kawasan tambahannya (wilayah perairan dan ZEE) lalu seterusnya menjustifikasikan tuntutan 9GP dan menyekat serta mengawal aktiviti negara lain di kawasan itu.
Di pihak negara lain, mereka lebih berminat untuk menyelesaikan tuntutan bertindih ini dengan lebih aman. Perjanjian sepatutnya memadai untuk menghormati sesama mereka, seperti Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DoC) yang ditandatangani tahun 2002 oleh China dan kesemua 10 negara ASEAN[10]. Antara lain, mereka bersetuju untuk (1) menghormati dan komited pada kebebasan berlayar dan terbang di atas LCS dan (2) menyelesaikan tuntutan bertindih dengan cara yang aman tanpa mencari jalan ancaman atau paksaan. Namun begitulah janji retorik bagi China, mereka berulang kali mengetepikan perjanjian DoC melalui tindakan konfrontasi yang dilakukan terhadap kapal Vietnam dan dan Filipina yang beroperasi dengan sah di LCS.
Kesannya, 22 Januari 2013, Filipina memulakan pendakwaan terhadap negara China di Mahkamah Tetap bawah UNCLOS, mencabar keabsahan 9GP serta hak berdaulat China dan hak berkuasa di LCS[11]. Seperti dijangka, China menghindari untuk mematuhi komitmen terhadap UNCLOS beralasankan mereka tidak memilih untuk terlibat dalam pendakwaan dalam kes seumpama ini ketika menandatangani UNCLOS. Bahkan China menuduh Filipina mengkhianati konsensus yang dipersetujui dalam DoC melalui tindakan pendakwaan tersebut[12]. Ini tidak lain lebih menampakkan China sebagai negara yang mementingkan negara sendiri dan mengetepikan semangat UNCLOS dalam menyelesaikan kemelut LCS.
Di sisi lain, untuk membaca dan menjangka tindakan China melalui tuntutan 9GP di rantau ini, wajar kita pelajari paradigma dan prinsip negara ini. Martin Jacques (2012) pernah mengaitkan sifat superioriti dan rasisme pada masyarakat China secara umum dengan sikap mereka terhadap bangsa lain di dunia[13]. Sifat superior mereka ke atas negara lain yang terlibat dalam tuntutan bertindih di LCS, beserta sikap terus terang menjelaskan misi mereka di situ wajar untuk dicontohi (melalui cara yang baik) jika negara kita serius mahu memenangi kedaulatan di kawasan tersebut.
Faqih Ahmad Shuhaili terlibat dalam Unit Kajian dan Analisis di IRIS Institute. Beliau yang merupakan graduan Master of Engineering (M.Eng) in Chemical Engineering dari University of Sheffield, UK mempunyai minat yang mendalam dalam perhubungan antarabangsa dan politik. Selama 4 tahun di United Kingdom, beliau banyak berkecimpung dalam aktiviti mahasiswa dan kemanusiaan melalui pelbagai persatuan pelajar dan masyarakat. Dalam akademik, beliau bercita-cita menguasai bidang biochemistry dan renewable energy selain terlibat dalam pembuatan polisi berkaitannya.
Rujukan
[1] Chinese ships patrol area contested by Malaysia, January 26, 2014, http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/01/26/China-patrol-James-Shoal/
[2] ‘China not encroaching on our waters’, January 29, 2014, http://www2.nst.com.my/nation/general/china-not-encroaching-on-our-waters-1.472789
[3] Permanent Mission of the People’s Republic of China to the United Nations, letter to Ban Ki-moon, May 7, 2009, http://www.un.org/depts/los/clcs_new/submissions_files/mysvnm33_09/chn_2009re_mys_vnm_e.pdf
[4] Beijing eyeing South China Sea ADIZ: Japanese report, February 1, 2014, http://www.dailytimes.com.pk/foreign/01-Feb-2014/beijing-eyeing-south-china-sea-adiz-japanese-report
[5] UNCLOS, art. 57
[6] Groves, Steven & Cheng, Dean; A National Strategy for the South China Sea, 2014, The Heritage Foundation, No. 2908
[7] “Surveying and Mapping Law of the People’s Republic of China,” Order of the President of the People’s Republic of China No. 75, August 29, 2002, http://english.gov.cn/laws/2005-10/09/content_75314.htm
[8] A National Strategy for the South China Sea
[9] Ibid
[10] Association of Southeast Asian Nations, “Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea,” November 4, 2002, http://www.asean.org/asean/external-relations/china/item/declaration-on-the-conduct-of-parties-in-the-south-china-sea
[11] The Republic of the Philippines v. The People’s Republic of China, Permanent Court of Arbitration, http://www.pca-cpa.org/showpage.asp?pag_id=1529
[12] Xinhua, “China Rejects Philippines’ Arbitral Request,” China Daily, February 19, 2013, http://www.chinadaily.com.cn/china/2013-02/19/content_16238133.htm
[13] Jacques, Martin, When China Rules the World, 2012,