Pertembungan Hegemoni antara Amerika Syarikat dan China

map_america_china_500

 

Pengaruh Amerika Syarikat yang semakin menurun di Asean sejak peristiwa 9/11 menyaksikan mereka membuat pembaharuan semula terhadap strategi dasar luar mereka. Pivot to Asia, adalah satu polisi yang digagaskan oleh kerajaan Obama, untuk kembali menguasai rantau Asean dan Asia Timur selepas hampir sedekad jauh ditinggalkan oleh China yang kini menjadi kuasa besar di rantau Asia, tanpa sebarang pencabar. Dasar luar Amerika Syarikat semasa zaman Bush, menyaksikan polisi kelompok neo-konservatif di Timur Tengah membawa padah dan kegagalan kepada Amerika Syarikat.

Dasar luar China yang bijak semasa tempoh itu, telah membuatkan negara-negara yang mempunyai hubungan bilateral atau lebih mudah disebut sebagai negara proksi Amerika Syarikat seperti Singapura, Korea Selatan, Filipina dan Thailand memikirkan semula hubungan mereka dengan China. Bagi Jepun dan Taiwan, mereka terpaksa membahagikan antara pendirian politik dan pendirian ekonomi kerana kedua-dua negara itu memang sejak dahulu bermusuh dengan China.

For decades, Sino-Japanese relations were conducted under the principle of “separating politics and economics” (seikei bunri)

Apabila Amerika Syarikat membuat keputusan kembali ke rantau ini pada akhir 2011, mereka mengariskan 3 kompenen penting sebagai paksi strategi mereka. Pertama, Amerika Syarikat meluaskan pengaruh ketenteraan mereka dengan mengadakan pakatan ketenteraan bersama Korea Selatan dan juga Jepun. Mereka bijak mengunakan peluang di saat hubungan di antara negara-negara itu semakin tegang berikutan krisis yang berlaku di sempadan perairan China-Jepun. Tambahan pula, Amerika Syarikat juga buat pertama kali meletakkan tentera mereka di Australia. Ini dilakukan tidak lain tidak bukan untuk menguatkan lagi kekuatan ketenteraan mereka di Asia.

Kedua, Amerika Syarikat kembali ingin melibatkan diri dalam hal ehwal negara-negara Asean, mengekori rapat apa yang dilakukan kerajaan China sejak dekad lalu melalui penyertaan dalam pakatan multilateral , EAEC (East Asia Economic Caucus),  Asean +1 dan Asean +3 . Isu perebutan Pulau Spartly dan Paracel di laut China Selatan menarik perhatian Amerika Syarikat dan mengambil peluang atas isu yang berlaku untuk menjadi ‘mediator’ atau orang tengah dalam menangani krisis tersebut. Pendekatan China yang lebih tegas dalam menuntut hak kedaulatan pulau itu (menambahkan jumlah tentera laut, kapal selam nuklear yang berpangkalan di pulau Hainan) dan memilih untuk melakukan hubungan bilateral yang bias daripada multilateral antara kuasa besar dan negara kecil seperti Vietnam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton ketika dijemput untuk menghadiri ASEAN Regional security forum pada tahun 2010, yang dihoskan oleh Vietnam. Seperti yang disebut di atas, Amerika Syarikat memilih ruang diplomasi atas ketegangan yang berlaku untuk menjadi negara mediator menyelesaikan isu tersebut. Kehadiran Amerika Syarikat itu disambut baik oleh negara-negara yang sekian lama mempunyai hubungan baik dengan Amerika seperti Singapura. Hal ini diakui sendiri oleh Lee Kuan Yew, mantan Perdana Menteri Singapura. Katanya

“The size of China makes it impossible for the rest of Asia, including Japan and India, to match it in weight and capacity in about 20,30 years. So we need America to strike a balance”

Terakhir, Amerika mahu meluaskan lagi pengaruh ekonominya di rantau ini dengan membuat pakatan ekonomi multilateral TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) yang sedang hangat diperkatakan sekarang, bagi mengantikan APEC (Asia Pacific Economic Coorperation) yang kurang berkesan dalam memastikan penguasaan ekonomi dan hagemoni Amerika Syarikat terus berkuasa. TPPA berhasrat untuk mengubah dominasi ekonomi oleh China kepada Amerika Syarikat.

Pertembungan dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan juga China di rantau Asia ini telah mengakibatkan ketidakstabilan dalam suasana geopolitik serantau. Soalnya sejauh mana negara-negara kecil seperti Malaysia mampu memperhalusi setiap keputusan dasar luarnya untuk kebaikkan rakyat serta negara?

 


Asyraf Farique

Penganalisis di IRIS Institute.


Bacaan Lanjut

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS: ‘’Mahu Mengimbangkan Asia’’ di Laut Hindi

Next Post

Polisi Langkah Selamat Malaysia dalam Tuntutan Laut China Selatan

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content