Projek Pulau Pinang Selatan: Pembinaan 2 Pulau Dibatal, Hanya ‘Silicon Island’ Diteruskan

Sumber: Metro

Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Menurutnya, pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.

“Pulau Silikon iaitu Pulau A akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan. Pengurangan saiz asal bermaksud pengurangan skala projek sebanyak 49 peratus iaitu daripada tiga buah pulau kepada sebuah pulau sahaja.

“Pulau Silikon akan kekal sebagai tapak depoh bagi Transit Aliran Ringan (LRT) dengan keluasan 24.3 hektar. Komponen Taman Teknologi Hijau (GTP) dan ‘Heart of the Island’ (HOTI) di Pulau Silikon masing-masing akan menjadi pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu bagi Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Rabu.

Sabtu lalu, Anwar mengarahkan supaya Projek PSI dikaji semula dan memperkecilkan skopnya.

Arahan itu dibuat selepas Kerajaan Persekutuan mendengar keluhan mengenai projek tambakan laut tersebut selain mendapati Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberi dana yang cukup terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak untuk Pulau Pinang.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Projek SRS Konsortium, Szeto Wai Loong, model untuk Pulau Silikon adalah untuk mencipta tapak tanah yang akan dilelong kepada pembida tertinggi.

“Pembida yang berjaya akan membangunkan tapak tanah. Kos untuk menebus semula pulau itu ialah kira-kira RM6 bilion manakala kos membina infrastruktur dan kemudahan bersama di pulau itu pula kira-kira RM2.5 bilion,” katanya.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Naratif ‘Pembukaan’ Pulau Pinang Yang Perlu Diperbetulkan

Next Post

Pilihanraya Turkiye 2023: Pemimpin Seterusnya Mungkin Pro-Barat Tetapi Bukan Anti-Rusia

Related Posts
Skip to content