Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang E-Dagang awal tahun hadapan bagi memperkukuh kawal selia terhadap platform asing, khususnya dari China, yang kini mendominasi pasaran tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian semakan terhadap undang-undang e-dagang yang dimulakan pada April lalu kini berada di fasa akhir dan dijangka dimuktamadkan menjelang Ogos, selepas melalui proses libat urus menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan. – The Sun
Antara fokus utama kajian itu adalah menilai keperluan meminda Akta E-Dagang 2006 (Akta 658) yang ketika ini berperanan sebagai undang-undang pengupaya untuk mengiktiraf dan memudahkan urus niaga digital. – The Star
“Kerangka sedia ada tidak memberikan kuasa pengawalseliaan yang jelas ke atas transaksi elektronik. Akta E-Dagang hanya bertindak sebagai akta pengupaya, manakala penguatkuasaan bergantung kepada peruntukan sementara di bawah Akta Perlindungan Pengguna,” katanya. – The Sun
Tambahnya, kementerian ketika ini tidak mempunyai kuasa untuk memantau platform asing yang tidak memiliki kehadiran fizikal di Malaysia. – The Star
Sehubungan itu, katanya, terdapat cadangan untuk memansuhkan akta berkenaan atau menggantikannya dengan undang-undang baharu yang lebih komprehensif. – The Star
“Ini antara perkara yang akan dimuktamadkan selepas kajian selesai. Hasil kajian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya. – The Star
Armizan turut menegaskan keperluan untuk menyemak semula Akta 658 bagi mewujudkan peraturan yang seragam, bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi turut menyokong pertumbuhan mampan industri e-dagang negara. – The Star
Antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan termasuk memperkenalkan peruntukan bidang kuasa luar wilayah (extra-territorial jurisdiction) dan memperluas kerjasama antara kerajaan (G2G) untuk penguatkuasaan rentas sempadan. – The Star
“Setakat ini, perbincangan awal sedang dijalankan dengan negara seperti China dan Turkiye untuk merangka mekanisme pemantauan bersama,” katanya. – The Sun
Dalam masa sama, kementerian turut menyemak isu kenaikan caj oleh beberapa platform e-dagang baru-baru ini, yang disifatkan beliau sebagai “tidak kena pada masanya”. – The Sun
“Walaupun tidak realistik untuk menyekat sepenuhnya keputusan sedemikian, kita sedang mengkaji mekanisme bagi mewajibkan platform merujuk kepada agensi berkaitan sebelum membuat sebarang perubahan caj,” katanya. – The Sun
Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan jualan e-dagang Malaysia terus meningkat, didorong oleh aktiviti B2B dan B2C, dengan Shopee, Lazada dan PG Mall sebagai platform paling dominan. Tiga segmen utama perbelanjaan ialah fesyen (31%), elektronik dan media (28%), serta permainan dan hobi (19%). – ASEAN
Pada 2020, jualan rentas sempadan mencecah AS$3.8 bilion, bersamaan 59% daripada jumlah keseluruhan jualan e-dagang negara. China muncul sebagai sumber utama pembelian rentas sempadan, menyumbang 61% daripada nilai tersebut, jauh mengatasi Singapura (9%) dan Jepun (5%). – ASEAN
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab